Pemeliharaan Nasab
Oleh: Maryam Ismail
Masalah perceraian dalam kalangan keluarga Muslim di Malaysia semakin membimbangkan sehingga menjadi trend dalam masyarakat. Apabila diselidiki, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kes perceraian, antaranya adalah kerana kecurangan, hilang kefahaman antara pasangan, masalah dari campur tangan pihak luar dan banyak lagi. Malah, terdapat juga kes retaknya rumah tangga disebabkan suami menuduh isteri berzina dan tidak mengakui anak dalam kandungan isteri tersebut sebagai anaknya. Isu ini juga pernah menjadi viral di media sosial pada bulan Mei tahun ini (2024).
Bukan itu sahaja, ada juga kes di mana suami enggan mengaku anak dengan bekas pasangannya semata-mata kerana ingin mengelak dari tanggungjawab memberi nafkah kepada anak itu. Perkara ini dikongsikan oleh seorang pengamal undang-udang Islam (peguam Syarie). Penafian terhadap nasab anak bukanlah isu yang remeh dan boleh dipersendakan sehingga suami dapat menafikannya dengan mudah. Malah, penjagaan keturunan merupakan salah satu matlamat dalam maqasid syariah, sehingga banyak hukum berkaitan nasab diperincikan dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW.
Definisi Nasab
Nasab نَسَبَ dalam bahasa dapat dilihat melalui ungkapan نسبه ينسبه نسَبا iaitu عزاه yang antara maksudnya termasuk menisbahkannya, memasukkannya, menggabungkannya, menyandarkannya dan lain-lain. Kata jamaknya ialah أنساب “ansab”. Apabila dikatakan نسبه في بني فلان “nasabnya di Bani Fulan”, ia bermaksud هو منهم “dia daripada kalangan mereka.” Manakala النِسْبَة “nisbah” merujuk kepada الصلة أو القرابة bermaksud, hubungan atau kerabat, iaitu hubungan dan kekeluargaan. Dari segi istilah, makna nasab tidak jauh berbeza dengan makna bahasa, iaitu صلة الإنسان بمن ينتمي إليهم من الآباء والأجداد bermaksud, hubungan seseorang dengan mereka yang dia tergolong seperti bapa dan datuk.
Mengenai persoalan nasab, hikmah Ilahiah telah menetapkan wanita sebagai tempat mengandung dan melahirkan. Oleh sebab itu, seorang wanita hanya dibenarkan menikah dengan seorang lelaki sahaja. Wanita dilarang berkahwin dengan lebih daripada seorang lelaki untuk memastikan nasab anak yang dilahirkan jelas. Dalam menentukan kejelasan nasab, tempoh kehamilan adalah penting dan Islam menetapkan tempoh kehamilan paling pendek adalah enam bulan (biasanya sembilan bulan) dari tarikh pernikahan. Oleh itu, seorang suami, jika isterinya melahirkan anak dalam tempoh enam bulan (atau lebih) dari tarikh pernikahan, anak tersebut dianggap sebagai anaknya. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Anak itu adalah (keturunan) pemilik tempat tidur (suami dan isteri)” [Muttafaq ‘alaihi, dari jalur Aisyah RA].
Syarat-syarat Penafian Terhadap Nasab
Secara ringkasnya, seorang wanita yang berstatus sebagai isteri kepada seorang suami dan melahirkan seorang anak selepas tempoh enam bulan atau lebih dari tarikh pernikahan, maka anak itu dianggap secara sah sebagai anak suaminya. Namun, jika terdapat bukti yang menunjukkan anak tersebut bukan daripada benihnya, suami boleh menafikannya dengan memenuhi beberapa syarat. Antara syarat yang perlu dipenuhi adalah seperti berikut:
- Anak yang dinafikan itu perlu dilahirkan hidup. Jika anak dilahirkan dalam keadaan mati, suami tidak boleh menafikan nasab anaknya kerana penafiannya tidak akan memberi implikasi hukum syarie.
