[Keteladanan Ulama dalam Politik Islam] Abdullah bin Thawwus
Dalam kitab-kitab Tarikh tercatat dengan tinta emas tindakan-tindakan para ulama dalam melakukan aktiviti politik. Misalnya, apa yang dilakukan oleh Abdullah bin Thawwus. Dalam kitab Wafiyyah al-A’yaan, Ibn Khalikan meriwayatkan pertemuan antara Ibnu Thawwus yang didampingi oleh Malik bin Anas dengan Khalifah Abu Ja’far al-Manshur.
Sang Khalifah berkata kepadanya: “Beritahu kepadaku tentang bapamu (Ibn Kaisan Al-Tabi’i).” Ibn Thawwus berkata: Ayahku telah memberitahuku bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya manusia yang paling keras azabnya pada hari kiamat, iaitu seorang lelaki yang telah diberi kekuatan oleh Allah SWT lalu dia memasukkan kezaliman di dalam keadilannya.”
[Riwayat Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’, (4/15), daripada Thawwus Rahimahullah].
Kemudian Khalifah memandangnya sambil berkata: “Berikan nasihat kepadaku wahai Ibn Thawwus.” Beliau berkata: “Wahai Amirul Mukminin.” Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman:
أَلَمْ تَرَكَيفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ الَّتِي لَمْ يُخْلَقَ مِثْلُهَا في الْبَلَدِ وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّحْرَ بِالْوَادِ وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ . الَّذِينَطَغَوْافِيالبَلَدِفَأَكْثَرُوافِيهَاالْفَسَادَفَصَبَّعَلَيْهِمْرَبُّكَسَوطعَذَابِإِنَّرَبَّكَلَبِالْمِرْصَادِ
“Apakah kamu belum memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Aad? laitu penduduk Iran yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi yang belum pernah dibangun (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain, dan kaum Thamud yang memotong batu-batu di lembah, dan kaum Fir’aun yang mempunyai pesak-pesak (tentera yang banyak) yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri, lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu, kerana itu Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab, sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi.” [Surah al-Fajr (6-14)]
Menyaksikan hal itu, Imam Malik berkata: “Maka aku menyinsing bajuku lantaran aku takutkan percikan darahnya (kalau-kalau dia kena pancung).”
Kemudian, sang khalifah berkata lagi: “Hulurkan tempat dakwat itu kepadaku.” Lalu dia dan kami diam seketika sehingga dewan menjadi sunyi-senyap. Kemudian baginda berkata lagi: “Wahai Ibn Thawwus, hulurkanlah tempat dakwat itu kepadaku” Tetapi Ibn Thawwus tidak menyahut seruannya dan baginda bertanya lagi: “Apakah yang menghalang engkau menghulurkannya kepadaku?” Ibn Thawwus menjawab: “Aku takut engkau akan menulis perkara maksiat kepada Allah dengannya dan aku tak mahu bersubahat padanya.”
Sebaik mendengar jawapannya baginda berkata : Kamu berdua! Pergilah dari sini?” Ibn Thawwus berkata: “Itulah yang kami kehendaki dari tadi. “
Imam Malik berkata: “Lantaran itu aku sentiasa mengenali kemuliaannya.” (Lihat Tazkirah al-Huffaz, 1/260)
Demikianlah bagaimana ketegasan Abdullah bin Thawwus dalam menyampaikan nasihat yang tegas kepada Khalifah Abu Ja’far Al-Manshur. Dia juga tidak mahu bersekutu dalam kemaksiatan walaupun dalam sekecil-kecil ruang dan perbuatan. Ibnu Thawwus tetap teguh dengan prinsip tanpa rasa takut terhadap ancaman penyeksaan.
Ulama seperti inilah yang kita rindukan. Tidak takut kepada siapapun kecuali Al-Khaaliq yang menciptakan dia.
Disunting daripada:
- Alwaie, “Ulama, Penegakan Khilafah dan Jebakan Penjajah”, Ustaz Yuana Ryan Tresna dan
- 2. Maktabah Al-Bakri, “Khalifah Abu Ja’far Dengan Seorang Ulama Ibn Tawus“, Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri