Pernikahan Membuka Pintu Rezeki (Tafsir surah An-Nur Ayat 32)
Oleh : Kartinah Taheer
Pernikahan adalah salah satu syariat Allah. Menikah merupakan suatu ibadah yang sangat agung. Dengan menikah seseorang telah menyempurnakan sebahagian agamanya. Oleh itu bagi siapa saja yang telah mampu disunnahkan untuk segera menikah. Bahkan Rasulullah melarang tabattul atau membujang, walaupun darjat larangannya tidak sampai pada keharaman.
Hal ini dinyatakan dalam firman-Nya,
وَأَنْكِحُوا الأيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.” (TMQ An-Nuur: 32)
Dalam Tafsir Ibnu Katsir menjelaskan,
وَأَنْكِحُوا الأيَامَى مِنْكُمْ “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu”.(An-Nur: 32)
sampai akhir ayat.
Hal ini merupakan perintah untuk menikah. Segolongan ulama berpendapat bahawa setiap orang yang mampu menikah diwajibkan melakukannya. Mereka berpegang kepada makna lahiriah hadis Nabi SAW,
“يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ، مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ”
“Hai para pemuda, barang siapa di antara kalian yang mampu menanggung biaya pernikahan, maka hendaklah dia menikah. Kerana sesungguhnya nikah itu lebih menundukkan pandangan mata dan lebih memelihara kemaluan. Dan barang siapa yang tidak mampu, hendaknyalah dia berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu dapat dijadikan peredam (berahi) baginya.“ (HR Bukhari-Muslim)
Di dalam Kitab Sunan telah disebutkan hadis berikut melalui berbagai jalur, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
“تَزَوَّجوا، تَوَالَدُوا، تَنَاسَلُوا، فَإِنِّي مُبَاهٍ بِكُمُ الْأُمَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ” وَفِي رِوَايَةٍ: “حَتَّى بِالسِّقْطِ”.
“Nikahilah oleh kalian wanita-wanita yang subur peranakannya, nescaya kalian mempunyai keturunan; kerana sesungguhnya aku merasa bangga dengan (banyaknya) kalian terhadap umat-umat lain kelak di hari kiamat”
“Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya“. (An-Nur: 32), hingga akhir ayat.
Ali Ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa makna ayat ini mengandung anjuran kepada mereka untuk menikah. Allah memerintahkan orang-orang yang merdeka dan budak-budak untuk menikah, dan Dia menjanjikan kepada mereka untuk memberikan kecukupan. Untuk itu Allah SWT berfirman:
“Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya.” (An-Nur: 32)
Ibnu katsir juga menjelaskan bahawa telah sampai suatu berita kepadanya bahawa Abu Bakar As-Siddiq ra. pernah mengatakan, “Bertakwalah kalian kepada Allah dalam menjalankan apa yang Dia perintahkan kepada kalian dalam hal nikah, nescaya Dia akan memenuhi bagi kalian apa yang telah Dia janjikan kepada kalian, iaitu kecukupan.” Allah SWT telah berfirman:
“Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya .” (An-Nur: 32)
Telah diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, bahawa dia pernah mengatakan, “Carilah kecukupan dalam nikah, kerana Allah SWT telah berfirman: ‘Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya’ (An-Nur: 32)”
Ibnu Jarir telah meriwayatkannya, dan Al-Bagawi telah meriwayatkan hal yang semisal melalui Umar. Telah diriwayatkan dari Al-Lais, dari Muhammad Ibnu Ajian, dari Sa’id Al-Maqbari, dari Abu Hurairah ra. yang berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
“ثَلَاثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنهم: النَّاكِحُ يُرِيدُ الْعَفَافَ، والمكاتَب يُرِيدُ الْأَدَاءَ، وَالْغَازِي فِي سَبِيلِ اللَّهِ”
“Ada tiga macam orang yang berhak memperoleh pertolongan dari Allah, iaitu orang yang menikah kerana menghendaki kesucian, budak mukatab yang bertekad melunasinya, dan orang yang berperang di jalan Allah”. (HR imam Ahmad, Imam Turmuzi, Imam Nasai, dan Imam Ibnu Majah)
Nabi SAW pernah mengahwinkan lelaki yang tidak mempunyai apa-apa selain sehelai kain sarung yang dikenakannya dan tidak mampu membayar mas kahwin cincin dari besi sekalipun. Tetapi walaupun demikian, beliau mengahwinkannya dengan seorang wanita dan menjadikan mas kahwinnya bahawa dia perlu mengajarkan isterinya Al-Quran yang telah dihafalnya. Berkat kemurahan daripada Allah SWT dan belas kasih-Nya, pada akhirnya Allah memberinya rezeki yang dapat mencukupi kehidupan dia dan isterinya.
Terkait ayat ini juga Ibnu Mas’ud radhiyallahu ’anhu berkata,
التمسوا الغنى في النكاح، وتلا هذه الآية.
