[IBRAH] Pembuktian Cinta kepada Nabi SAW
Oleh: Arief B. Iskandar
Pada suatu ketika, Saidina Umar bin al-Khattab RA berkata kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, aku mencintaimu lebih dari segalanya, kecuali diriku sendiri.”
Baginda bersabda, “Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia mencintaiku lebih daripada dia mencintai dirinya sendiri.”
Mendengar itu, Umar RA berkata, “Kalau begitu, sekarang aku mencintai engkau melebihi cintaku kepada diriku sendiri.”
Beliau kembali bersabda, “Sekarang, wahai Umar.” (HR al-Bukhari).
Kisah lain, ada seorang sahabat Rasulullah SAW, pada waktu itu menghadiri majlis beliau dan berkata, “Wahai Rasulullah, aku mencintaimu lebih daripada aku mencintai diriku, hartaku dan keluargaku sendiri. Apabila saya berada di rumah, saya selalu memikirkan engkau. Saya tidak dapat bersabar sehingga saya bertemu dengan engkau. Saya selalu berfikir, apa akan terjadi jika saya tidak dapat berjumpa dengan engkau lagi kerana engkau pasti akan mati, begitu juga saya. Engkau akan bersama para nabi di akhirat nanti, tetapi saya tidak. Itulah yang saya fikirkan, saya khuatir tidak dapat bersama engkau lagi.”
Rasulullah SAW hanya berdiam diri. Tiada jawapan. Tetapi kemudian turunlah wahyu dari Allah SWT (yang bermaksud): ”Sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka akan bersama-sama dengan orang-orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah, iaitu para nabi, para siddiqin, para syuhada dan orang-orang yang soleh. Mereka itulah sebaik-baik teman. Itulah kurniaan Allah yang Maha Mengetahui.” (TQM an-Nisa’ [4]: 69-70) (Al-Kandahlawi, Fadhaa’il al-A’maal, hlm. 760).
Kisah sahabat Nabi Muhammad SAW yang lain, yang menunjukkan betapa mereka menyayangi beliau adalah kisah Bilal bin Rabbah RA. Bilal bin Rabbah adalah muazin Nabi Muhammad SAW. Setiap kali masuk waktu solat, Bilal akan mengumandangkan azan dengan suara merdunya yang tersendiri.
Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, Bilal berasa sangat kehilangan. Cintanya yang mendalam kepada Rasulullah SAW membuatkan Bilal merasa tidak mampu lagi untuk mengumandangkan azan. Sebab, setiap kali azan, dia teringat kepada Nabi SAW dan tidak mampu berhenti menangis.
Bilal kemudiannya memutuskan untuk meninggalkan Madinah dan menetap di Syria. Tujuannya untuk mengurangkan rasa rindu yang mendalam kepada Rasulullah SAW. Namun, pada suatu hari, Bilal kembali ke Madinah dan bertemu dengan cucu Rasulullah, Hasan dan Husain. Kedua-duanya meminta Bilal untuk kembali mengumandangkan azan sekali lagi. Walaupun hatinya berat, Bilal tidak dapat menolak permintaan cucu-cucu yang sangat disayangi oleh Nabi SAW itu.
Apabila Bilal mula mengumandangkan azan, seluruh penduduk Madinah kembali teringat pada zaman ketika Nabi masih hidup. Laungan azan Bilal yang penuh dengan kerinduan dan kesedihan membuatkan mereka semua menangis. Mereka tahu betapa mendalamnya cinta Bilal kepada Rasulullah SAW.
Kisah Bilal bin Rabbah RA ini tercatat dalam beberapa buku. Di antaranya Al-Bidaayah wa an-Nihaayah karya Ibnu Katsir, As-Siirah an-Nabawiyyah karya Ibnu Hisyam, Al-Isti’aab fii Ma’rifat al-Ashaab karya Ibnu Abd al-Barr, dsb.
