[Tafsir] Ancaman untuk Orang Kafir [Surah Qaf (50): 12-14]
Penulis : Ust. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
كَذَّبَتۡ قَبۡلَهُمۡ قَوۡمُ نُوحٖ وَأَصۡحَٰبُ ٱلرَّسِّ وَثَمُودُ ١٢ وَعَادٞ وَفِرۡعَوۡنُ وَإِخۡوَٰنُ لُوطٖ ١٣ وَأَصۡحَٰبُ ٱلۡأَيۡكَةِ وَقَوۡمُ تُبَّعٖۚ كُلّٞ كَذَّبَ ٱلرُّسُلَ فَحَقَّ وَعِيدِ ١٤
“Sebelum mereka (yang menentang Nabi Muhammad) itu – kaum Nabi Nuh, dan “Ashaabur-Rassi” serta Thamud (kaum Nabi Soleh), telah juga mendustakan Rasul masing-masing, Dan juga Aad (kaum Nabi Hud), dan Firaun, serta kaum Nabi Lut, dan juga penduduk “Aikah”, serta kaum ” Tubba’ “; tiap-tiap satu kaum itu telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepadanya), oleh itu sudah semestinyalah mereka mendapat hukuman yang sudah diancamkan.” [TMQ Qaf (50): 12-14].
Dalam beberapa ayat sebelum ini, kami telah menyebut tentang sanggahan terhadap kehairanan, pengingkaran dan gangguan orang-orang kafir terhadap pengutusan Rasulullah SAW serta kepastian kebangkitan manusia selepas kematian mereka.
Kemudian diteruskan dengan ayat-ayat ini yang memberitakan tentang azab yang ditimpakan kepada kaum-kaum terdahulu yang mendustakan rasul-rasul mereka.
Tafsiran Ayat
Allah SWT berfirman:
Kaum Nuh, kaum Rass dan Thamud telah mengingkarinya sebelum mereka.
كَذَّبَتۡ قَبۡلَهُمۡ قَوۡمُ نُوحٖ وَأَصۡحَٰبُ ٱلرَّسِّ وَثَمُودُ ١٢
“Sebelum mereka (yang menentang Nabi Muhammad) itu – kaum Nabi Nuh, dan “Ashaabur-Rassi” serta Thamud (kaum Nabi Soleh), telah juga mendustakan Rasul masing-masing,”
Dhamir al-hâ’ atau kata ganti nama diri ketiga dalam perkataan « قَبْلَهُمْ » (sebelum mereka) merujuk kepada kaum kafir Quraisy. Bermula dengan sebutan kaum Nabi Nuh AS. Kemudian diikuti dengan « أَصْحابُ الرَّسِّ » atau penduduk Rass. Menurut ad-Dhahhak dan Mujahid, Rass ialah nama sebuah perigi.[1] Mereka tinggal di sekitar perigi itu di kawasan Yamamah. Mereka adalah penyembah berhala.[2] Menurut Ibnu Jarir at-Thabari, di dalam perigi itulah penduduk Rass menguburkan nabi mereka.[3] Penduduk Rass ialah kaum Nabi Syuaib AS.[4]
Adapun Thamud adalah kaum yang tinggal di negeri al-Hijr.[5] Kepada mereka Allah SWT mengutus Nabi Saleh AS. [TMQ al-A’raf (7): 73].
Dalam ayat ini dinyatakan bahawa mereka semua « كَذَّبَتْ » (mendustakan). Tidak disebutkan apa yang mereka bohongi. Menurut al-Jazairi, mereka mendustakan kebangkitan, tauhid dan kenabian.[6] Ini kerana ayat-ayat ini membincangkan peneguhan Hari Kebangkitan bersama pembalasan dan ketetapan Rasulullah SAW.[7]
Kemudian dinyatakan:
وَعَادٞ وَفِرۡعَوۡنُ وَإِخۡوَٰنُ لُوطٖ ١٣
“Dan juga Aad (kaum Nabi Hud), dan Firaun, serta kaum Nabi Lut.”
‘Ad adalah kaum Nabi Hud AS. [lihat Surah al-‘Araf (7): 65, Hud [11]: 50]. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhan mereka dan menentang rasulNya [lihat Surah Hud (11): 59].
