[Ath-Thariq] Berbagai Macam Kesukaran yang Merintangi Parti Berideologi (Bahagian 4/4)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
- Perbezaan idea perubahan yang dimiliki parti dengan idea jumud (beku) yang dimiliki orang-orang pragmatik dalam Masyarakat
Idea perubahan (at-taghyir) dianggap sebagai idea mendasar yang paling penting yang menjadi pijakan parti berideologi, kerana tujuan terbesar parti adalah kebangkitan (an-nahdhah). Kebangkitan itu mustahil terjadi melainkan dengan adanya perubahan, yakni usaha mengubah idea-idea (al-afkar) yang sedang mengongkong masyarakat dan segala sesuatu yang menyebabkan kemunduran umat, menjadi idea-idea Islam yang mampu membangkitkan.
Oleh kerana itu, tidak dapat dielakkan bahawa akan berlaku konflik antara parti dengan pihak-pihak yang menganggap bahawa kemasalahatannya ada pada kelestarian (kemampanan), kekuasaan, dan hegemoni pemikiran konservatif yang basi yang mengakibatkan masyarakat terus menerus berada dalam kemunduran dan keterbelakangan. Pihak- pihak tersebut adalah pihak yang berkuasa di atas nasib dan bahu masyarakat, seperti para penguasa dan hamba mereka, serta pihak (golongan) yang lebih mencintai kelaparan, kedunguan dan kemalasan, iaitu mereka yang pragmatik.
Dengan meneliti secara mendalam realiti kaum pragmatik, akan kita dapati bahawa mereka terdiri dari dua golongan. Mungkin boleh kita sebut golongan pertama sebagai pragmatik bermata satu, sedangkan golongan kedua sebagai pragmatik buta. Walaupun kedua-dua golongan tersebut menjadi musuh bagi usaha perubahan, tetapi permusuhan daripada golongan pertama merupakan permusuhan yang logik, sedangkan permusuhan dari golongan kedua merupakan permusuhan yang tidak rasional dan gila.
Agar paparan ini menjadi lebih jelas, kami nyatakan bahawa sebahagian orang melihat realiti yang ada dengan ungkapan, “Walaupun ini bukan situasi ideal, ia ada, atau telah ada, dan memang begitulah.” dan “Pasrahkanlah nasib anda agar tidak didatangi nasib yang lebih buruk.”
Kelompok ini mungkin cukup diubah dengan cara mengubah pandangannya—walaupun perlu melalui beberapa kesukaran—jika kita mampu meneguhkannya dengan pelbagai bukti yang memungkinkan untuk mengubah realiti sedia ada menjadi realiti yang lebih baik.
Kelompok pertama dari kaum pragmatik ini (pragmatik bermata satu) masih memiliki satu mata yang sihat sehingga dengan matanya itu ia masih dapat menjangkau sebuah kebenaran walaupun setelah melalui beberapa proses berfikir. Ia boleh memahami bahawa realiti yang ada itu merupakan realiti yang rosak sehingga tidak layak dijadikan sumber dan sandaran pemecahan berbagai permasalahan. Ia merasa wajib untuk memecahkan masalah dengan mencari jalan lain selain realiti tersebut. Dengan kata lain, ia akan menganggap betapa pentingnya mengubah realiti yang rosak ini.
Adapun berkaitan dengan kelompok kedua dari kaum pragmatik ini, yakni pragmatik yang buta atau zalim maka usaha mengubahnya bagaikan memahat batu atau sesuatu yang lebih keras dari itu. Kaum pragmatik buta ini bagaikan seseorang yang dilahirkan ibunya di dalam kegelapan penjara sehingga ia belum pernah melihat terangnya sinar matahari sehingga sangat sukar bahkan boleh dikatakan mustahil baginya untuk membenarkan bahawa di luar penjaranya yang gelap itu ada tempat lain yang diterangi sinar matahari.