Kisah lain, kali ini kisah kecintaan seorang tabi’in kepada Rasulullah SAW, adalah kisah Uwais al-Qarni. Uwais al-Qarni ialah seorang tabi’in dari Yaman. Dia sangat mencintai Rasulullah SAW walaupun dia tidak pernah bertemu dengan beliau secara langsung. Kecintaanya kepada Rasulullah SAW sangat hebat sehingga beliau dikenali sebagai seorang yang luar biasa dalam ketaatannya kepada Allah dan berbakti kepada ibunya.
Suatu ketika, Uwais sangat ingin pergi ke Madinah untuk bertemu dengan Nabi Muhammad SAW. Namun, ibunya yang sudah tua dan uzur memerlukan penjagaannya. Akhirnya, Uwais memilih untuk tetap tinggal di Yaman demi menjaga ibunya walaupun hatinya sangat rindu untuk bertemu dengan Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW sendiri pernah berkata kepada sahabatnya, termasuk Umar bin al-Khattab dan Ali bin Abi Talib, bahawa akan ada seorang dari Yaman bernama Uwais al-Qarni yang sangat berbakti kepada ibunya.
Kisah Uwais al-Qarni ini menunjukkan betapa besarnya cinta seorang tabi’in kepada Rasulullah SAW, walaupun dia tidak pernah bertemu dengan beliau secara langsung. Uwais memilih untuk mendahulukan ibunya, yang juga merupakan perintah Rasulullah SAW. Dengan begitu, kecintaannya kepada baginda bukan sahaja dalam bentuk kerinduan, tetapi juga dalam ketaatan yang sempurna pada ajaran Nabi SAW.
Kisah Uwais al-Qarni tercatat dalam beberapa kitab. Di antaranya dalam Sahih Muslim karya Imam Muslim, Al-Isti’aab fii Ma’rifat al-Ashaab karya Ibnu Abd al-Barr, Asad al-Ghaabah fii Ma’rifat as-Sahaabah karya Ibnu al-Athir, Hilyah al – Awliyaa’ wa Tabaqaat al-Asfiyaa karya Abu Nu’aim al-Isfahani, dsb.
Adapun dari kalangan Tabi’ at-Tabi’in, kisah cinta mereka kepada Nabi Muhammad SAW antara lain diwakili dengan kisah Imam Malik bin Anas RA, pengasas Mazhab Maliki.
Imam Malik sangat mencintai Rasulullah SAW dan menunjukkan rasa hormat yang luar biasa terhadap beliau dalam pelbagai aspek kehidupannya. Salah satu contoh yang terkenal adalah sikap Imam Malik terhadap kota Madinah, tempat Rasulullah SAW dimakamkan. Imam Malik tidak pernah menunggang kuda atau berjalan dengan alas kaki di dalam Madinah. Dia mengatakan bahawa dia tidak mahu memijak tanah yang mungkin pernah disentuh oleh kaki Rasulullah SAW dengan cara yang kurang sopan.
Imam Malik juga terkenal sangat berhati-hati dalam berbicara tentang hadis Nabi SAW. Dia sentiasa menjaga wuduknya dan memakai pakaian terbaiknya ketika ingin menyampaikan hadis Rasulullah SAW kepada murid-muridnya. Ini kerana beliau merasakan bahawa menyampaikan hadis adalah perbuatan yang sangat mulia dan mesti dilakukan dengan penuh cinta dan rasa hormat kepada Rasulullah SAW.
Kisah Imam Malik bin Anas RA ini tercatat dalam beberapa kitab, antaranya ialah: Al-Muwaththa’ karya Imam Malik, Tartiib al-Madaarik wa Taqriib al-Masaalik karya Qadhi ‘Iyadh, Siyar A’laam an-Nubalaa dan Tadzkiraat al-Huffaazh karya Imam adz-Dzahabi, dsb. .
Jadi bagaimana dengan kita hari ini yang jauh dari zaman mereka? Bagaimana kita membuktikan cinta kita kepada Nabi Muhammad SAW?
Jawapannya: Cukuplah dengan melaksanakan segala syariat yang dibawa oleh beliau dengan baik di peringkat peribadi, keluarga, masyarakat dan negara.
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.