[TOKOH TELADAN] MERINDUKAN KEMBALI KEHADIRAN SOSOK PENGUASA KESATRIA PELINDUNG UMAT SEPERTI KHALIFAH AL-MU’TASHIM BILLAH
Oleh: Al-Faqir Arief B Iskandar
LEBIH setahun telah berlalu pembunuhan beramai-ramai kejam yang dilakukan oleh Zionis Yahudi terhadap rakyat Palestin. Namun, dunia seakan senyap. Ribuan nyawa melayang. Ratusan ribu terluka. Jutaan lainnya hidup dalam ancaman yang sama.
Malangnya, tidak ada usaha nyata untuk menghentikan kekejian ini. Tiada seorang pun penguasa dunia khususnya di negara-negara Islam yang berani mengerahkan tentera mereka untuk memerangi perbuatan biadab ini. Hanya kritikan dan kutukan yang kedengaran. Semuanya hanya formaliti untuk menutup kelemahan mereka.
Sedangkan, sudah sangat jelas ditegaskan, baik dalam al-Quran mahupun as-Sunnah, bahawa kaum muslim itu bersaudara. Persaudaraan mereka diikat oleh akidah yang sama: akidah Islam.
ALLAH SWT berfirman:
إِنَّمَا الْمًؤْمِنُوْنَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوْا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوْا اللهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ
“Sungguh kaum mukmin itu bersaudara. Kerana itu damaikanlah kedua saudara kalian dan bertakwalah kalian kepada Allah supaya kalian mendapatkan rahmat” [TMQ al-Hujurat (49): 10]
Dari ayat di atas tersurat bahawa siapapun, juga di manapun di seluruh dunia ini, asalkan mukmin, adalah bersaudara. Ini kerana dasar ukhuwah (persaudaraan) adalah kesamaan akidah. Ayat ini menghendaki ukhuwah kaum mukmin perlu benar-benar kuat, bahkan lebih kuat daripada persaudaraan kerana nasab (Lihat: Abu Hayyan al-Andalusi, Tafsîr al-Bahr al-Muhîth, 8/3; Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, 14/11).
Rasulullah SAW juga telah menegaskan:
”الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا”
“Mukmin dengan mukmin lainnya bagaikan satu bangunan. Sebahagiannya menguatkan sebahagian lainnya.” (HR Bukhari, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, dan Ahmad).
Di antara bentuk persaudaraan sesama muslim adalah adanya rasa cinta di antara mereka. Bahkan rasa saling mencintai di antara sesama muslim dikaitkan dengan kelayakan mereka untuk memasuki syurga-Nya. Jika tidak ada rasa saling cinta di antara mereka maka mereka tidak layak masuk ke syurga-Nya. Beliau bersabda:
”لاَ تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلاَ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا”
“Kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman, dan kalian belum sempurna keimanan sehingga kalian saling mencintai.” (HR Muslim).
Mahalnya Harga Nyawa Seorang Muslim
Selain kerana faktor persaudaraan yang sangat kuat, kewajipan membela kaum muslim yang tertindas disandarkan pada fakta betapa mahalnya harga nyawa seorang muslim.
Allah SWT menetapkan pembunuhan satu nyawa yang tidak berdosa sama dengan menghilangkan nyawa seluruh umat manusia:
مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي اْلأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا
“Siapa saja yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana ia membuat kerosakan di muka bumi, seakan-akan dia telah membunuh seluruh manusia” [TMQ al-Maaidah (5): 32]
Allah SWT juga mengancam orang yang menghilangkan nyawa seorang mukmin dengan ancaman yang sangat keras:
وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا
“Siapa saja yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, balasannya ialah Neraka Jahanam. Dia kekal di dalamnya. Allah murka kepada dia, mengutuknya dan menyediakan baginya azab yang besar” [TMQ an-Nisaa` (4): 93]
Begitu cintanya pada jiwa seorang mukmin, Allah SWT mengancam akan mengazab semua penghuni dan langit seandainya bersekutu dalam membunuh seorang muslim. Rasul SAW bersabda:
لَوْ أَنَّ أَهْلَ السَّمَاءِ وَأَهْلَ الأَرْضِ اجْتَمَعُوا عَلَى قَتْلِ مُسْلِمٍ لَكَبَّهُمُ اللهُ جَمِيعًا عَلَى وُجُوهِهِمْ فِي النَّارِ
“Andai penduduk langit dan penduduk bumi berkumpul membunuh seorang muslim, sungguh Allah akan membanting wajah mereka dan melemparkan mereka ke dalam neraka.” (HR ath-Thabrani).
