[Tafsir] Bantahan Kepada Orang Yang Mengingkari Hari Kiamat
Oleh: Ust. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
أَفَعَيِينَا بِٱلۡخَلۡقِ ٱلۡأَوَّلِۚ بَلۡ هُمۡ فِي لَبۡسٖ مِّنۡ خَلۡقٖ جَدِيدٖ ١٥
”Adakah Kami letih dengan penciptaan pertama? Sebenarnya mereka berada dalam keadaan ragu-ragu tentang penciptaan yang baru.”[TMQ Qaf (50): 15].
Ayat ini mengingatkan kita tentang kekuasaan Allah SWT ke atas manusia khususnya dari segi penciptaan.
Tafsiran Ayat
Allah SWT berfirman:
أَفَعَيِينَا بِٱلۡخَلۡقِ ٱلۡأَوَّلِۚ ١٥
”Adakah Kami letih dengan penciptaan yang pertama?”
Yang dimaksudkan dengan al-khalq al-awwal atau penciptaan pertama ialah penciptaan manusia daripada nuthfah, kemudian daripada ‘alaqah. Terdapat juga pendapat yang menyatakan, penciptaan Adam.[1] Menurut al-Khazin, ini adalah jawapan kepada kata-kata mereka: « ذلِكَ رَجْعٌ بَعِيدٌ » (itu adalah suatu pengembalian yang mustahil). Maksudnya: “Adakah Kami lemah ketika Kami menciptakan mereka pada kali pertama, sehingga Kami letih untuk mengembalikan mereka pada kali yang kedua?”[2]
Selain itu, terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa yang dimaksudkan ialah penciptaan langit, kerana langit itulah yang diciptakan, seperti yang disebutkan dalam firmanNya.
أَفَلَمۡ يَنظُرُوٓاْ إِلَى ٱلسَّمَآءِ فَوۡقَهُمۡ ٦
”Tidakkah mereka melihat langit di atas mereka” [TMQ Qaff (50): 6].[3]
Menurut yang lain, selain langit, juga bumi. Ini ditunjukkan oleh firmanNya:
أَوَ لَمۡ يَرَوۡاْ أَنَّ ٱللَّهَ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَٱلۡأَرۡضَ وَلَمۡ يَعۡيَ بِخَلۡقِهِنَّ بِقَٰدِرٍ عَلَىٰٓ أَن يُحۡـِۧيَ ٱلۡمَوۡتَىٰۚ بَلَىٰٓۚ ٣٣
”Tidakkah mereka memperhatikan bahawa Allah Yang menciptakan langit dan bumi, sedang Dia tidak merasa payah pada penciptaan keduanya, berkuasa menghidupkan orang mati?”[TMQ al-Ahqaf (46): 33].[4]
Mengenai perkataan ” عَيَّ ” bermaksud « عَجَزَ عَنْهُ » (lemah, tidak mampu).[5] Perkataan « عَيَّ بِالْأَمْرِ وَعَيِيَ » digunakan untuk menunjukkan « إِذَا لَمْ يَهْتَدِ لِوَجْهِهِ » (apabila seseorang tidak mengetahui arah atau maksudnya).[6] Dikatakan « عَيِيتُ بِالْأَمْرِ », bermaksud: « عَجَزْتُ عَنْهُ وَلَمْ أَعْرِفْ وَجْهَهُ » (Saya tidak mampu melakukan perkara itu dan tidak tahu caranya).[7]
Dalam konteks ayat ini, maksud perkataan tersebut ialah: « لم يتعب ولم ينصب لخلق السموات والأرض » (Allah SWT tidak merasa letih dan lelah mencipta langit dan bumi). Demikianlah menurut al-Jazairi.[8]
Huruf hamzah pada permulaan ayat ini ialah istifham (kata tanya). Dalam konteks ayat ini, hamzah istifham itu ialah li al-inkar, iaitu untuk menunjukkan pengingkaran.[9]
Menurut as-Syaukani, perkataan tersebut adalah “لِلتَّقْرِيعِ وَالتَّوْبِيخِ” (sebagai kecaman dan celaan).[10]
Perkataan ini berguna untuk menetapkan perkara Hari Kebangkitan yang diingkari oleh umat-umat itu. Maksudnya, “Adakah Kami lemah, tidak dapat mencipta lagi, sedangkan Kamilah yang menciptakan mereka pada kali pertama ketika mereka tidak ada sebelumnya? Maka bagaimana mungkin Kami tidak dapat membangkitkan mereka semula?[11]
Menurut Ibnu Jarir, ini adalah taqrî’ atau kecaman Allah SWT terhadap kaum musyrikin Quraisy yang berkata (sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya):
أَءِذَا مِتۡنَا وَكُنَّا تُرَابٗاۖ ذَٰلِكَ رَجۡعُۢ بَعِيدٞ ٣
”Adakah kami (akan kembali lagi) setelah mati dan setelah menjadi tanah ? Itu adalah suatu pengembalian yang tidak mungkin” [TMQ Qaff (50): 3].
