[HADIS] WARAK: BUAH TAKWA
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Salah satu buah dari takwa adalah sikap warak. Warak termasuk di antara akhlak terpuji yang wajib dimiliki oleh seorang muslim. Warak pada dasarnya adalah menahan diri dari—sekaligus meninggalkan—perkara-perkara yang haram. Kemudian kata ini digunakan untuk sikap menahan diri dari perkara-perkara yang mubah atau halal (Ibn Abi ad-Dunya’, At-Tawâdhu’ wa al-Khumûl, I/91).
Sifat warak yang wajib dimiliki oleh setiap muslim ini diperintahkan langsung oleh Rasulullah SAW dalam beberapa sabdanya. Baginda Rasulullah SAW, misalnya, pernah bersabda, sebagaimana dituturkan oleh Abu Hurairah RA, “Jadilah engkau orang yang memiliki sifat warak, nescaya engkau akan menjadi hamba Allah yang paling banyak beribadah kepada-Nya.” (Ibn Abi ad-Dunya, Al-Warâ’, I/4).
Sayyid bin al-Musayyib menuturkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Batas-batas Islam tercakup oleh empat perkara: warak, yang merupakan tiang segala urusan agama; syukur saat senang, yang merupakan salah satu kunci syurga; sabar saat sedih, yang boleh menyelamatkan dari azab neraka; dan tawadhu’, yang merupakan kemuliaan seorang mukmin.” (Ibn Abi ad-Dunya’, Al-Warâ’, I/14).
Sifat warak bahkan merupakan salah satu tiang agama. Dalam hal ini, Amr bin Qais al-Mala’i menuturkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Tiang agama kalian adalah sifat warak.” (Ibn Abi ad-Dunya, Al-Warâ’, I/15).
Ibn Abbas juga menuturkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Allah SWT berfirman kepada Nabi Musa AS: Tidaklah bertaqarrub orang-orang yang bertaqarrub kepada Diri-Ku yang setara dengan sikap warak.” (Ibn Abi ad-Dunya’, Al-Warâ’, I/18).
Alhasil, sikap warak (takut terjatuh ke dalam dosa) dan takut kepada Allah SWT. Itulah takwa yang sesungguhnya.
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.