HUKUM TURUT SERTA MERAIKAN HARI NATAL
Oleh : KH. M. Shiddiq Al Jawi, S.Si, M.S.I.
Haram hukumnya seorang muslim ikut merayakan Hari Natal (hari Krismas), baik dengan mengikuti ritual agamanya mahupun tidak, termasuk misalnya:
- Mengucapkan selamat Hari Natal kepada kaum Nasrani,
- Membantu perayaan Hari Natal (misalnya turut serta memasang pohon Natal, memasang lampu-lampu dalam rangka perayaan Natal, dan sebagainya),
- Memasak sempena sambutan perayaan Hari Natal, dan sebagainya.
Dalil keharamannya ada dua :
Pertama, dalil umum yang mengharamkan kaum muslimin menyerupai kaum kafir (tasyabbuh bi al kuffar).
Kedua, dalil khusus yang mengharamkan kaum muslimin menyerupai kaum kafir merayakan hari raya kaum kafir (tasyabbuh bi al kuffar fi a’yadihim).
Dalil Pertama, iaitu dalil umum yang mengharamkan menyerupai kaum kafir antara lain firman Allah SWT,
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا تَقُوْلُوْا رَاعِنَا وَقُوْلُوا انْظُرْنَا وَاسْمَعُوْا وَلِلْكٰفِرِيْنَ عَذَابٌ اَلِيْمٌ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: “raaina”, (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: “unzurna”, dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah, bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (TMQ al-Baqarah [2]: 104)
Imam Ibnu Katsir mentafsirkan ayat ini dengan berkata,
“Allah SWT telah melarang orang-orang yang beriman untuk menyerupai orang-orang kafir dalam ucapan dan perbuatan mereka. Kerana orang Yahudi menggumamkan kata ‘ru’uunah’ (bodoh sekali) sebagai ejekan kepada Rasulullah SAW seakan-akan mereka mengucapkan ‘raa’ina’ (perhatikanlah kami).” (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 1/149)
Ayat-ayat yang semakna ini banyak, yakni yang mengharamkan muslim tasyabbuh bil kuffar (menyerupai kaum kafir) dalam perkataan dan perbuatan kaum kafir yang terkait dengan agama mereka, antara lain surah al-Baqarah : 120, surah al-Baqarah: 145; surah Ali ‘Imran : 156, surah al-Hasyr : 19; QS al-Jatsiyah : 18-19; dan lain-lain (Lihat: Al Mausu’ah Al Fiqhiyyah, 12/7; Wa`il Zhawahiri Salamah, At Tasyabbuh Qawa’iduhu wa Dhawabituhu, hlm. 4-7; Mazhahir At Tasyabbuh bil Kuffar fi Al ‘Ashr Al Hadits, hlm. 28-34).
Dalil umum lainnya yang mengharamkan tasyabbuh bil kuffar, sabda Rasulullah SAW,
“Barang siapa yang menyerupai suatu kaum, maka ia termasuk golongan mereka.” (HR Ahmad, 5/20; Abu Dawud no 403)
Imam Ibnu Hajar Al Asqalani mengatakan sanad hadis ini hasan (Ibnu Hajar Al Asqalani, Fathul Bari, 10/271).
Hadis tersebut telah mengharamkan umat Islam menyerupai kaum kafir dalam hal-hal yang menjadi ciri khas kekafiran mereka (fi khasha`ishihim), seperti akidah dan ibadah mereka, hari raya mereka, pakaian khas mereka, cara hidup mereka, dan lain-lain (Al Mausu’ah Al Fiqhiyyah, 12/7; Ali bin Ibrahim ‘Ajjin, Mukhalafatul Kuffar fi As Sunnah An Nabawiyyah, hlm. 22-23).
Selain dalil umum tersebut, terdapat dalil kedua, iaitu dalil khusus yang mengharamkan kaum muslimin menyerupai kaum kafir merayakan hari raya kaum kafir (tasyabbuh bi al kuffar fi a’yaadihim).
Merayakan hari raya agama lain haram hukumnya kerana perbuatan itu termasuk menghadiri atau mempersaksikan suatu kebohongan/kebatilan, yang telah dilarang oleh Allah SWT dalam Surah al-Furqan: 72. Allah SWT berfirman,
وَٱلَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ ٱلزُّورَ
“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, …” (TMQ Al-Furqan [25] : 72)
Kalimat “laa yasyhaduuna az-zuur” dalam ayat itu menurut Ibnu Taimiyah maknanya yang tepat adalah “tidak menghadiri suatu kebohongan (azzuur)”, bukan “tidak memberikan kesaksian palsu”.