Allah SWT berfirman kepada mereka, “Adakah Kami letih dengan penciptaan pertama yang Kami ciptakan, padahal sebelumnya belum ada, sehingga Kami letih untuk mengembalikannya kepada makhluk yang baru setelah bercampur dengan bumi kemudian binasa? Kami sama sekali tidak letih dengan semua itu, malah Kami berkuasa untuk melakukannya.”[12]
Dengan demikian, ayat ini sekali lagi mencela orang-orang yang mengingkari al-ba’th (kebangkitan selepas mati) dan pada masa yang sama menjawab kata-kata mereka: « ذلِكَ رَجْعٌ بَعِيدٌ » (ia adalah satu pengembalian yang mustahil), iaitu adakah Allah SWT lemah atau tidak mampu mencipta pada penciptaan pertama sehingga Dia juga tidak mampu mengembalikannya semula?
Menurut Wahbah az-Zuhaili, ini adalah dalil dari jiwa manusia yang ditambahkan kepada bukti-bukti sebelumnya dari alam semesta mengenai kebenaran bahawa kebangkitan dan pengumpulan adalah sesuatu yang sangat mungkin, sama ada menurut akal mahupun adat resam. Oleh itu Zat Yang berkuasa untuk mencipta dalam penciptaan pertama, bagaimana mungkin Dia tidak dapat mengembalikannya lagi?[13]
Maksudnya, adakah penciptaan pertama itu melemahkan Kami sehingga mereka meragui adanya pengembalian mereka (selepas mati)? Demikianlah menurut Ibnu Kathir.[14]
Tujuan ayat ini ialah menjadi al-istidlâl atau penetapan dalil penciptaan pertama mengenai adanya Hari Kebangkitan.[15]
Menjelaskan ayat ini, Wahbah al-Zuhaili berkata, “Sesungguhnya Kami tidaklah lemah (untuk menghidupkan manusia semula). Mengembalikannya lebih mudah daripada menciptanya kali pertama.” Ini sebagaimana firmanNya:
وَهُوَ ٱلَّذِي يَبۡدَؤُاْ ٱلۡخَلۡقَ ثُمَّ يُعِيدُهُۥ وَهُوَ أَهۡوَنُ عَلَيۡهِۚ ٢٧
”Dialah Yang menciptakan (manusia) dari permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkannya semula. Menghidupkan semula lebih mudah bagi Allah” [TMQ ar-Rum (30): 27].[16]
Menurut Ibnu Kathir, makna yang dimaksudkan ialah: “Permulaan penciptaan tidak melemahkan Kami. Sudah tentu, mengembalikannya kepada keadaan asalnya adalah lebih mudah daripada menciptanya pada kali pertama.” Ini sebagaimana disebutkan dalam ayat lain melalui firmanNya:
وَهُوَ ٱلَّذِي يَبۡدَؤُاْ ٱلۡخَلۡقَ ثُمَّ يُعِيدُهُۥ وَهُوَ أَهۡوَنُ عَلَيۡهِۚ ٢٧
”Dialah Yang menciptakan (manusia) dari permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkan)-nya semula. Menghidupkan semula itu adalah lebih mudah” [TMQ al-Rum (30): 27].
