Kemandirian Mata Wang Negara Khilafah
(Telaah Kitab Muqaddimah ad-Dustur Fasal 166)
Oleh: Gus Syams
Di dalam Fasal 166 dijelaskan bahawa Negara menerbitkan mata wang khusus yang mandiri dan tidak terikat dengan mata wang asing mana pun. Redaksi fasal tersebut berbunyi:
تُصْدِرُ الدَّوْلَة نَقْداً خَاصاً بها يَكُوْنُ مُسْتَقِلا وَلا يَجُوْزُ أَنْ يَرْتَبِطَ بِأَيِّ نَقْدٍ أَجْنَبِيٍّ
Negara menerbitkan mata wang khusus yang mandiri dan tidak boleh terikat dengan mata wang asing manapun.
Bahagian pertama dari fasal ini dalilnya adalah kerana hak mengatur urusan rakyat hanya ada di tangan Khalifah atau Imam semata. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
اَلْإمَامُ رَاعٍ وَمَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Imam (Khalifah) adalah pemimpin dan dia bertanggung jawab atas kepemimpinannya.” (HR al-Bukhari dari jalan ‘Abdullah bin ‘Umar).
Termasuk bahagian dari pengaturan urusan rakyat adalah mengatur perkara-perkara yang hukum asalnya mubah. Menetapkan dam menerbitkan mata wang khusus untuk negara merupakan perkara mubah. Negara boleh menetapkan atau tidak menetapkan mata wang khusus. Rasulullah SAW tidak mencetak mata wang tertentu berdasarkan sifat tertentu yang tetap dan tidak berbeza-beza. Pada masa Nabi SAW, tidak ada mata wang tertentu yang diberlakukan oleh Negara. Keadaan itu tetap berlangsung sepanjang masa kepemimpinan beliau, juga sepanjang masa Khulafaur Rasyidin yang empat, dan awal Kekhilafahan Bani Umayyah. Lalu hingga datang masa ‘Abdul Malik bin Marwan. Beliau berfikir untuk mengalihkan semua emas dan perak yang dipergunakan, baik yang dicetak mahupun tidak, ke cetakan Islam dan mengubahnya ke dalam timbangan yang sama, tidak berbeza-beza. ‘Abdul Malik mencetak dirham dari perak dan dinar dari emas. Sejak saat itu dirham dan dinar Islam dicetak. Adapun sebelum itu belum pernah ada.
Dari sini dapat difahami bahawa penerbitan mata wang merupakan perkara mubah dan bukan satu kewajipan bagi negara. Hanya saja, jika penjagaan dan keamanan ekonomi negara dari krisis dan perlindungannya dari para musuh memerlukan penerbitan mata wang, maka penerbitannya secara automatic menjadi wajib. Ini berdasarkan kaedah syar’iyyah:
مَا لاَ يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلاَّ بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ
“Selama suatu kewajipan tidak dapat terlaksana, kecuali dengan sesuatu, maka sesuatu itu menjadi wajib.
Adapun bahagian kedua dari fasal ini, dalil pengharamannya adalah kerana hal tersebut menjadikan negara secara kewangan, mengikuti dan bergantung pada negara-negara kafir, dimana mata wang negara dikaitkan dengan mereka. Ini sebagaimana Irak dulu ketika mengikuti pound sterling Britain. Lebih dari itu, hal itu menjadikan negara berada di bawah belas kasihan negara kafir dari sisi kewangan. Keduanya adalah haram. Kaedah syar’iyyah menyatakan:
اَلْوَسِيْلَةُ إِلَى الْحَرَامِ حَرَامٌ
“Wasilah (sarana) yang mengantarkan pada keharaman adalah haram.”
Di samping itu, pada bila-bila masa ia juga mengancam kestabilan ekonomi Negara Islam. Hal ini dilarang berdasarkan kaedah:
الشَّيْء الْمُبَاحُ إِذَا كَانَ فَرْدٌ مِنْ أَفْرَادِهِ يُؤَدِّي إِلَى ضَرَرٍ يُمْنَعُ ذَلِكَ الْفَرْدُ وَ يَبْقَى ذَلِك الشَّيْء مُبَاحًا
“Sesuatu yang mubah itu, jika salah satu bahagian dari bahagian-bahagiannya mengantarkan pada bahaya, maka bahagian tersebut dilarang, sedangkan sesuatu tersebut tetap mubah.”
Oleh kerana itu, mengaitkan mata wang Negara Islam dengan mata wang asing adalah haram.