[Hadits Shiyam] Tidak Boleh Taqiyah dalam Negeri Islam mahupun Negara Kaum Muslim
Allah SWT berfirman, “Hendaklah orang-orang mukmin tidak menjadikan orang-orang kafir sebagai wali, dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa yang melakukannya, nescaya lepaslah dari pertolongan Allah, kecuali kerana (siasat) melindungi diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (seksa)-Nya. Dan hanya kepada Allah tempat kembali-(mu).” (TMQ Ali Imran: 28).
Sebahagian orang telah menjadikan ayat ini sebagai alasan bahawa seorang muslim boleh menampakkan sesuatu yang jelas-jelas berbeza dengan apa yang ada dalam hatinya di depan seseorang kerana khuatir dianiaya atau diketahui jati dirinya yang sebenarnya, baik orang tersebut kafir mahupun muslim, penguasa atau bukan. Mereka menyebut tindakannya ini dengan istilah Taqiyah.
Mereka berpendapat bahawa taqiyah dalam segala hal dibolehkan. Malah terkadang wajib melakukan taqiyah kerana (berharap) mendapat kelembutan dan kebaikan. Sebahagian di antara mereka ada yang menyatakan, kadang-kadang wajib dan taqiyah adalah fardhu. Kadang-kadang juga boleh, namun bukan wajib. Sekali waktu lebih baik bertaqiyah daripada meninggalkannya. Kadang-kadang meninggalkannya sebaliknya lebih baik, sekalipun yang melakukannya terancam.
Di antara mereka ada yang menyatakan bahawa taqiyah dalam keadaan takut terhadap (keselamatan) dirinya hukumnya wajib. Orang-orang yang berpendapat tentang taqiyah tersebut bersandar dan memandang firman Allah SWT, “Kecuali kerana (siasat) melindungi diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka.” (TMQ Ali Imran: 28) sebagai dalil tentang taqiyah. Mereka menguatkan pendapatnya tentang kebolehan taqiyah daripada ayat ini dengan sebuah riwayat daripada Hasan ra. bahawa Musailamah Al Kadzdzab memanggil dua orang sahabat Rasulullah SAW, lalu salah seorang di antara mereka ditanya, “Apakah kamu bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah?” Dia menjawab, “Benar.” Musailamah bertanya lagi, “Apakah kamu juga bersaksi bahawa aku utusan Allah?” Dia menjawab, “Benar”. Kemudian Musailamah memanggil yang lain dan bertanya, “Apakah kamu bersaksi bahawa Muhammad utusan Allah?” Dia menjawab, “Benar.” Musailamah bertanya lagi, “Apakah kamu juga bersaksi bahawa aku utusan Allah?” Dia menjawab, “Aku tuli.” Musailamah kemudian bertanya sebanyak tiga kali. Setiap kali ditanya, dia menjawab dengan jawapan yang sama sehingga Musailamah pun memenggal kepalanya.”
Peristiwa ini kemudian sampai kepada Rasulullah SAW dan beliau bersabda, “Tentang yang terbunuh itu, telah meninggal dengan membawa kebenaran dan keyakinannya. Dia mendapatkan keutamannya, maka keselamatan baginya. Sedangkan yang lain, mereka telah menerima keringanan Allah, tetapi jangan (dilakukan) terus-menerus.”
Inilah dalil mengenai diperbolehkannya taqiyah bagi mereka yang menyatakannya. Apabila kita kaji dalil-dalil tersebut, jelas di dalamnya tidak terdapat maksud sedikit pun yang menunjuk kepada apa yang mereka sebut dengan taqiyah, ditinjau dari aspek apa pun. Ayat dan hadis tadi masing-masing membahas tema yang tidak ada sangkut pautnya dengan apa yang mereka namakan sebagai taqiyah.
Ayat tersebut berkait dengan tema persahabatan antara orang mukmin dengan orang kafir, bukan terkait penampakan seorang muslim yang berbeza dengan apa yang ada di dalam hatinya. Nas ayat ini, dilihat dari tema dan lafaznya, hanya boleh ditafsirkan sesuai dengan makna bahasa atau makna syarak saja. Haram hukumnya untuk mentafsirkan dengan selain kedua makna tersebut, sebab lafaz Al-Quran berbahasa Arab.