Nabi SAW juga bersabda:
لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عِنْدَ اللهِ مِنْ قَتْلِ رَجُلٍ مُسْلِمٍ
“Kehancuran dunia ini lebih ringan di sisi Allah dibandingkan dengan pembunuhan seorang muslim.” (HR an-Nasa’i).
Dalam riwayat lain, kata Ibnu Abbas RA, saat memandang Kaabah, Nabi SAW juga bersabda, “Selamat datang, wahai Kaabah. Betapa agungnya engkau dan betapa agung kehormatanmu. Akan tetapi, seorang mukmin lebih agung di sisi Allah daripada engkau.” (HR al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman).
Kerana itulah, sepanjang sejarah penerapan syariah Islam, tak ada darah seorang muslim pun ditumpahkan, melainkan akan diberikan pembelaan yang besar dari umat dan Daulah Islam. Ibnu Hisyam dalam sirah-nya menceritakan, ketika ada seorang pedagang muslim yang dibunuh beramai-ramai oleh kaum Yahudi Bani Qainuqa, kerana membela kehormatan seorang muslimah yang disingkap pakaiannya oleh pedagang Yahudi, Rasulullah SAW segera mengirim para sahabat untuk memerangi mereka dan mengusir mereka dari Madinah setelah mengepung perkampungan mereka selama 15 malam (Ibnu Hisyam, Sirah Ibnu Hisyam, 3/9-11).
Rasulullah SAW, selaku penguasa kaum muslim, semasa menjadi ketua Negara Islam Madinah, telah melindungi setiap titisan darah kaum muslim. Demikian juga Khulafaur-Rasyidun dan para khalifah setelah mereka. Mereka terus melindungi umat dari setiap ancaman dan gangguan. Dengan begitu umat dapat hidup tenang dimana pun mereka berada kerana ada yang menjadi pelindung bagi mereka.
Racun Assobiyah
Sayang, meski telah dengan jelas difahami bahawa kaum muslim itu bersaudara di mana pun, juga bahawa betapa mahalnya harga nyawa seorang muslim, faktanya hal sederhana ini seolah tidak difahami oleh para penguasa arab dan muslim saat ini. Jika tidak demikian, lalu mengapa para penguasa arab dan muslim tidak sejak awal bertindak segera untuk membela kaum muslim Palestin yang tertindas selama puluhan tahun lamanya? Mengapa mereka tidak pernah tergerak untuk mengirimkan pasukan demi membela saudara-saudara muslim di Palestin yang bahkan saat ini sedang mengalami genosid oleh Yahudi Zionis?
Ada dua alasan utama mengapa hal ini terjadi:
Pertama, kerana dominasi assobiyah dalam fahaman nasionalisme dan konsep negara bangsa yang telah merosak ukhuwah Islamiyah. Setiap negara muslim hanya memikirkan kepentingan nasional atau kemaslahatan bangsanya sendiri semata. Tragedi kemanusiaan di Palestin saat ini, juga di negara-negara umat Islam lainnya, sejauh ini tidak dianggap sebagai masalah bersama yang perlu segera ditangani.
Kedua, kebanyakan penguasa muslim dan arab telah menjadi boneka Barat, khususnya Amerika dan Rusia. Mereka lebih memilih diam atau malah menyokong polisi tuan-tuan mereka yang jelas-jelas memusuhi kaum muslim. Ini terbukti dengan tidak adanya tindakan nyata ketika muslim Palestin dibantai bahkan mengalami genosid sehingga saat ini .
Beberapa waktu lalu, Saudi Arabia membentuk pakatan tentera dari 34 negara muslim, tetapi pakatan ini tidak berfungsi untuk melindungi umat Islam yang tertindas. Fokus utama pakatan ini adalah untuk memerangi “terorisme” berdasarkan definisi yang dikehendaki Barat, bukan terorisme yang sesungguhnya seperti kekejaman Zionis Yahudi. Pakatan ini hanyalah cerminan kepatuhan para penguasa muslim kepada kepentingan Barat.