Sedangkan Firaun adalah seorang pemerintah di Mesir yang sangat sombong dan melampaui batas. Kepadanya Allah SWT mengutus Nabi Musa AS. Walaupun hanya Fir’aun yang disebut, ia juga termasuk kaumnya.[8] Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Yunus [10]: 83.[9]
Apakah pengajaran yang dapat diambil dengan hanya menyebut nama Fir’aun, tetapi tidak disebut: Fir’aun wa qawmihi (Fir’aun dan kaumnya) atau qawmi Fir’aun (kaum Firaun)? Menurut Fakhruddin ar-Razi, kerana Fir’aun seorang yang sombong, dia merendahkan kaumnya dan membebankan perintahnya kepada mereka.[10] Penjelasan serupa juga dikemukakan oleh al-Khazin. [11]
Seterusnya « إِخْوانُ لُوطٍ » (saudara-saudara Lut), iaitu kaum Nabi Lut AS. Selain mensyirikkan Allah SWT, mereka juga melakukan perbuatan keji iaitu mendatangi sesama lelaki. Seruan Nabi Lut AS mereka tidak beri perhatian.
Kemudian disebutkan:
وَأَصۡحَٰبُ ٱلۡأَيۡكَةِ وَقَوۡمُ تُبَّعٖۚ ١٤
“…dan juga penduduk “Aikah”, serta kaum ” Tubba’ “;
Penduduk Aikah adalah kaum Nabi Syuaib AS.[12] Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam firmanNya [Surah as-Syu’ara (26): 176-177].
Menurut Syihabuddin al-Alusi, mereka tidak tinggal di Madyan, tetapi di Aikah.[13]
Kaum Tubba’ adalah penduduk yang tinggal di Yaman. Selain daripada ayat ini, nama mereka juga disebut dalam firmanNya [Surah al-Dukhan (44): 37].[14]
Mereka adalah penyembah berhala.[15]
Kemudian Allah SWT berfirman:
كُلّٞ كَذَّبَ ٱلرُّسُلَ فَحَقَّ وَعِيدِ ١٤
“…tiap-tiap satu kaum itu telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepadanya), oleh itu sudah semestinyalah mereka mendapat hukuman yang sudah diancamkan.”
At-Tanwîn dalam perkataan « كُلٌّ » di sini ialah ‘iwadh yang menggantikan mudhâf ilayhi yang dihilangkan. Dianggarkan bunyi yang sebenarnya ialah: « كُلَّ وَاحِدٍ مِنْ هَؤُلَاءِ » (setiap orang dari mereka). Ini bermakna setiap daripada mereka mendustakan rasulNya yang Allah SWT utuskan kepada mereka dan mendustakan syariat yang mereka bawa.[16]
Ibnu Jarir at-Tabari berkata, “Semua orang yang Kami sebutkan telah mendustakan rasul yang diutus kepada mereka.”[17]
Menurut Syihabuddin al-Alusi, maksud al-kulliyyah (keseluruhan) daripada perkataan kullun (semua) di sini ialah al-takthîr (menunjukkan makna ramai).[18] Ini bermakna bahawa tidak semua dari mereka mendustakan. Masih ada di antara mereka yang beriman walaupun jumlahnya sedikit. Penggunaan kullu dengan maksud ini adalah seperti firmanNya:
وَأُوتِيَتۡ مِن كُلِّ شَيۡءٖ ٢٣
”Dia dianugerahi segala sesuatu” [TMQ an-Naml (27): 23].
Maksudnya, sebahagian besar apa yang dianugerahkan kepadanya (Ratu Bilqis) dalam bentuk pelbagai peralatan dan perkakas yang diperlukan oleh kerajaan.[19]
Sementara al-lâm pada perkataan « الرُّسُل » dalam ayat ini, terdapat dua pendapat. Ada yang menafsirkannya sebagai al-‘ahdi (menunjukkan benda yang sudah diketahui), [20] iaitu rasul yang diutuskan kepada mereka. Maknanya: Mereka mendustakan rasul yang diutus kepada mereka. Ada juga yang menafsirkannya sebagai li al-jinsi (menunjukkan jenis, iaitu merangkumi semua rasul). Ini bermakna setiap golongan ini mendustakan semua rasul yang diutuskan oleh Allah SWT.[21] Antara yang berpegang kepada pendapat ini ialah Fakhruddin ar-Razi, Syihabuddin al-Alusi dan Ibnu Kathir. [22]
Syihabuddin al-Alusi berpendapat ini kerana para nabi mempunyai persamaan dalam dakwah mereka yang menyeru kepada tauhid dan peringatan akan adanya hari kiamat dan perhimpunan.