Makna dari makna ‘Tuqata‘ dan ‘Taqiyah‘ telah dinyatakan dalam kamus Al Muhith, At Taqiyah, Kila’ah (perlindungan) Wal Hifdh (pemeliharaan). Wa Atqaitu As Syai’a (Aku menyimpan sesuatu) Wataqiyatuhu (dan menyimpannya) Wa Atqihi (Dan aku menyimpannya), Taqiyun Wa Tuqa’un (penyimpanan) Kakisa’i Hadzratihi (melindungi dari ancamannya). Inilah makna taqiyah menurut bahasa, menurut pengertian yang dimaksud oleh kata itu sendiri dalam ayat tadi. Ini kerana (dalam ayat ini) tidak ada ketentuan makna secara syarie, maka ertinya telah jelas berdasarkan makna bahasa saja.
Tema ayat ini secara keseluruhan mengenai muwalah orang-orang mukmin dengan orang-orang kafir, atau persahabatan di antara mereka. Nasnya adalah, “Hendaklah orang-orang mukmin tidak menjadikan orang-orang kafir sebagai teman dengan meninggalkan orang-orang mukmin.” (TMQ Ali Imran: 28).
Apabila terdapat ayat atau hadis yang mengungkap satu tema tertentu, maka penunjukan maknanya dikhususkan untuk tema tersebut dan tidak mencakup tema yang lain. Masalahnya di sini adalah persahabatan orang-orang mukmin dengan orang-orang kafir. Jelaslah bahawa ayat tersebut melarang dengan tegas, dengan kata lain haram atas kaum muslim dengan keharaman yang tegas.
Ini bukan satu-satunya ayat yang membahas tentang tema tersebut. Banyak ayat lain yang membahasnya. Seperti firman Allah SWT, “Berilah ancaman orang-orang munafik itu bahawa mereka akan mendapat seksa yang pedih, iaitu yang menjadikan orang-orang kafir sebagai teman dengan meninggalkan orang-orang mukmin.” (TMQ An Nisa’: 138–139).
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian jadikan orang-orang kafir sebagai teman, selain orang-orang mukmin.” (TMQ An Nisa’: 144).
“Janganlah kalian jadikan orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman.” (TMQ Al Maidah: 51).
“Janganlah kalian jadikan musuhku dan musuh kalian sebagai teman.” (TMQ Al Mumtahanah: 1) dan sebagainya.
Tema ayat di atas berkenaan persahabatan orang-orang mukmin dengan orang kafir. Ayat-ayat yang lain merupakan perincian tema tersebut. Allah SWT telah melarang dengan tegas. Oleh sebab itu, jika ada seseorang yang melakukannya, iaitu menjadikan orang-orang kafir sebagai teman, Allah akan melepaskan pertolongan-Nya.
Di samping itu, terdapat pengecualian daripada larangan yang tegas dalam satu keadaan, iaitu apabila seorang mukmin takut terhadap ancaman orang kafir, dia boleh berteman dengan orang kafir untuk menghindari ancaman tadi. Keadaan ini dapat diterima apabila seorang muslim berada dalam kekuasaan kafir yang tengah memaksanya dalam keadaan (kaum muslim) minoriti.
Ertinya, jika rasa takut terhadap orang kafir muncul kerana seorang muslim berada dalam kekuasaan kafir, diperbolehkan bagi seorang muslim tadi untuk berteman dengan orang kafir. Apabila ancaman dan ketakutan tersebut telah hilang, berteman dengan mereka jelas haram hukumnya.
Oleh kerana itu, masalahnya di sini bukan menampakkan persahabatan dan menyembunyikan sikapnya yang lain secara mutlak. Akan tetapi persoalannya adalah bahawa perkara ini berupa pengecualian dalam keadaan adanya rasa takut dan ancaman orang kafir terhadap orang mukmin, ketika seorang mukmin berada dalam kekuasaan kafir dan menjadi pihak minoriti. Ini berdasarkan umumnya keharaman berteman dengan orang-orang kafir bagi orang-orang mukmin.
Ayat ini diturunkan kerana orang-orang mukmin masih memiliki hubungan dengan orang musyrik di Mekah. Ketika itu, mereka saling berteman, lalu turunlah ayat ini untuk mencegah orang-orang mukmin yang telah hijrah di Madinah berteman dengan mereka, berhubungan kasih dan persahabatan, serta memberikan perlindungan yang telah mereka lakukan sebelumnya dengan orang-orang kafir musyrik di Mekah.
