[Ath-Thariq] Syarat Parti Berideologi (Bahagian 1/5)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Mendirikan Daulah Islam merupakan sebuah kewajipan dari Allah SWT dan termasuk perkara penting untuk meraih sebuah kebangkitan. Hal ini menuntut kaum muslim untuk mewujudkan sebuah parti yang berdiri di atas asas Islam, kerana Allah SWT memerintahkan hal itu melalui firman-Nya,
وَلْتَكُنْ مِّنْكُمْ اُمَّةٌ يَّدْعُوْنَ اِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung.” (TMQ Ali Imran: 104).
Selain itu, Allah SWT memerintahkan kita agar mengikuti metode Rasulullah SAW dalam mendirikan Daulah Islam. Rasulullah SAW berjaya mendirikan sebuah parti untuk merealisasikan tujuan tersebut. Bahkan, masih banyak lagi dalil-dalil lainnya.
Kami tegaskan bahawa sebuah kewajipan tidak akan gugur hanya dengan adanya sebuah parti. Kewajipan tersebut akan gugur dari atas bahu kaum muslim ketika mereka mendirikan sebuah parti yang jelas terlihat unsur-unsur utamanya dan terpenuhi segala persyaratannya. Ini menjadikan parti tersebut mampu untuk melaksanakan tugas yang dibebankan di atas bahunya dan mampu untuk merealisasikan tujuan yang ingin diraihnya.
Untuk menjelaskan poin ini, kami akan menyampaikan sebuah contoh berikut. Allah SWT berfirman,
وَاَعِدُّوْا لَهُمْ مَّا اسْتَطَعْتُمْ مِّنْ قُوَّةٍ وَّمِنْ رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُوْنَ بِهٖ عَدُوَّ اللّٰهِ وَعَدُوَّكُمْ وَاٰخَرِيْنَ مِنْ دُوْنِهِمْۚ لَا تَعْلَمُوْنَهُمْۚ اَللّٰهُ يَعْلَمُهُمْۗ
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu, dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya.” (TMQ Al-Anfal: 60).
Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan kepada kita untuk mempersiapkan kekuatan dalam rangka memerangi musuh yang melakukan keganasan dan intimidasi, apakah kita boleh disebut telah mentaati perintah Allah ini jika kita mempersiapkan kekuatan sekadarnya? Ataukah wajib bagi kita untuk mempersiapkan kekuatan yang boleh menimbulkan ketakutan pada musuh Allah itu?
Dari contoh ini jelas apa yang telah kita paparkan tadi tentang wajibnya mendirikan sebuah parti yang memiliki ciri-ciri mampu dan layak untuk mencapai tujuannya. Allah telah memerintahkan kaum muslim untuk mewujudkan sebuah parti dalam rangka merealisasikan tujuan tersebut.
Dengan demikian, sekadar adanya sebuah parti saja tidak menggugurkan kewajipan dari bahu kaum muslim dan tidak dapat menghapuskan dosa mereka. Kaum muslim akan berdosa seluruhnya hinggalah mereka berjaya mewujudkan parti Islam berideologi tersebut, sebuah parti yang memiliki kemampuan untuk mewujudkan negara Islam dan merealisasikan kebangkitan kaum muslim serta mengubah realiti rosak yang saat ini menyelimuti umat Islam.
Berdasarkan kajian yang kami lakukan, baik terhadap ayat-ayat Al-Quran tentang dakwah pada masa lalu yang dilakukan demi tegaknya agama Allah, mahupun kajian terhadap sirah (perjalanan hidup) Rasulullah dan sunnahnya yang mulia serta kehidupannya bersama partinya itu sehingga beliau berjaya menegakkan negara Islam; serta dari kajian kami terhadap berbagai gerakan dan parti di seluruh dunia yang berjaya melakukan perubahan atau gagal dalam merealisasikan misinya; juga dengan merujuk pada kajian kami terhadap berbagai gerakan dan parti yang ada di negeri ini yang berusaha mengubah realiti kaum muslim, baik parti tersebut berasaskan Islam atau selain Islam. Berdasarkan semua kajian tersebut, kami dapat secara sekilas memaparkan beberapa syarat yang diperlukan bagi sebuah parti Islam berideologi.
Apabila semua syarat itu terpenuhi oleh sebuah parti, maka ia menjadi khabar gembira kerana parti itulah yang berada di depan gerbang tujuan yang ingin diraihnya. Parti itulah yang kami sarankan agar anda dan kita semua turut serta beraktiviti bersama-sama dengannya—jika memang parti tersebut telah ada—atau beraktiviti untuk mewujudkannya (jika parti Islam berideologi ini belum ada-pen). Ini bertujuan agar dapat ditegakkan negara Islam yang diinginkan dan terealisasikannya kebangkitan kaum muslim dengan izin dan taufik Allah SWT.
Pada kesempatan ini, kami cukup meringkas beberapa syarat mendasar sebuah parti Islam berideologi, yakni:
a. Memahami Islam secara sempurna, sebagai sebuah fikrah (idea) dan thariqah (metode) dan mengaitkan keduanya.
b. Para pendiri—pimpinan parti—memiliki kemampuan untuk memimpin parti.
c. Memahami metode yang benar dalam mengikat para anggota dengan partinya.
d. Memahami dunia dan berbagai peristiwa yang terjadi secara politik dan mampu melihat berbagai indikasi politik.
[Bersambung ke bahagian 2/5]
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)