[Kisah Inspirasi] Hasan al-Basri dan Gadis Kecil di Tanah Perkuburan
Pada suatu petang, Hasan al-Basri sedang duduk di anjung hadapan rumahnya. Tidak lama kemudian, perarakan pengebumian berlalu dengan sekumpulan orang yang berkabung di belakangnya. Di bawah keranda yang diusung, seorang gadis kecil berjalan sambil menangis teresak-esak. Dia adalah anak perempuan kepada jenazah tersebut.
Keesokan harinya selepas solat subuh, gadis kecil itu bergegas pergi ke kubur ayahnya. Hasan al-Basri mengikutinya hingga ke kubur. Dia bersembunyi di sebalik pokok dan memerhatikan pergerakan gadis kecil itu secara diam-diam. Gadis kecil itu membongkok di hadapan kubur dan meletakkan pipinya ke tanah. Seketika kemudian, dia meratap dengan kata-kata yang jelas didengari oleh Hasan al-Basri.
“Ayah, bagaimana keadaanmu seorang diri di kubur yang gelap gelita tanpa cahaya dan ketenangan?” kata gadis kecil itu. “Ayah, saya nyalakan lampu untukmu malam semalam. Siapa yang menyalakannya untuk ayah malam tadi? Semalam saya masih menghamparkan tikar. Siapa yang melakukannya sekarang?”
“Ayah, semalam saya masih mengurut kaki dan tanganmu, namun malam tadi siapa yang mengurutmu? Ayah, semalam saya memberimu minum. Siapa yang memberimu minum malam tadi? Semalam saya memusingkan badanmu dari satu sisi ke satu sisi untuk membuat ayah berasa selesa. Siapa yang melakukan untukmu malam tadi?”
Mendengar rintihan gadis kecil itu, Hasan al-Basri tidak dapat menahan air matanya. Dia keluar dari tempat persembunyiannya dan berjumpa dengan gadis kecil itu. “Hai, gadis kecil,” kata Hasan al-Basri. “Jangan berkata seperti itu, tetapi katakan, Ayah, saya palingkan kamu ke arah kiblat. Adakah ayah masih seperti itu atau sudah berubah? Ayah, kami menyediakan kamu dengan kain yang terbaik. Adakah kain kafan itu masih utuh?
Ulama berkata bahawa hamba yang meninggal dunia akan ditanya tentang imannya, ada yang dapat menjawab dan ada yang tidak, bagaimana dengan ayah? Ulama mengatakan bahawa perkuburan umpama taman syurga atau jurang yang menuju ke neraka. Kubur kadangkala membelai si mati seperti kasih sayang seorang ibu atau kadangkala menghancurkannya seperti tulang yang berserakan. Adakah kamu dibelai atau dihimpit, ayah? Ulama berkata, orang yang dikebumikan menyesal kerana tidak banyak beramal. Orang-orang ingkar menyesali timbunan maksiat mereka. Adakah kamu menyesal kerana keburukan kamu atau kerana amalan baik kamu sedikit, ayah? Ayah, engkau sudah tiada. Aku tidak akan dapat bertemu denganmu lagi sehingga hari kiamat nanti. Ya Allah, janganlah Engkau halangi pertemuanku dengan ayahku di akhirat nanti.’”
Gadis kecil itu berpaling kepada Hasan al-Basri dan berkata, “Alangkah indahnya pandanganmu terhadap ayahku. Betapa baik bimbingan yang telah aku terima. Engkau mengingatkan aku dari terbuai dengan kelalaian.” Kemudian, Hasan al-Basri mengajak gadis kecil itu meninggalkan kubur ayahnya. Dengan berjalan kaki, mereka pulang ke rumah sambil menitiskan air mata dengan air mata terharu antara kesedaran dan keinsafan. [Ali Abdullah, Kisah Hikmah Ahli Sufi dan Ulama Salaf].
Hikmah
Kematian adalah peringatan terbaik buat diri kita yang mungkin terleka dengan kesenangan dunia. Dialog Hasan al-Basri dengan gadis kecil itu memberi mesej bermakna untuk kita renungi.
Pertama, kematian mengingatkan kita tentang kedudukan kita sebagai hamba yang lemah, tidak kekal, dan sentiasa berpaut serta bergantung harap sepenuhnya kepada Pemilik Kehidupan iaitu Allah SWT. Kesedaran tentang jati diri sebagai hamba Allah perlu disematkan dalam diri setiap muslim. Justeru, dia sentiasa sedar bahawa hubungannya dengan Allah SWT adalah ketaatan dan ketundukan sepenuhnya. Iman yang sempurna akan membentuk takwa yang sempurna.
Kedua, kematian boleh memotivasikan kita untuk terus beramal dan mencegah daripada melakukan maksiat. Umar bin Khattab, khalifah kedua selepas Abu Bakar as-Siddiq pernah berkata, “Bersama sepuluh orang, aku bertemu dengan Nabi, lalu salah seorang dari kami bertanya, ‘Siapakah orang yang paling cerdik dan mulia wahai Rasulullah?”
Rasulullah SAW menjawab “Orang yang paling banyak mengingati kematian dan paling bersedia menghadapinya. Mereka itulah orang yang cerdas. Mereka pergi dengan membawa kemuliaan dunia dan kehormatan akhirat.” [HR Ibnu Majah].
Orang yang cerdas tidak akan menghabiskan sisa hidupnya yang semakin berkurangan setiap hari dengan perkara yang sia-sia. Dia akan melakukan semua yang Allah SWT perintahkan dalam syariatNya. Dia akan memperbanyakkan ibadah kepada Allah SWT dalam perkara yang wajib dan sunnah termasuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar terhadap pihak berkuasa. Dia akan memerangi ketidakadilan, meluruskan yang salah, dan mengatakan kebenaran Islam secara berterusan.
Ketiga, dengan mengingati mati, matlamat hidup kita akan terarah ke arah akhirat. Kita akan terdorong untuk melaksanakan segala kewajipan kepada Allah SWT sebagai bentuk ketaatan seperti solat, puasa, menuntut ilmu, berdakwah, menutup aurat dan sebagainya. Kita juga akan menjauhi perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
Oleh itu, marilah kita persiapkan sebaik-baik amalan di dunia agar Allah SWT meringankan hisab kita di akhirat kelak. Tiada persiapan yang lebih baik untuk bekal di akhirat, kecuali ketaatan dan amal soleh.
Sumber:
https://muslimahnews.net/2024/11/16/33138/