Juga firman Allah SWT:
وَضَرَبَ لَنَا مَثَلٗا وَنَسِيَ خَلۡقَهُۥۖ قَالَ مَن يُحۡيِ ٱلۡعِظَٰمَ وَهِيَ رَمِيمٞ ٧٨ قُلۡ يُحۡيِيهَا ٱلَّذِيٓ أَنشَأَهَآ أَوَّلَ مَرَّةٖۖ وَهُوَ بِكُلِّ خَلۡقٍ عَلِيمٌ ٧٩
”Dia telah membuat perumpamaan bagi Kami dan dia lupa atas kejadiannya. Dia berkata, “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-belulang yang telah hancur luluh?” Katakanlah, “Dia akan dihidupkan oleh Tuhan Yang menciptakannya pertama kali. Dia Maha Tahu atas segala makhluk” [TMQ Yasin (36): 78-79].[17]
Dalam hadis daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW, bahawa Allah SWT telah berfirman:
فَأَمَّا تَكْذِيبُهُ إِيَّاىَ فَقَوْلُهُ لَنْ يُعِيدَنِى كَمَا بَدَأَنِى، وَلَيْسَ أَوَّلَ الْخَلْقِ بِأَهْوَنَ عَلَىَّ مِنْ إِعَادَتِهِ
”Adapun pendustaan (Bani Adam) kepadaKu adalah mereka mengatakan bahawa Aku tidak akan dapat mengembalikan dirinya (hidup) seperti pada permulaan Aku menciptakan mereka, padahal penciptaan pertama lebih mudah dari mengembalikannya” [HR al-Bukhari].
Menurut Imam al-Qurthubi, ini adalah kecaman terhadap orang-orang yang mengingkari kebangkitan dan jawapan kepada ucapan mereka: « ذلكَ رَجْعٌ بَعِيدٌ » (itu adalah suatu pengembalian yang mustahil).[18]
Kemudian diteruskan dengan firmanNya:
بَلۡ هُمۡ فِي لَبۡسٖ مِّنۡ خَلۡقٖ جَدِيدٖ ١٥
”Sebenarnya mereka dalam keadaan ragu-ragu tentang penciptaan yang baru.”
Perkataan « فِي لَبْسٍ » bermaksud [ في خلط وشبهة ] dalam kekeliruan dan kesamaran. Makna ini adalah sebagaimana yang terkandung dalam perkataan Sayidina Ali RA: « يَا جَارِ إِنَّهُ لَمَلْبُوسٌ عَلَيْكَ، اعْرِفِ الْحَقَّ تَعْرِفْ أَهْلَهُ » (Wahai Har, sesungguhnya ini adalah samar bagimu. Ketahuilah kebenaran, maka kamu akan mengetahui orangnya). Demikian menurut az-Zamakhsyari.[19]
Ada juga yang menafsirkannya sebagai: « فِي شَكٍّ وَحَيْرَةٍ وَاخْتِلَاطٍ » (dalam keraguan, kebimbangan dan kekeliruan). As-Syaukani berkata, “Mereka berada dalam keraguan, kebimbangan dan kekeliruan tentang penciptaan baru (membangkitan semula orang mati).” [20]
Perkataan « بلْ » dalam ayat ini bermaksud « الْإِضْرَابُ » (memindahkan satu tema kepada tema yang lain) yang tidak menafikan makna sebelumnya. Seperti yang dijelaskan oleh as-Syaukani, maksud al-idhrâb di sini ialah mereka tidak mengingkari kekuasaan Allah SWT pada penciptaan pertama.” [21]
Maka, yang mereka ragui ialah « خَلْقٍ جَدِيدٍ » (penciptaan yang baru). Dengan kata lain, mereka berasa ragu-ragu tentang kebangkitan manusia selepas kematian mereka.
Al-Baidhawi berkata, “Mereka tidak mengingkari kekuasaan Kami pada penciptaan pertama. Walau bagaimanapun, mereka berada dalam kekeliruan dan kesamaran mengenai penciptaan seterusnya. Kerana, ia menyimpang dari kebiasaan. Mereka mengingkari penciptaan baru kerana besarnya urusan tersebut. Ia dirasakan tidak diketahui dan tidak biasa.”[22]
Penjelasan serupa juga diberikan oleh Ibn Jarir at-Tabari. Ahli tafsir itu berkata, “Orang-orang musyrik yang mendustakan Hari Kebangkitan tidak ragu-ragu bahawa Kami tidak letih dengan penciptaan pertama. Namun, mereka meragui kekuasaan Kami dalam penciptaan yang baru setelah kebinasaan mereka dalam kubur.”[23]
Menurut Abdurrahman as-Sa’di, Allah SWT sama sekali tidak letih dan tidak lemah pada penciptaan pertama. Mengenai ini, mereka juga tidak meraguinya. Namun, mereka fî labs[in] (dalam keraguan) tentang penciptaan baharu. Mengenai ini mereka berasa ragu-ragu dan samar. Padahal, tidak ada tempat untuk keraguan. Ini kerana mengembalikannya lebih mudah daripada membuat yang baru, sebagaimana disebutkan dalam Surah ar-Rum [30]: 27.[24]
Penjelasan serupa juga dikemukakan oleh mufassir lain, seperti al-Khazin, dan lain-lain.[25]
Beberapa Pengajaran Penting
Terdapat banyak ayat dan hadis yang melaporkan kepastian dan kebenaran hari kiamat. Peristiwa itu pasti akan berlaku. Tidak ada yang dapat mencegahnya dan tidak dapat diragukan [Lihat: Surah al-Hajj (22): 7].