Oleh kerana itu, segenap kekuatan mestilah dikerahkan dalam menghadapi kelompok pragmatik yang buta ini agar dapat mengeluarkan mereka dari kegelapan yang memenjarakan akal fikiran mereka dan menghilangkan sikap berpuas diri mereka hanya kerana matahari tidak dapat menyakiti mata-mata mereka, dan kerana kemalasan, kebodohan, dan kejumudan merupakan penyakit yang mematikan sebagaimana penyakit lain yang mampu membinasakan.
Dengan kedua-dua kelompok ini, parti hendaklah berusaha memberikan pemahaman secara berulang dan berterusan serta memberikan berbagai contoh yang dapat menjelaskan kerosakan realiti yang ada sehingga dapat menyembuhkan mereka daripada penyakit pragmatismenya yang menyedihkan itu.
Selagi kita menentang kaum pragmatik yang jelas menjadi musuh perubahan, maka parti dan para anggotanya mestilah senantiasa mengingatkan mereka bahawa lestarinya idea perubahan yang sedang membara dalam benak mereka dan begitu terang di hadapan mata mereka, perlulah dianggap sebagai satu kemestian. Barangsiapa yang menjadikan terealisasinya perubahan sebagai tujuan utamanya maka dia hendaklah menjadi orang yang paling mendambakan perubahan dan bersiap sedia untuknya, bila-bila masa saja diperlukan, dan menjadi orang yang paling membenci dan menjauhi kejumudan dan kejahilan.
Hal itu tiada lain kerana kejumudan menjadi ciri benda mati, sedangkan perubahan merupakan karakter orang yang hidup. Barangsiapa menjadikan terealisasinya perubahan sebagai tujuannya maka dia tidak boleh bersikap jumud, tetapi dia perlu berusaha mengubah apa yang bertentangan dengan idea perubahan, baik yang ada dalam dirinya ataupun di sekelilingnya.
Jika aktivis perubahan itu menjadi beku, nescaya proses tersebut akan gagal sepenuhnya. Mempersiapkan sebuah perubahan tidaklah bererti bahawa seseorang itu perlu seperti bulu di tempat berhembusnya angin, tetapi membawa pengertian bahawa seseorang perlu mengosongkan diri daripada uslub dan cara yang beku dan mati yang telah usang dimakan zaman. Adapun ketegasan seseorang akan kaedah atau asas mendasar yang kebenarannya telah diteguhkan (disahkan) oleh dalil yang pasti (qath’i) maka hal itu menjadi sebuah kemestian yang tidak boleh ditawar lagi.
- Perbezaan berbagai bahaya akibat bergabungnya parti berideologi dengan kemaslahatan duniawi manusia.
Menjadi sebuah kebenaran yang tidak dapat disangkal bahawa upah yang diterima itu kadarnya sesuai dengan kesukaran yang ada, dan siapa saja yang melamar perempuan yang elok rupanya tidak akan merasa terbelenggu oleh besarnya mahar yang perlu dibayar. Begitu pula dengan parti berideologi yang berusaha mengubah realiti yang sangat buruk dan rosak menjadi realiti yang lebih maju dan tinggi, parti tersebut perlu menyerahkan segala yang berharga dan bernilai demi terealisasinya tujuan yang mulia ini. Parti berideologi ini perlu memerangi dunia seluruhnya demi merealisasikan tujuannya sehingga bagaimana mungkin hal itu boleh terjadi jika parti tersebut tidak memiliki persiapan yang sempurna?
Sesungguhnya seorang anggota parti yang memutuskan untuk berjalan bersama parti berideologi perlu memahami sejak awal bahawa dia telah memilih jalan yang sangat sukar, penuh liku, dan sarat dengan onak duri. Dia mungkin akan mempersiapkan diri untuk tujuan tersebut, atau mungkin juga akan mencari jalan lain yang lebih mudah.
