[Hadits Shiyam] Mengemban Dakwah (Bahagian 3/4)
[Sambungan dari Bahagian 2/4]
Dalil mengenai wajib adanya khalifah bagi kaum muslim adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Barang siapa yang mati, sedangkan di pundaknya tidak ada baiat, maka matinya adalah mati (dalam keadaan) jahiliah.”
Ini adalah beberapa dalil kewajipan mengemban dakwah bagi kaum muslim untuk menegakkan negara Islam dan mengembalikan kekuasaan kaum muslim. Mengenai caranya, inilah sebenarnya yang menjadi sumber perbezaan di kalangan pengemban dakwah yang selalu menyeru menegakkan negara Islam. Oleh kerana itu, persoalan-persoalan wajib tadi perlu dijelaskan kepada seluruh kaum muslim, khususnya kepada para pengemban dakwah.
Dengan demikian, siapa saja yang ingin melaksanakan perintah Allah SWT, serta beramal dengan mengharap redha-Nya, maka dia perlu melakukan aktiviti tersebut dengan cara-cara yang diperintahkan oleh Allah SWT, penuh kesedaran, dan jelas dalam tingkah lakunya. Jika tidak, dia pasti terjerumus dalam perbuatan dosa. Dia seperti orang yang ingin menyembah Allah, tetapi bodoh (dalam tatacara/langkahnya).
Mengemban dakwah Islam adalah fardhu dalam segala situasi dan keadaan, baik dilakukan secara peribadi mahupun berkelompok. Mengemban dakwah dalam bentuk jemaah (kelompok dakwah) adalah fardhu yang diwajibkan oleh tujuan aktiviti dakwah tersebut.
Aktiviti dakwah untuk menegakkan negara Islam demi melangsungkan kembali kehidupan Islam tidak mungkin terlaksana hanya melalui aktiviti individu. Sebagaimana halnya telah kami jelaskan mengenai kewajipan menegakkan negara, maka aktiviti berjemaah pun menjadi wajib hukumnya, “Suatu kewajipan tidak akan sempurna melainkan dengan sesuatu, maka sesuatu itu menjadi wajib hukumnya.”
Ciri-ciri jemaah (kelompok dakwah) serta tugas-tugasnya sering menjadi sumber perdebatan dan perselisihan di antara kelompok-kelompok pengemban dakwah Islam. Oleh kerana itu, ciri-ciri jemaah ini perlu dijelaskan dengan dalil-dalinya (argumentasi syarie). Penjelasan tersebut bukan untuk memuaskan diri, tetapi untuk membuat orang lain yakin dan merasa puas dengan dalil tersebut. Dengan demikian, mereka memiliki gambaran mengenai ciri-ciri yang perlu dimiliki jemaah dakwah sehingga usaha mereka senantiasa terikat dengan perintah Allah Taala. Mereka pun akan yakin terhadap keberhasilan mencapai tujuan yang telah ditetapkan.
Jemaah dakwah ini memiliki beberapa ciri:
Pertama, jemaah dakwah perlu berdiri berdasarkan akidah Islam dengan penuh keyakinan dan keimanan.
Kedua, mesti terikat dengan cara-cara metode Al-Quran dalam menghadapi pemikiran-pemikiran kufur yang ada dan sedang mendominasi masyarakat dalam segala aspek dengan kerosakannya. Dengan kata lain, jemaah tersebut menentukan tanggungjawabnya terhadap setiap penyataan-pernyataannya.
Ketiga, jemaah dakwah ini mesti menentukan tujuan serta hukum-hukum syarak yang berhubungan dengan jemaah secara terperinci, serta memperjelas target dan tujuannya sehingga dapat menghapuskan masuknya tujuan-tujuan lain yang ingin membelokkan tercapainya tujuan tersebut.
Keempat, ketika jemaah dakwah ini berdiri untuk membangun umat dan negara hingga sempurna dengan kembalinya kehidupan Islam, maka jemaah (dakwah) ini perlu dibangun di atas landasan Islam, memahami unsur-unsur yang diperlukan untuk membangun masyarakat , serta memahami dasar-dasar pembentukan negara Islam. Dengan kata lain, jemaah tersebut perlu menentukan idea (pemikiran-pemikiran) dan perasaan-perasaan keislaman yang diperlukan untuk membangun umat, serta hukum-hukum syarak yang akan dipakai dalam membangun negara.