Ibnu Kathir berkata, sesiapa yang mendustakan satu rasul, seakan-akan dia telah mendustakan semua rasul. Hal itu sebagaimana yang dinyatakan dalam firmanNya:
كَذَّبَتۡ قَوۡمُ نُوحٍ ٱلۡمُرۡسَلِينَ ١٠٥
”Kaum Nuh telah mendustakan para rasul”[TMQ as-Syu’ara (26): 105].
Dalam ayat ini bentuk jamak digunakan: al-mursalîn (rasul). Padahal rasul yang datang kepada mereka hanya seorang, iaitu Nabi Nuh AS. Namun, jika semua rasul datang kepada mereka, mereka akan bertindak dengan cara yang sama, iaitu mendustakan mereka semua.[23]
Pemberitaan tentang kaum-kaum yang mendustakan rasul-rasul mereka adalah tasliyah atau penghibur hati bagi Rasulullah SAW.[24] Maksudnya. apa yang dialaminya ini juga dialami oleh para rasul terdahulu. Mereka didustakan oleh kaum mereka. Mereka bersabar. Kemudian Allah SWT membinasakan orang-orang yang mendustakan para rasul itu.[25]
Seolah-olah dikatakan kepadanya: “Janganlah kamu bersedih hati dan tenggelam dalam kesedihan kerana pendustaan mereka terhadap kamu. Nasib yang sama telah dialami oleh nabi-nabi sebelum kamu. Sesungguhnya kaum mereka mendustakan mereka dan tidak membenarkan mereka kecuali hanya sedikit dari mereka.”[26]
Selain sebagai tasliyah atau penghibur hati, ayat-ayat ini juga untuk mengesahkan kebenaran Hari Kebangkitan dengan menjelaskan persamaan semua rasul dalam perkara ini dan pendustaan orang-orang yang mengingkari mereka serta ancaman kepada orang-orang kafir.[27]
Terhadap kaum yang mendustakan para rasul, Allah SWT juga menimpakan azabNya kepada mereka. Dalam ayat tersebut dinyatakan: « فَحَقَّ وَعِيدِ » (Oleh itu sudah semestinyalah mereka mendapat hukuman yang sudah diancamkan). Ini bermakna mereka berhak menerima ancaman dan hukumanKu. Demikian penjelasan al-Qurthubi. [28]
As-Syaukani juga berkata, “Ancamanku adalah wajib bagi mereka. Kalimat azab berlaku ke atas mereka. Juga halal bagi mereka kekuasaan Allah SWT berupa pembenaman, perubahan bentuk dan pembinasaan dengan pelbagai azab yang Dia turunkan kepada mereka.” [29]
Ibnu Jarir at-Thabari juga berkata, “Oleh itu wajib bagi mereka menerima ancaman yang telah Kami janjikan kepada mereka kerana kekufuran mereka kepada Allah SWT. Juga halal bagi mereka mendapat azab dan hukuman.”[30]
Al-Jazairi berkata, “(Maksudnya) Mereka menerima seksaan yang telah Aku ancamkan kepada mereka melalui lisan rasul-rasulKu. Jika mereka tidak beriman, Kami akan membinasakan mereka semuanya. Begitu juga umatmu wahai Muhammad. Mereka juga diancam dengan azab jika mereka tidak segera beriman dan taat.” [31]
Menurut Ibnu Kathir, apa yang diancamkan oleh Allah kepada mereka sudah semestinya berlaku kepada mereka akibat pendustaan mereka tentang azab dan hukumanNya. Oleh itu, hendaklah orang yang diajak bicara oleh ayat ini berhati-hati, jangan sampai mereka ditimpa azab yang telah menimpa kaum-kaum terdahulu. Ini kerana mereka sama seperti umat-umat yang terdahulu, iaitu mereka mendustakan para rasul mereka.[32]
Sebahagian daripada mereka dilanda banjir besar, lalu tenggelam, sebagaimana yang berlaku kepada Nabi Nuh [Surah al-Ankabut (29): 14] Ada juga yang didatangi dengan bunyi menggelegar yang kuat, lalu mereka menjadi seperti rumput kering (yang dikumpulkan oleh) orang-orang yang mempunyai kandang binatang. Itu yang dialami oleh kaum Thamud [Surah al-Qamar (54): 31]. Yang lainnya dihembuskan kepada mereka angin yang sangat kencang dan menggelimpangkan mereka seolah-olah mereka pokok kurma yang tumbang seperti yang ditimpakan kepada kaum Ad [Surah al-Qamar (55): 18-20)]Kepada kaum Nabi Lut, Allah SWT menimpakan hujan batu sehingga rumah-rumah mereka hancur musnah. Mereka tertimbus di bawah runtuhan rumah mereka sendiri [Surah as-Syu’ara (26): 173, an-Naml (27): 56]. Allah SWT juga mengirimkan kepada mereka suara yang nyaring yang menggelegar dan menjadikan puncak kota itu terbalik [Surah al-Hijr (15): 73-74]. Sedangkan Firaun mati di Laut Merah ketika mengejar Nabi Musa dan kaumnya [Surah al- Baqarah (2): 50 dan Surah Yunus: 92].