Barangsiapa memilih jalan ini maka sesungguhnya dia telah memilih kemuliaan dunia dan akhirat. Adapun kemuliaan dunia telah dia raih kerana telah ikut serta dalam membangun negara teragung di dunia, sedangkan kemuliaan akhirat kerana dia memperoleh keredhaan daripada Allah SWT.
Oleh kerana itu, ada dua kemungkinan, kita berhasil dan berjaya menegakkan negara yang selama ini kita tatap dengan akal kita dan begitu dekat dengan hati kita, atau kita mati kerananya. Jika keadaan pertama yang terjadi, kita dipandang mulia kerana telah ikut serta dalam merealisasikan tujuan yang paling luhur ini, dan jika keadaan kedua yang menimpa kita, bukankah tidak ada tujuan lain yang selama ini diusahakan dan begitu diinginkan kecuali bersandingkan redha Allah SWT dan syurga-Nya yang luasnya meliputi langit dan bumi?
Oleh kerana itu, setiap mereka yang mendambakan kebangkitan hendaklah memutuskan sejak awal untuk sedia mengorbankan segala sesuatu dalam menjalani keinginannya itu. Mereka hendaklah menjadikan aktivitinya dalam parti berideologi sebagai titik pusat (fokus) dari kehidupan mereka. Usaha untuk mencari rezeki perlu selaras dengan usaha mengemban dakwah (sejalan dengan parti berideologi).
Usaha mencari rezeki itu sesuai dengan dakwah, atau kita mencari usaha (pekerjaan) lain yang sesuai dan selaras dengan usaha mengemban dakwah. Begitulah seterusnya dalam seluruh segi kehidupan ini.
Seorang anggota parti mahu menerima pekerjaan yang dapat melayani dan membantu usaha dakwah atau selaras dengan dakwah, walaupun mungkin pendapatannya sedikit atau kurang, dan menolak pekerjaan yang bertentangan dengan dakwah dan tidak membantu usaha dakwah, walaupun pendapatan yang diperolehinya besar.
Sesuatu yang membenarkan anggota parti berideologi ini (pengemban dakwah) dalam hal itu adalah bahawa pahala yang diinginkan seorang pengemban dakwah sebagai upah atas usahanya mengemban dakwah adalah pahala yang sangat besar sekali nilainya sehingga dia perlu mendahulukan puncak sesuatu yang dapat diraihnya. Jika tidak, maka dia perlu selaras dengan kata-kata yang terkenal ini,
“Pencuri yang paling besar adalah mereka yang mengambil upah dan tidak mendahulukan pekerjaan. Orang yang paling lemah adalah orang yang meminta upah tanpa bekerja atau meminta upah yang besar untuk sebuah pekerjaan yang remeh.”
Bahawasanya kesungguhan dalam sebuah aktiviti, apa pun aktivitinya, menuntut sang aktivis untuk mengerahkan segenap kekuatan sesuai dengan tujuan yang ingin dicapainya. Adapun tujuan yang ingin kita capai sebagai pengemban dakwah dan anggota parti berideologi adalah tegaknya negara Islam yang akan mengatur dunia seluruhnya. Tujuan ini seandainya memperkenankan kemampuan manusia, maka jutaan kemampuan kita tidak mungkin dapat melaksanakan atau merealisasikannya, jika kita mengerahkan segenap kemampuan kita saja, kita tidak akan berani menghadapi sesuatu pun, maka bagaimana jika kita belum mengerahkan segenap kekuatan itu?
Oleh kerana itu, perkara ini menjadi jelas, apakah kita akan mengerahkan segenap kekuatan dan kemampuan, mengorbankan segala yang kita miliki semaksima mungkin, dan kita termasuk orang yang bertransaksi menjual jiwa dan harta kita kepada Allah SWT. Allah dan Rasul-Nya lebih kita cintai melebihi bapa, anak, dan harta kita, ataukah kita akan mencari jalan yang lebih mudah dan lebih menyenangkan. Ketahuilah bahawasanya Allah SWT mencukupi jiwa kaum mukmin dalam peperangan ini.
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)