Lafaz ayatnya berbentuk umum. Mencakupi semua orang mukmin dan muslim yang ada di Mekah yang hidup tertindas di bawah kekuasaan orang-orang kafir. Kemudian ayat ini menjelaskan illat (yang mengakibatkan hukum ini ada) pengecualiannya, iaitu kerana mereka takut terhadap ancaman dan kekejaman orang-orang kafir. Mereka dibolehkan untuk menampakkan sikap berteman dengan orang kafir.
Inilah tema ayat tersebut. Makna dan hukum syarak yang dapat digali dari ayat tersebut adalah keharaman bagi orang-orang mukmin untuk berteman dengan orang-orang kafir dalam semua bentuk persahabatan, baik berupa pertolongan, rasa suka sebagai teman, meminta bantuan, dan sebagainya.
Ini kerana kata auliya dalam ayat tersebut berbentuk umum dan mencakup semua makna. Kebolehan orang mukmin bersahabat dengan orang-orang kafir dalam keadaan kerana kekejaman dan ancaman mereka, ketika orang-orang kafir mendominasi kaum muslim, sedangkan kaum muslim sendiri kalah dalam segala hal, seperti halnya keadaan kaum muslim saat di Mekah bersama orang-orang musyrik. Dalam keadaan ini sajalah kaum muslim boleh menampakkan persahabatan. Di luar keadaan itu diharamkan untuk bersahabat dengan mereka dalam segala hal.
Tidak ada satu ayat pun yang memiliki makna lain, selain makna ini. Tidak mungkin digali hukum lain, selain hukum ini. Mengenai hadis di atas, jelas tampak adanya paksaan agar seseorang murtad dari Islam. Rasulullah SAW telah memberikan keringanan dalam satu keadaan, iaitu tatkala kematian benar-benar akan terjadi. Rasulullah SAW bersabda, “Bagi yang lain, maka ia mendapat keringanan dari Allah Taala.”
Dengan demikian, praktik taqiyah dalam Dar Islam (negeri Islam) secara mutlak diharamkan. Negara di mana kaum muslim tidak tunduk secara langsung terhadap pemerintahan kufur yang diktator, serta kaum muslim tidak dalam keadaan kalah. Dengan demikian, taqiyah dalam keadaan ini haram bagi kaum muslim.
Di samping itu tidak dihalalkan bagi seorang muslim menampakkan hal yang berlawanan dengan apa yang ada di dalam hatinya. Adapun menampakkan rasa suka kepada penguasa kerana takut terhadap ancamannya padahal penguasa tersebut jelas berbuat zalim dan menerapkan hukum kufur, perbuatan seperti ini diharamkan.
Demikian pula menampakkan rasa suka kepada seorang muslim yang pandangannya bertentangan dengan anda sementara anda menyimpan kebencian kepadanya adalah perbuatan yang juga diharamkan. Berpura-pura tidak terikat dengan hukum Islam atau tidak mendukungnya di hadapan penguasa kafir atau yang fasik dan zalim tidak diperbolehkan. Semuanya itu merupakan kemunafikan yang telah diharamkan oleh syarak bagi kaum muslim.
Persahabatan dengan orang kafir yang diharamkan bagi kaum muslim, berlaku di negeri Islam dan setiap negara di mana kaum muslim tidak dalam posisi kalah (tertindas). Diperbolehkan bagi orang Islam bersahabat dengan orang kafir di setiap negara di mana kaum muslim tertindas (kalah), serta kekuasaan berada di tangan orang-orang kafir yang bertindak keras terhadap kaum muslim.
Adapun berteman dengan penguasa muslim yang berbuat zalim ataupun fasik dalam keadaan apa pun diperbolehkan, tanpa membezakan lagi dalam keadaan takut, aman, atau damai. Ini kerana tidak ada satu nas pun yang menunjukkan (larangan) untuk berteman dengan penguasa zalim dan fasik atau berteman dengan orang-orang fasik dan zalim.
Penguasa yang zalim (dalam Daulat Khilafah) wajib ditaati, kecuali jika dia melakukan maksiat. Wajib pula berjihad di bawah benderanya, walaupun bukan kerana mendukung terhadap kefasikannya. Oleh kerana itu, kami mengingatkan kaum muslim terhadap praktik taqiyah. Sebabnya, hal itu jelas merupakan kemunafikan yang diharamkan. Tidak dibolehkan seorang muslim melakukannya secara mutlak.
Sumber: Hadits Shiyam