”Carilah kecukupan dengan menikah.” Kemudian beliau pun membacakan ayat ini. (Al-Jami’ li Ahkam Al-Qur’an, 12: 241)
Al-Qurthubi rahimahullah menjelaskan,
وهذا وعد بالغنى للمتزوجين طلب رضا الله واعتصاما من معاصيه
”Janji ini hanya ditujukan kepada orang yang hendak menikah untuk mendulang redha Allah dan melindungi diri dari maksiat.” (Al-Jami’ li Ahkam Al-Qur’an, 12: 241)
Umar bin Al-Khattab radhiyallahu ’anhu berkata,
عجبي ممن لا يطلب الغنى في النكاح، وقد قال الله تعالى: إن يكونوا فقراء يغنهم الله من فضله.
”Aku hairan terhadap orang yang tidak mencari kekayaan menerusi pernikahan. Padahal Allah telah berfirman yang maksudnya, `Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya‘.” (Al-Jami’ li Ahkam Al-Qur’an, 12: 241)
Dari penjelasan para mufasir, jelaslah bahawa dengan menikah Allah menjanjikan kelapangan rezeki. Hanya saja janji Allah ini berkaitan dengan pelaksanaan hukum syariat yang lain, yakni penerapan sistem ekonomi Islam oleh negara. Sistem ekonomi Islam memberi jaminan kesejahteraan dan pemenuhan keperluan mendasar (keperluan asas berupa pakaian, makan-minum, pendidikan, kesihatan dan keamanan) setiap warganegara. Dengan mekanisme perbendaharaan negara berasaskan baitul mal, pengaturan kepemilikan individu, umum dan negara, serta jaminan pengagihan harta yang adil tidak bertompok pada segelintir orang sahaja.
Ada banyak kebaikan dalam pernikahan, selain tujuannya adalah melestarikan jenis dan Rasulullah bangga dengan jumlah umat Islam yang banyak, pernikahan turut menjadikan seseorang merasa tentram jiwanya kerana terpenuhi fitrahnya sebagai manusia. Kerana itu ada sejumlah hukum terkait pernikahan dan peraturan yang berkaitan dengan kehidupan rumah tangga. Ada hak dan kewajipan suami isteri, yang tatkala ini jika terpenuhi maka terciptalah sakinah mawaddah warrahmah.
Islam mewajibkan kaum lelaki bekerja untuk mencari nafkah. Negara memberi kemudahan akses lapangan kerja dan juga modal jika diperlukan. Boleh jadi berupa pinjaman tanpa bunga atau bahkan pembiayaan secara percuma. Yang demikian itu kerana fungsi seorang ketua negara yakni imam atau khalifah adalah raa’in yakni mengurusi urusan rakyat. Khalifah bertanggungjawab penuh terhadap urusan rakyat. Jika urusan nafkah ini tidak dapat dipenuhi oleh suami kerana ada kecacatan fizikal sehingga tidak mampu bekerja, maka nafkah beralih pada wali, jika walinya tidak mampu, maka tanggungjawab akan diambil alih oleh negara. Negara akan menjamin pemenuhan keperluan mereka yang lemah secara fizikal yang tidak memiliki kemampuan.
Sehingga jelaslah bahawa pernikahan itu tidak menambah angka kemiskinan, sebaliknya Allah menjanjikan membuka pintu rezeki bagi siapa saja yang menikah. Jika hari ini faktanya angka kemiskinan bertambah maka sama sekali tidak berkadar terus dengan angka pernikahan.
Kemiskinan yang terjadi di negeri muslim hari ini sejatinya disebabkan oleh penerapan ekonomi kapitalisme yang membebaskan kepemilikan harta bagi siapapun, dengan cara apapun. Sumber daya alam yang sepatutnya menjadi milik umum dan dikelola negara untuk kesejahteraan rakyat sebaliknya diberikan pada individu atau penswastaan, akibatnya harta terkumpul pada sekelompok orang saja. Begitu juga sarana kemudahan awam (prasaranan umum) yang menguasai keperluan hidup orang awam telah dikuasai swasta, sehingga rakyat perlu membayar harga mahal untuknya. Padahal, keuntungan mengalir pada sekelompok orang tertentu saja.
Wajar dalam sistem ekonomi kapitalis liberal berlaku kesenjangan yang fahish atau keji antara si kaya dan si miskin. Ini kerana tidak adanya pengaturan kepemilikan sebagaimana dalam sistem ekonomi Islam. Begitu pula terkait agihan harta dikembalikan pada kemampuan masing-masing, sehingga orang yang lemah tidak mampu memenuhi keperluannya kerana tidak memiliki harta. Sementara negara yang sepatutnya meriayah rakyat dan menjamin keperluan asasi mereka berlepas tangan dari tanggungjawabnya. Walhasil kemiskinan tidak akan pernah dapat diselesaikan dalam penerapan ekonomi yang bertentangan dengan syariat Islam. Wallahu ‘alam.