Mata Wang Negara Khilafah: Emas dan Perak
(Telaah Kitab Muqaddimah ad-Dustuur Pasal 167- Sambungan)
Oleh: Gus Syams
Pada tulisan sebelumnya telah dijelaskan bahawa jika Khilafah hendak mengeluarkan satuan tertentu mata wang untuk negara, maka ia wajib mengaitkan satuan mata wang tersebut dengan hukum-hukum syariah yang berhubungan harta, seperti zakat, pertukaran (sharf), riba, dan lain-lain. Khilafah juga wajib mengaitkan satuan mata wang tersebut dengan hukum-hukum syariah yang berhubungan dengan individu pemilik harta, seperti penetapan kadar diyat, nishaab potong tangan dalam kes pencurian, dan sebagainya. Hal ini didasarkan pada alasan bahawa Khilafah tidak bebas menetapkan satuan apa saja dari mata wang. Khilafah wajib terikat dengan satuan tertentu dari mata wang. Khilafah tidak bebas menetapkan satuan mata wang lain secara mutlak. Siapa saja yang meneliti hal-hal tersebut, nescaya akan menyimpulkan bahawa satuan tertentu dari mata wang dalam jenis tertentu yang telah ditetapkan nas syariah adalah emas dan perak.
Rasulullah SAW telah menetapkan emas dan perak sebagai mata wang. Beliau telah menjadikan keduanya sebagai standard kewangan yang digunakan sebagai rujukan untuk menilai barang dan perkhidmatan. Transaksi-transaksi dilangsungkan berdasarkan standard emas dan perak. Rasulullah SAW juga telah menyetujui dan menetapkan ukuran untuk mata uqiyah, dirham, daniq, qirath, mitsqal dan dinar. Ukuran-ukuran tersebut dikenal dan masyhur pada zaman Nabi SAW dan digunakan dalam segala transaksi oleh masyarakat. Atas dasar itu, ada persetujuan dari Nabi SAW.
Di dalam beberapa hadis sahih dituturkan bahawa semua jual-beli dan pernikahan (penentuan mahar dan sebagainya) dilangsungkan dengan menggunakan emas dan perak. Faktanya, Rasulullah SAW menjadikan mata wang emas dan perak. Beliau juga mengaitkan beberapa hukum syariah dengan keduanya saja (emas dan perak). Beliau menjadikan zakat wang hanya terbatas pada keduanya saja. Beliau juga membatasi sharf dan transaksi-transaksi kewangan dengan keduanya. Semua itu menunjukkan dengan jelas bahawa mata wang Islam hanyalah emas dan perak, bukan yang lain.
Hanya saja, yang perlu difahami dengan jelas, keberadaan syariah yang menetapkan emas dan perak sebagai mata wang rasmi yang diterbitkan negara dengan satuan tertentu tidak bererti bahawa negara mengikat pertukaran-pertukaran yang terjadi di tengah-tengah masyarakat dengan mata wang ini saja. Namun, hal itu bermakna bahawa hukum-hukum syariah yang telah ditetapkan dengan mata wang dan satuan emas dan perak, maka hukum-hukum ini tidak dilangsungkan kecuali sejalan dengan mata tersebut. Adapun pertukaran-pertukaran (sistem barter) tetaplah berhukum mubah, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh syariat. Negara tidak boleh membatasi pertukaran dengan satuan tertentu. Dengan kata lain, negara tidak boleh membatasi pertukaran hanya dengan mata wang negara, atau dengan mata wang lain. Sebab, pembatasan seperti ini termasuk perbuatan mengharamkan yang mubah. Hal ini tentu saja tidak diperbolehkan. Negara tidak boleh melakukan hal itu, kecuali jika negara memandang bahawa keberadaan mata wang lain di dalam negeri menyebabkan krisis mata wangnya, krisis kewangannya, ataupun krisis perekonomiannya. Dengan ungkapan lain, keberadaan mata wang negara lain menyebabkan bahaya (dharar) bagi negara dan masyarakat. Dalam keadaan seperti ini, negara boleh melarang mata wang itu berdasarkan kaedah:
الْوَسِيْلَةُ إِلَى الْحَرَامِ حَرَامٌ
“Wasilah menuju keharaman adalah haram.”
Begitu juga jika negara memandang mata wang tertentu boleh menyebabkan mudarat (bahaya), maka negara boleh melarang mata wang tersebut. Hal ini berdasarkan kaedah:
كُلُّ فَرْدٍ مِنْ أَفْرَادِ الشّيْءِ الْمُبَاحِ إِذَا كَانَ يُؤَدِّي إِلَى ضَرَرٍ يَحْرُمُ ذَلِكَ الْفَرْدُ وَ يَبْقَى الشَّيْءُ مُبَاحًا
“Setiap bahagian dari bahagian-bahagian sesuatu yang mubah, jika bahagian itu menyebabkan bahaya, maka bahagian itu diharamkan, sedangkan sesuatu itu tetap dalam kemubahannya.
Kaedah ini juga diterapkan dalam tindakan mengeluarkan mata wang negara dari dalam ke luar negara, juga diterapkan dalam tindakan memasukkan mata wang asing ke dalam negara. Ketentuan ini juga berlaku dalam tindakan mengeluarkan mata wang asing dari dalam negara.
WalLaahu a’lam.