[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 2/22)
[Sambungan dari Bahagian 1/22]
Kedua, tahapan dakwah secara terang-terangan.
Dakwah secara rahsia berlangsung selama tiga tahun. Kemudian turunlah wahyu Allah SWT kepada Rasulullah SAW yang memerintahkan agar berdakwah secara terang-terangan dan mengumumkannya. Allah SWT berfirman, “Berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat.” (TMQ Asy-Syu’ar’: 214).
Selanjutnya Rasulullah SAW pun melaksanakannya, iaitu dengan mengundang Bani Hasyim. Mereka akhirnya menghadiri undangan beliau. Di antara mereka terdapat sekelompok orang dari Bani Abdul Muthalib bin Abdul Manaf. Mereka berjumlah 45 orang lelaki.
Abu Lahab dengan serta-merta berkata, “Mereka ini bapa saudara-bapa saudaramu dan anak keturunan bapa saudaramu. Berbicaralah dan jangan keanak-anakan. Ketahuilah, tidak ada orang Arab yang mampu berkerut dahi kepada kaummu. Aku berhak untuk menghukummu. Biarkan urusan bani bapamu. Jika engkau tetap melaksanakan urusanmu, itu lebih mudah bagi mereka daripada orang-orang Quraisy menerkammu dan seluruh orang Arab turut campur tangan. Aku tidak pernah melihat seorang pun yang datang kepada bani bapanya membawa keburukan seperti yang engkau bawa.”
Rasulullah SAW hanya diam dan tidak berbicara sepatah kata pun dalam pertemuan itu. Kemudian beliau mengundang mereka untuk kedua kalinya dan bersabda, “Segala pujian milik Allah dan aku memuji-Nya. Aku memohon pertolongan-Nya. Aku mengimani-Nya dan bertawakal kepada-Nya. Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang patut disembah, kecuali Allah dan tidak ada sekutu bagi-Nya.”
Kemudian beliau melanjutkan, “Sesungguhnya seorang pemandu tidak akan mendustakan keluarganya. Demi Allah, Zat Yang tidak ada ilah selain Dia. Sungguh aku adalah utusan (Rasul) Allah bagi kalian semua khususnya dan bagi umat manusia pada umumnya. Demi Allah, sungguh kalian akan mati layaknya kalian tidur dan kalian akan dibangkitkan layaknya kalian bangun tidur. Sungguh kalian akan dihisab atas apa saja yang kalian perbuat. Sesungguhnya di sana terdapat syurga yang kekal dan neraka yang abadi.”
Kemudian Abu Thalib berkata, “Kami tidak suka menolongmu, menjadi penasihatmu, dan membenarkan perkataanmu. Orang-orang dari bani bapamu ini telah bersepakat, sedangkan aku hanya salah seorang di antara mereka. Namun, akulah orang pertama dari mereka yang akan melindungi apa yang engkau sukai. Jadi lakukan saja apa yang diperintahkan kepadamu. Demi Allah, aku akan senantiasa menjaga dan melindungimu. Namun, aku sendiri tidak punya kemampuan untuk meninggalkan agama Abdul Muthalib.”
Abu Lahab berkata, “Demi Allah, ini adalah hal yang buruk. Ambillah tindakan terhadap dirinya sebelum orang lain mengambil tindakan terhadapnya.”
Abu Thalib berkata, “Demi Allah, sungguh aku akan melindunginya selagi aku masih hidup.”
Rasul SAW yakin akan dukungan bapa saudara beliau, iaitu Abu Thalib untuk memberikan perlindungannya. Oleh kerana itu, beliau pada suatu hari berdiri di Bukit Safa, lalu berseru dengan suara lantang, “Wahai semua orang!”
Semua orang Quraisy berkumpul memenuhi panggilan beliau. Kemudian beliau menyeru mereka pada tawhidullah (pengesaan Allah) dan mengajak mereka untuk mengimani risalah-Nya dan Hari Akhir. Abu Lahab lalu berkata kepada Rasul SAW dengan suatu perkataan yang terkenal, “Celakalah engkau selama-lamanya. Apakah hanya untuk ini engkau mengumpulkan kami?”
Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.