Apabila peristiwa itu berlaku, semua manusia yang telah dimatikan akan dihidupkan semula. Mereka dibangkitkan untuk dipertanggungjawabkan atas segala amal perbuatan mereka semasa di dunia. Kemudian mereka diberi balasan sesuai dengan perbuatan mereka. Ada yang dimasukkan ke dalam syurga. Yang lain dicampakkan ke dalam neraka.
Namun, ramai yang mengingkarinya. Mereka tidak beriman [Lihat: Surah Ghafir (40): 59].
Mereka yang mengingkari hari kiamat beralasan bahawa manusia yang telah mati dan jasadnya menjadi debu adalah sesuatu yang mustahil [Lihat: Surah Qaf (50): 3].
Ayat di atas menyangkal penafian mereka. Menurut Abdurrahman as-Sa’di, dalam ayat ini Allah SWT menjadikan penciptaan pertama sebagai dalil bagi penciptaan yang lain, iaitu kebangkitan semula nanti. Sebagaimana Allah SWT menciptakan mereka dari tiada, Dia juga dapat mengembalikan mereka setelah mereka mati dan setelah tubuh mereka hancur.[26] [Lihat juga: Surah ar-Rum (30): 27; Surah al-Anbiya’ (21): 104] .
Begitulah, ayat ini dan ayat-ayat lain dengan mudah menyangkal dakwaan dan alasan orang-orang kafir yang mengingkari Hari Kiamat. Oleh itu, jika mereka berterusan mengingkari hari kiamat, mereka tidak berhak melainkan azab neraka yang sangat dahsyat [Lihat: Surah al-Furqan (25): 11].
Wallâhu a’lam bissawâb.
Nota kaki:
1 Ibnu Juzyi al-Kalbi, al-Tas-hîl li ‘Ulûm al-Tanzîl, vol. 2, 301
2 al-Khazin, Lubâb al-Ta‘wîl fî Ma’ânî al-Tanzîl, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 187
3 al-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 127 (Bierut: Dar Ihya‘ a;-Turath al-‘Arabi, 1420 H), 128
4 al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 13 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 328
5 Ahmad Mukhtar, Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyyah al-Mu’âshirah, vol. 2 (tt: ‘Alam al-Kitab, 2008 ), 1587
6 al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 32
7 al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 87
8 al-Jazairi, Aysar al-Tafâsîr, jil. 5 (Madinah: Maktabah al-‘Ulum wa al-Hikam, 2003), 67
9 al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, jil. 13 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 328; Ibnu Juzyi al-Kalbi, al-Tas-hîl li ‘Ulûm al-Tanzîl, vol. 2 (Beirut: Syarikah Dar al-Arqam bin al-Arqam, 1996), 301
10 al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5 (Beirut: Dar Ibnu Kathir, 1994), 87
11 al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 87
12 al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 22 (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 340
13 al-Zuhaili, al-Tafsîr al-Muniîr, vol. 26, 291
14 Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, vol. 7, 397
15 Ibnu Juzyi al-Kalbi, al-tas-hîl li ‘Ulûm al-Tanzîl, vol. 2, 301
16 al-Zuhaili, al-Tafsîr al-Muniîr, vol. 26, 290
17 Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, vol. 7, 397
18 al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, vol. 17, 8
19 al-Zamakhsyari, al-Kasysyâf, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabiy, 1987), 382
20 al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 87
21 al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 87
22 al-Baidhawi, Anwâr al-Tanzîl wa Asrâr al-Ta‘wîl, vol. 5, 140
23 al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 22, 340
24 al-Sa’di, Taysîr al-Karîm al-Rahman (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 805
25 al-Khazin, Lubâb al-Ta‘wîl fî Ma’ânî al-Tanzîl, vol. 4, 187
26 al-Sa’di, Taysîr al-Karîm al-Rahman (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 805