Dengan demikian, ayat ini menjadi ancaman bagi orang-orang musyrik jika mereka tetap dalam kekafiran dan pendustaan mereka. Ibnu Jarir at-Tabari berkata, “Sesungguhnya Tuhan kita Azza wa Jalla menggambarkan dalam ayat ini azabNya bagi orang-orang yang mendustakan para rasul. Ini adalah tarhîb atau ancaman kepada kaum musyrikin Arab, serta pemberitahuan kepada mereka bahawa jika mereka tidak mahu berhenti dari mendustakan Nabi Muhammad SAW, Dia juga akan menimpakan azab ke atas mereka seperti orang-orang yang telah menerima azab.“[33]
Begitulah. Kaum-kaum terdahulu yang mendustakan rasul-rasul mereka telah menerima akibat dari sikap mereka. Ini menjadi pengajaran penting bagi sesiapa sahaja. Jika mereka terus berkeras untuk mendustakan Rasulullah SAW, mereka akan menderita nasib yang sama seperti kaum-kaum terdahulu yang sama-sama mendustakan rasul-rasul mereka, iaitu ditimpa azab. Jika tidak di dunia, pasti di akhirat.
Wallâhu a’lam bissawab.
Nota Kaki:
1 al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 22 (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 337
2 al-Zuhaili, al-Tafsîr al-Muniîr, vol. 26 (Damsyiq: Dar al-Fikr al-Mu’ashir, 1998), 289; al-Jazairi, Aysar al-Tafâsîr, vol. 5, 141
3 al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 22, 337
4 al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5 (Beirut: Dar Ibnu Kathir, 1994), 86
5 al-Jazairi, Aysar al-Tafâsîr, vol. 5 (Madinah: Maktabah al-Ulum wa al-Hikam, 2003), 141
6 al-Jazairi, Aysar al-Tafâsîr, vol. 5, 141
7 al-Jazairi, Aysar al-Tafâsîr, vol. 5, 141
8 al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 86; al-Zamakhsyari, al-Kasysyâf, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabiy, 1987), 381; al-Baidhawi, Anwâr al-Tanzîl wa Asrâr al-Ta`wîl, vol. 5, 140
9 al-Zamakhsyari, al-Kasysyâf, vol. 4, 381
10 al-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 127 (Bierut: Dar Ihya‘ al-Turath al-‘Arabi, 1420 H), 132
11 al-Khazin, Lubâb al-Ta‘wîl fî Ma’ânî al-Tanzîl, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 187
12 al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 22, 337; Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, vol. 7, 397; al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 86
13 al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 13 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 327
14 Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, vol. 7, 397
15 al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 22, 337
16 al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 86
17 al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 22, 339
18 al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 13 , 327
19 al-Zuhaili, al-Tafsîr al-Muniîr, vol. 19, 283
20 al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 86
21 al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 87; al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 13 , 327
22 al-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 127, 132; al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 13, 327; Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, vol. 7, 39
23 Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, vol. 7, 397
24 al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 87; al-Zamakhsyari, al-Kasysyâf, vol. 4, 381; al-Baidhawi, Anwâr al-Tanzîl wa Asrâr al-Ta‘wîl, vol. 5, 140; al-Zuhaili, al-Tafsîr al-Muniîr, vol. 26, 291
25 al-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 127, 132
26 al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 87
27 al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 13, 327 Lihat juga al-Zuhaili, al-Tafsîr al-Muniîr, vol. 26, 291
28 al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, vol. 17, 8. Lihat juga penjelasan al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 13 , 328
29 al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 87
30 al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 22, 339
31 al-Jazairi, Aysar al-Tafâsîr, vol. 5, 141
32 Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, vol. 7, 397
33 al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 22, 339