- Suami perlu menafikan anaknya sama ada melalui pengakuan yang jelas atau melalui indikasi (penunjukan). Jika suami sudah mengakui dengan jelas atau melalui indikasi bahawa anak itu adalah anaknya, dia tidak boleh menafikan nasab anak tersebut selepas itu.
- Penafian terhadap anak mesti dilakukan pada waktu atau keadaan tertentu seperti ketika isterinya melahirkan; atau ketika suami membeli keperluan kelahiran; atau apabila suami mengetahui bahawa isterinya melahirkan semasa ketiadaannya. Penafian anak tidak boleh dilakukan di luar waktu dan situasi ini. Apabila isterinya melahirkan anak dan dia tetap diam tanpa menafikan nasab walaupun mempunyai peluang untuk melakukannya, maka nasab anak itu akan terikat dengannya, dan dia tidak lagi mempunyai hak untuk menafikannya selepas itu. Pilihan untuk menafikan ditentukan berdasarkan tempat dia mengetahui hal tersebut dan kemampuannya untuk menafikan nasab itu. Jika dia sudah mengetahui tentang anak itu dan mempunyai peluang untuk menafikannya tetapi tidak melakukannya, maka nasab anak itu akan ditetapkan kepadanya kerana Rasulullah SAW bersabda, “Anak adalah keturunan pemilik tempat tidur (suami dan isteri)”.
Sebaliknya, jika seorang suami mendakwa dia tidak mengetahui tentang kelahiran anak tersebut, ada kemungkinan dakwaannya boleh dipercayai jika dia berada di luar lokasi kelahiran bayi itu, seperti di tempat lain atau di negara yang berbeza. Keputusan dalam situasi ini bergantung kepada suami yang membuat sumpahnya, kerana pada asalnya dia tidak tahu tentang kelahiran tersebut. Namun, jika dia berada di rumah bersama isterinya, dakwaannya tidak diterima kerana mustahil perkara itu tersembunyi daripadanya.
Jika suami berkata, “Saya tahu mengenai kelahirannya, tetapi saya tidak tahu jika saya berhak menafikan anak tersebut,” atau dia berkata, “Saya tidak tahu jika ia perlu dinafikan dengan serta-merta,” maka pengakuannya boleh diterima. Sebabnya, hukum ini termasuk dalam hukum yang tidak diketahui orang awam. Perkara ini terpakai bagi individu yang baru memeluk Islam. Kejahilan terhadap hukum seperti ini yang tidak diketahui oleh orang sepertinya, dimaafkan. Namun, jika hukum itu sudah diketahui, kejahilannya tidak akan dimaafkan.
- Penafian terhadap anak mesti diikuti dengan sumpah laknat (li’an) atau suami menafikan anak tersebut melalui sumpah laknat yang sempurna (li’an tam). Anak tersebut hanya boleh dinafikan daripadanya melalui sumpah laknat yang sempurna.
Apabila keempat-empat syarat ini dipenuhi, maka anak tersebut akan dinafikan dan diserahkan kepada isteri. Ibn Umar meriwayatkan bahawa pada zaman Rasulullah SAW, seorang lelaki telah bersumpah laknat terhadap isterinya dan anaknya dinafikan. Maka Rasulullah SAW memisahkan mereka dan menyerahkan anak tersebut kepada si isteri. Jika syarat-syarat penafian anak tidak dipenuhi, maka anak tersebut tidak dinafikan dan nasabnya tetap dikaitkan kepada suami. Semua peraturan yang berkaitan dengan bapa akan tetap terpakai ke atasnya.
Penjelasan di atas digunakan jika perselisihan mengenai kelahiran berpunca daripada pihak suami. Namun, jika perselisihan itu berpunca daripada pihak isteri, di mana si isteri mendakwa bahawa pada masa pernikahannya dia telah melahirkan anak yang merupakan benih suaminya tetapi suaminya menafikannya dengan berkata “Kamu tidak melahirkan anak”, maka isteri berhak membuktikan dakwaannya dengan kesaksian seorang wanita Muslimah sahaja. Dalam kes ini, kesaksian seorang wanita sahaja sudah mencukupi dengan syarat ia memenuhi syarat-syarat kesaksian.
Wallahu’alam.