Sedang kata “az-zuur” itu sendiri oleh sebagian tabi’in seperti Mujahid, adh-Dhahak, Rabi’ bin Anas, dan Ikrimah bermakna adalah hari-hari besar kaum musyrik atau kaum jahiliah sebelum Islam (Lihat: Imam Suyuthi, Al-Amru bi Al-Ittiba’ wa An-Nahyu ’An Al-Ibtida` (terj.), hal. 91- 95; M. Bin Ali Adh-Dhabi’i, Mukhtarat Iqtidha` Shirathal Mustaqim (terj.), hal. 59- 60).
Jadi, ayat di atas adalah dalil haramnya seorang muslim untuk merayakan hari-hari raya agama lain, seperti Hari Natal, Wesak, Easter, Tahun Baru Cina, dan sebagainya.
Selain dalil dari Al-Quran, juga ada dalil dari As-Sunnah yang secara khusus mengharamkan kaum muslimin menyerupai kaum kafir merayakan hari raya kaum kafir (tasyabbuh bi al kuffar fi a’yaadihim).
قَدِمَ رَسُولُ اللهِ ـ صل الله عليه وسلم ـ الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُوْنَ فِيهِمَا فَقَالَ : مَا هَذَانِ الْيَوْمَانِ. قَالُوا كُنَّا نَلْعَبُ فِيْهِمَا فِى الْجَاهِلِيَّةِ. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ـ صل الله عليه وسلم ـ : إِنَّ اللهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمِا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ
”Rasulullah SAW datang ke kota Madinah, sedang mereka (umat Islam) mempunyai dua hari yang mereka gunakan untuk bermain-main. Rasulullah SAW bertanya, ’Apakah dua hari ini?’ Mereka menjawab, ‘Dahulu kami bermain-main pada dua hari itu pada masa jahiliah.’ Rasulullah SAW bersabda, ’Sesungguhnya Allah telah mengganti dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.” (HR Abu Dawud, no 1134)
Hadis ini dengan jelas telah melarang kaum muslimin untuk merayakan hari raya kaum kafir, kerana Rasulullah SAW telah berkata bahawa hari raya kaum kafir yang biasa dirayakan juga oleh kaum muslimin waktu itu, telah digantikan dengan hari raya yang diakui dalam Islam, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha (Lihat: Ali bin Ibrahim ‘Ajjin, Mukhalafatul Kuffar fi As Sunnah An Nabawiyyah, hlm. 173).
Berdasarkan dalil-dalil di atas, haram hukumnya seorang muslim ikut serta merayakan Hari Natal, baik dengan mengikuti ritual agama Kristian seperti mengikuti peribadatan dalam rangka Hari Natal di Gereja, mahupun tidak ikut mengikuti ritual agama Kristian, seperti mengucapkan selamat Hari Natal kepada kaum Nasrani, membantu menata atau memasang pohon krismas, membantu memasang lampu untuk perayaannya, dan sebagainya.
Mengucapkan selamat Hari Natal disertai dengan pengakuan, keredhaan, dan penghormatan akan ajaran agama Kristian (seperti ajaran bahawa Nabi AS adalah tuhan), hukumnya haram dan pelakunya dikafirkan (murtad).
Mengucapkan selamat Natal, tetapi tidak disertai dengan pengakuan, keredhaan, dan penghormatan akan ajaran agama Kristian, hukumnya haram, tetapi pelakunya tidak dikafirkan (murtad).
Imam Ibnul Qayyim berkata,
أما التهنئة بشعائر الكفر المختصة به فحرام بالاتفاق ، مثل أن يهنئهم بأعيادهم وصومهم ، فيقول: عيد مبارك عليك ، أو تهْنأ بهذا العيد ونحوه ، فهذا إن سلم قائله من الكفر فهو من المحرمات وهو بمنزلة أن يهنئه بسجوده للصليب…(أحكام أهل الذمة، ج 1 ص 162 )
“Adapun memberi ucapan selamat yang terkait syiar-syiar kekufuran yang menjadi ciri khas kaum kafir, hukumnya haram menurut kesepakatan ulama, misalnya memberi ucapan selamat atas hari raya atau puasa mereka, misalnya dengan berkata, “Semoga Hari Raya anda diberkahi,” atau memberi ucapan selamat dengan kalimat semisalnya, maka walaupun yang mengucapkan itu selamat dari kekufuran, tetapi perbuatan itu termasuk hal-hal yang diharamkan, seperti halnya orang yang memberi selamat kepada orang Nasrani kerana sujud mereka kepada Salib…” (Ahkamu Ahli Al Dzimmah, Juz I, hlm. 162).