[TELADAN ULAMA] MENGHAPUS KEBURUKAN DENGAN KEBAIKAN
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Pada suatu hari Imam Ja’far ash-Shadiq sedang bersama hambanya yang sedang menuangkan air. Tanpa sengaja, air tertumpah ke atas pakaian Imam Ja’far. Beliau lalu memandang hambanya dengan pandangan yang tidak senang. Namun, sang hamba dengan segera membacakan potongan ayat dari surah Ali Imran ayat 134, “(Wa al-kâzhîmîn al-ghayzh (Orang-orang yang menahan marah).” Imam Ja’far berkata, “Aku telah menahan amarahku kepada kamu.” Sang hamba meneruskan bacaan, “Wa al-âfîna ‘an an- nâs (Orang-orang yang memaafkan manusia).” Imam Ja’far berkata, “Aku juga telah memaafkan kamu.” Sang hamba menyambung lagi, “(Wa AlLâhu yuhibb al-muhsinîn (Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebajikan).” Imam Ja’far kembali berkata, “Pergilah, engkau sekarang merdeka kerana Allah, dan untuk kamu, aku beri hartaku sebanyak seribu dinar (lebih kurang RM1.7 juta).” (Ibn al-Jauzi, Bahr ad-Dumû’, hlm. 175).
Begitulah keagungan Imam Ja’far. Ulama besar yang lahir di Kota Madinah pada tahun 80 H ini terus mengamalkan seluruh isi kandungan ayat tersebut tanpa menangguh sedikit pun meski yang menyampaikan ayat tersebut adalah seorang hamba sahaya. Apa yang lebih menakjubkan, hanya untuk menebus ‘kesalahan’-nya—yakni memandang hambanya dengan perasaan tidak suka—dia rela membebaskan hambanya itu dan memberinya sedekah sebanyak seribu dinar. MashaAllah!
Imam Ja’far memang terkenal dengan sifat kedermawanan dan kemurahan hatinya. Beliau seakan meneruskan kebiasaan datuknya, Zainal ‘Abidin, iaitu sering bersedekah dengan sembunyi- sembunyi. Pada malam hari yang gelap, dia sering memikul gandum, daging dan membawa wang dirham di atas bahunya. Semuanya beliau agihkan kepada orang-orang yang memerlukan dari kalangan orang-orang fakir di Madinah tanpa diketahui jati dirinya.
Wajar jika Imam Ja’far ash-Shadiq amat dermawan kerana beliau pernah berkata, “Sungguh, saya akan segera memenuhi keperluan saudara-saudaraku (kaum muslim) kerana saya takut mereka tidak lagi memerlukan bantuanku jika aku menolak permintaan tolong mereka.” (Ibn Muhammad al-Ghazi al-‘Amiri ad-Dimasyqi, Adâb al-‘Usyrah wa Dzikr ash- Shuhbah wa al-Ikhwah, 1/57).
Bagaimana dengan kita? Sanggupkah kita menebus dosa-dosa kita dengan banyak bersedekah? Sanggupkah kita menghapus keburukan-keburukan kita dengan kebaikan- kebaikan kita? Sanggupkah kita menjadi orang dermawan dengan selalu bersedia menolong orang- orang yang memerlukan bantuan kita sebelum mereka merasa malu dan enggan meminta pertolongan kita?
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.