[Sejarah Nasionalisme di Dunia Islam]
Pengaruh Gerakan Misionaris
Gerakan misionaris telah memberikan pengaruh yang sangat merosakkan terhadap dunia Islam. Apa yang tidak dapat dicapai kaum kafir dalam bilangan ribuan tahun dengan menggunakan kekuatan bersenjata telah dapat diraih oleh kaum misionaris hanya dalam waktu satu abad.
Pertumbuhan aktiviti para misionaris dan penyusupan mereka yang sangat aktif dalam sistem pendidikan terhasil daripada usaha reformasi yang dilakukan oleh Negara Islam pada abad ke-19. Penubuhan sekolah, institut pengajian tinggi, dan universiti memberi kesempatan bagi kaum misionaris untuk menyusupkan budaya dan pemikiran kufur ke dalam budaya dan pemikiran Islam.
Konsep jihad ofensif diserang, prinsip-prinsip Barat tentang kesamaan hak di mata perundangan didengung-dengungkan, dan keraguan tentang kesesuaian syariat pada era teknologi dimunculkan. Toleransi agama diajarkan, sekalipun penganut agama-agama ini melanggar batas-batas syarak. Sejarah diajarkan berdasarkan sudut pandang tertentu untuk menyuntikkan rasa bangga diri dalam setiap kelompok muslim masing-masin. Yang terakhir tetapi tidak kurang rosaknya adalah negara bangsa atau nasional yang diperkenalkan sebagai satu-satunya cara untuk menuju kebangkitan dan kemajuan bagi orang-orang Islam.
Di kalangan misionaris telah berjaya menanamkan pengaruh yang mendalam dalam jiwa kaum muslim. Mereka berjaya menampilkan rasa dendam warga negara terhadap Negara Islam atas nama kebebasan beragama yang mampu mencetuskan berbagai macam kegiatan yang terkait dengan keimanan di kalangan orang Islam, Kristian, dan Druze.
Kesalahan Negara Islam di sini adalah sedari awal sudah mengizinkan misionaris untuk bergerak secara berleluasa, serta ketidak-mampuannya untuk membalas serangan yang dilancarkan terhadap Islam di kemudian hari. Ini menyebabkan orang-orang seperti Mustafa Kemal [1] dan Rifa’ah Badawi Rafi’ al-Tahtawi [2] tertarik pada pemikiran-pemikiran Barat. Ini menjadikan mereka, baik disedari mahupun tidak, sebagai ejen-ejen Barat. Orang-orang seperti inilah yang menjadi sasaran kaum misionaris. Tentang kebijakan ini tidak perlu diselindungkan lagi.
Di dalam sebuah artikel yang berjudul Nationalism in Islamic Lands, Charles R. Watson menyatakan, “Memang benar tujuan utama kita adalah untuk menarik individu-individu. Namun, individu-individu itu hanya dapat diraih dengan memantapkan satu titik orang yang menjadi kontak penghubung terhadap mereka. Di antara orang-orang yang paling memungkinkan untuk dipengaruhi adalah mereka yang hidup dan bergerak di dalam lingkaran nasionalisme.”[3]
Kebanyakan daripada orang-orang seperti ini adalah mereka yang memang dididik oleh Barat atau memiliki hubungan lain dengan negara-negara Eropah. Terdedahnya mereka pada budaya dan pemikiran Barat inilah yang membuat mereka terpesona. Mereka memimpikan kebangkitan Islam dengan berdasarkan pemikiran-pemikiran Barat yang memisahkan agama dari urusan negara (sekularisme). Mereka tidak menyedari bahawa bukan agama mereka (Islam) yang bertanggungjawab terhadap segala kemunduran yang mereka alami pada masa akhir-akhir ini. Akan tetapi kesalahfahaman mereka terhadap agama, serta kesalahan dan penyelewengan dalam menerapkan agama, itulah yang menjadi penyebab kemunduran mereka.
Munculnya orang-orang semacam ini, yang sebahagian dari mereka memang dibayar oleh Barat, memungkinkan Barat untuk melancarkan tahapan akhir dari konspirasinya, iaitu serangan politik ke dunia Islam. Hal ini dilakukan dengan mendukung berbagai idea kebangsaan. Kemudian diperkuat dengan penubuhan parti-parti politik di Arab dan Turki seperti parti Al-Fatat, yakni parti Ittihad ve Terakki Cemiyeti (Jawatankuasa Persatuan dan Pembaharuan) yang juga dikenal dengan sebutan Turki Muda dan Parti Jam’iyyat Al Alhd (Parti Perjanjian).