Merindukan Kembali Sosok Khalifah Al-Mu’tashim Billah
Dengan semua tragedi yang menimpa umat Islam, selayaknya kita memahami kembali sabda Rasulullah SAW berikut:
”إِنَّمَا الإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ”
“Imam (Khalifah) adalah perisai; kaum muslim diperangi (oleh musuh) di belakangnya dan dilindungi oleh dirinya.” (HR Muslim).
Sabda Rasulullah SAW menunjukkan pentingnya keberadaan penguasa yang menjadi pelindung umat. Inilah yang difahami oleh para khalifah pada masa lalu. Salah seorang dari mereka adalah Khalifah al-Mu’tashim Billah dari Kekhilafahan Abasiyyah. Beliau benar-benar mengamalkan Hadis Rasulullah SAW tersebut dan benar-benar menjadi “junnah” (perisai) bagi rakyatnya.
Khalifah Al-Mu’tashim Billah–yang menjadi Khalifah dari tahun 833 M sampai tahun 842 M–bahkan berhasil menaklukkan Kota Amuriyah di Anatolia (masuk bahagian wilayah Turki saat ini). Amuriyah adalah sebuah kota penting bagi Empayar Romawi saat itu.
Menurut Ibn Khalikan dan Ibn al-Atsir, kisahnya bermula saat terjadi penawanan dan penistaan oleh seorang kafir Romawi terhadap seorang wanita muslimah nan mulia keturunan Fathimah RA. Khabar itu sampai ke telinga Khalifah al-Mu’tashim Billah.
Mendengar khabar tersebut, tanpa menunda-nunda, Khalifah segera bergerak. Dia segera mengerahkan bahkan memimpin sendiri puluhan ribu pasukan menuju Kota Amuriyah. Disebabkan banyaknya jumlah pasukan yang dikerahkan, ketika ketua barisan pasukan tersebut sudah mencapai Kota Amuriyah, ekornya masih ada di Ibu kota Khilafah, iaitu Baghdad. Jumlah pasukan sebanyak itu dikerahkan hanya untuk membela kehormatan wanita muslimah mulia yang telah dinodai oleh seorang kafir Romawi tersebut.
Singkat cerita, kota tersebut berjaya ditaklukkan. Lebih kurang 30 ribu tentera Romawi tewas. Sebanyak 30 ribu lainnya berjaya ditawan. Wanita muslimah itu akhirnya dapat dibebaskan. Lalu Khalifah berkata kepada wanita mulia tersebut, “Jadilah saksi di hadapan datukmu (Nabi Muhammad SAW) bahawa aku telah datang untuk membebaskan dirimu.” (Lihat: Ibn Khalikan, Wafayaat al-A’yaan, 2/149); Ibn al-Atsir, Al-Kaamil fii at-Taariikh, 6/36).
Kisah heroik ini sangat kontra dengan situasi para penguasa arab dan muslim saat ini. Tak satu pun dari mereka yang berani menggerakkan pasukannya untuk melindungi umat Islam. Khususnya kaum muslim Palestin saat ini. Mereka memilih diam atau bersikap pengecut. Tak mahu menjadi “lelaki sejati” walaupun cuma satu hari.
Kerana itu jelas, umat Islam saat ini merindukan sosok pemimpin seperti Khalifah al-Mu’tashim Billah. Sebagai penguasa, dia bertanggungjawab dalam melindungi rakyatnya. Bahkan, meskipun hanya seorang muslimah yang menjadi mangsa kejahatan orang kafir, dia tak pernah memandang kejadian tersebut sebagai perkara yang remeh. Sangat jauh berbeza dengan para penguasa muslim saat ini. Walau sudah puluhan ribu–bahkan ratusan ribu–kaum muslim menjadi mangsa kebiadaban Yahudi Zionis, mereka lebih memilih berdiam diri. Ironi! Sedangkan mereka hakikatnya dipilih dan diangkat sebagai penguasa oleh rakyat mereka yang majoriti penduduknya muslim.
Alhasil, sekali lagi, jelas, umat Islam saat ini merindukan sosok pemimpin sejati pelindung umat, seperti Khalifah al-Mu’tashim Billah.
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.