Hal yang lumrah bahawa orang yang ingin membangun rumah yang kecil saja perlu membuat ‚mock-up plan”-nya. Kemudian menganggarkan perkara apa yang diperlukan semasa membina dan selepas bangunan itu terbentuk. Dia juga perlu menyediakan semua yang berkaitan dengan kewangan, surat-surat akta, saliran air, letrik, dan lain-lain. Barulah setelah itu, dia mengadakan kesepakatan dengan pihak lain dan kegiatan-kegiatan lainnya. Sehinggakan dia perlu mengetahui perihal tetangganya, termasuk caranya bersikap terhadap tetangganya.
Jika membangun rumah saja dituntut sedemikian detail, apatah lagi untuk membangun umat, serta mendirikan sebuah negara. Ini bukan sembarangan negara, tetapi sebuah negara yang akan menjadi negara super power di dunia dan mengemban risalah dengan sebaik-baiknya. Dengan demikian, umat ini akan menjadi umatan wasathan yang diabadikan oleh firman Allah SWT, “Demikianlah, kami jadikan kalian sebagai umat wasathan, agar kalian menjadi saksi atas manusia-manusia. Dan Rasul pun menjadi saksi atas kalian.” (TMQ Al-Baqarah: 143).
Tentu tidak logik ketika mengajak kepada Islam dengan cara terang-terangan, tetapi tidak memiliki butiran apa pun. Di samping adanya kesamaran serta kekaburan yang menutupinya, usaha itu menjadi sirna dan tidak bisa berbuat banyak terhadap Islam.
Begitu juga dengan pendapat bahawa perpustakaan-perpustakaan (Islam) kaya dengan buku-buku fikih dalam perkara apa saja sehingga jika kemenangan tadi sudah tiba, hukum-hukum tersebut terus diambil (dari khazanah kitab-kitab fikih) untuk dilaksanakan. Pendapat ini tidak boleh diterima, kerana intipatinya adalah untuk menentukan apa yang kita mahukan dan konsisten dengan sesuatu yang diperlukan dalam mencapai apa yang sepatutnya kita mahukan.
Di samping membentuk dan melahirkan negarawan-negarawan serta mempersiapkan para pemimpin, umat perlu dipersiapkan agar dapat menerima hukum-hukum, idea (pemikiran), dan pandangan-pandangan yang telah ditentukan. Apabila hal ini tidak dirumuskan, kalau pun berhasil memperoleh kemenangan (kekuasaan), pasti akan terjadi kegagalan dalam pelaksanaannya sekalipun jemaah tadi didukung dengan kekuatan fizikal, bahkan walaupun di sekelilingnya dibentengi oleh banyak orang.
Namun yang penting, hal ini jelas-jelas bertentangan dengan sirah Rasulullah. Sementara itu, umat tidak mengetahui, Islam mana yang diinginkannya.
Pendek kata, kewajipan paling utama bagi jemaah yang benar-benar berusaha untuk melangsungkan kembali kehidupan Islam adalah menentukan tujuan dan memperjelas metode operasionalnya. Juga perlu memilih dan menetapkan hukum-hukum, pandangan serta pemikiran-pemikiran yang dapat menjelaskan kedudukan, struktur negara, serta sistem negara yang semua itu dijadikan landasannya. Seperti sistem pemerintahan, ekonomi, kemasyarakatan (sosial), serta interaksi umat dengan bangsa yang lainnya di dunia internasional.
Keempat, aktiviti yang perlu dilakukan oleh jemaah dakwah tersebut adalah aktiviti untuk membangun umat dan negara. Jemaah dakwah berusaha untuk melangsungkan kembali kehidupan Islam dengan jenis-jenis aktiviti yang juga telah dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika beliau masih berada di Mekah, sebelum beliau berjaya membangun negara.
[Bersambung]
Sumber: Hadits Shiyam