Revolusi melawan Khilafah Uthmani terorganisasi dan dibiayai oleh pihak Barat melalui kelompok-kelompok politik nasionalis semacam ini, juga melalui beberapa tokoh berpengaruh. Tokoh-tokoh ini, misalnya Syarif Hussain di Mekah yang dibayar 200,000 Pound sterling per bulan oleh Pejabat Urusan Luar Negeri British untuk mempromosikan idea negara Arab merdeka yang dijanjikan kepadanya melalui Leftenan Kolonel Sir Henry McMahon, Pesuruhjaya Tinggi British untuk Mesir.
Dalam korespondennya untuk Hussain pada 24 Oktober 1915, McMahon menulis sebagai berikut.
“Dua daerah, iaitu Mersina dan Alexandretta (sekarang kedua-duanya merupakan wilayah Turki) dan beberapa bahagian Syria yang terhampar di barat Damsyik, Homs, Hama, dan Aleppo, tidak boleh dikatakan sebagai Arab semata-mata, dan mesti dikecualikan dalam had wilayah yang diminta (oleh Hussain). … Sedangkan untuk wilayah yang terletak di dalam garis-garis persempadanan itu, dimana British bebas bertindak tanpa merugikan kepentingan Perancis sebagai negara sekutunya, … maka British Raya siap untuk mengakui dan mendukung kemerdekaan bangsa Arab.”[4]
Demikianlah benih-benih mematikan nasionalisme ditanamkan di dalam wilayah Negara Islam. Pada awal abad ke-20, wabak nasionalisme telah tersebar ke seluruh penjuru Negara Islam, menggoncangkan Negara dengan hebat, yang sebelumnya tidak pernah terjadi goncangan sedahsyat itu.
Serbuan yang paling akhir dan paling kejam terhadap Negara Islam dilancarkan pada permulaan Perang Dunia I oleh Eropah ketika mereka mengarahkan kekuatannya untuk menguasai negara yang pernah berjaya selama berabad-abad itu. Negara Islam runtuh tanpa kesan. Jeneral Allenby ketika memasuki Al-Quds (Jerusalem) pada 1917 mengatakan, “Hari ini perang salib telah berakhir!”
Impian bangsa Eropah yang sangat membenci Negara Islam akhirnya menjadi kenyataan. Kekuatan Eropah selanjutnya meraih bahagiannya laksana burung hering yang mengoyak-ngoyakkan daging menjadi potongan-potongan dari bangkai Negara Islam. Pembahagian wilayah ini ditandatangani dalam perjanjian Sykes-Picot.[6]
Catatan kaki:
[1] Mustafa Kamal (1881–1938) merupakan seorang pegawai tentera yang sangat terpengaruh dengan budaya Barat. Beliau merancang keseluruhan gerakan nasionalis yang bertujuan untuk menubuhkan negara Turki yang sekular. Beliau melakukan ini dengan menghapuskan sistem Khilafah pada 3 Mac 1924, dengan kerjasama British dan Perancis.
[2] Rifa’ah Badawi Rafi’ al-Tahtawi (meninggal pada 1873) menyerukan fahaman Wathaniyah (kebangsaan) dan sekularisme. Wathan di sini merujuk kepada wilayah geografi tertentu dan bukan umat Islam. Dasar seruannya adalah kebebasan dan gerakannya berpusat di Mesir.
[3] The International Review of Missions vol. 130, no. 50, April 1924, diedit oleh J. H. Oldham dan GA. Gollock, hal 169, Oxford Press.
[4]. The Middle East–The Arab World and its Neighbours, Peters Sluglett and Marion Farouq-Sluglett, hal 12, Times Boooks, 1993.
[5] The Islamic State by Taqiyuddin an-Nabhani hal 198 Al-Khilafah publication 1994.
[6] Pada November 1915, Francois Gheorge–Picot jeneral di Beirut yang lebih awal tiba di London untuk membahas pembahagian tanah kaum muslim dengan Kolonel. Pada Mei 1916, perjanjian telah dicapai yang akan dibuat dengan negara-negara Arab, yang pertama berada di bawah perlindungan Perancis dan berpusat di Damsyik, manakala yang kedua berada di bawah perlindungan British dari Baghdad ke Aqabah akan memerintah Lubnan dari utara ke selatan . British akan mengawal AC dan Haifa, manakala Palestin akan menjadi tanggungjawab Perancis, Britain dan Rusia secara bersama. Kandungan perjanjian rahsia ini hanya didedahkan dengan lebih terperinci apabila ia diterbitkan kepada umum oleh pihak Bolshevik selepas Revolusi Bolshevik pada November 1917.
Sumber: Sejarah Nasionalisme di Dunia Islam