Hakikat Ahlul Quran
Oleh: Irfan Abu Naveed
Allah SWT menciptakan manusia. Allah SWT memuliakan mereka dengan tuntunan yang mengatur segala aspek kehidupannya. Allah SWT menyifati mereka yang mengimani, memahami dan mengamalkan Al-Quran dengan bahasa kiasan: “keluarga”-Nya (ahluLlâh). Anas bin Malik ra. berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
إِنَّ لِلَّهِ أَهْلِينَ مِنَ النَّاسِ
“Sungguh Allah memiliki ‘keluarga’ dari kalangan manusia.”
Sahabat bertanya, “Siapa mereka wahai Rasulullah SAW?” Rasulullah SAW menjawab:
أَهْلُ الْقُرْآنِ هُمْ أَهْلُ للهِ وَخَاصَّتُه
“Ahlul Quran. Merekalah keluarga Allah dan orang-orang istimewa-Nya.” (HR Ahmad dan al-Hakim).
Dalam hadis yang mulia ini, predikat AhluLlâh disematkan kepada Ahlul Quran; dipisahkan oleh lafaz hum yang menunjukkan pengkhususan predikat AhluLlâh wa khâshshatuhu (al-musnad) kepada ahl Al-Qurân (al-musnad ilayh) (dhamîr al-fashl li ikhtishâh al-musnad bi al-musnad ilayh).
Seperti apa karakteristiknya? Al-Hafizh Abu Bakar Muhammad al-Ajurri (w. 360 H) menukilkan perkataan Isa bin Yunus dalam kitab Akhlâq Ahl al-Qur’ân (hlm. 77-78):
…بَصِيرًا بِزَمَانِهِ وَفَسَادِ أَهْلِهِ، فَهُوَ يَحْذَرُهُمْ عَلَىدِينِهِ، مُقْبِلًا عَلَى شَأْنِهِ، مَهْمُومًا بِإِصْلَاحِ مَا فَسَدِ منْ أَمَرِهِ، حَافِظًا لِلِسَانِهِ، مُمَيِّزًا لَكَلَامِهِ، إِنْ تَكَلَّمَ تَكَلَّمَ بِعِلْمٍ إِذَا رَأَى الْكَلَامَ صَوَابًا، وَإِنْ سَكَتَ سَكَتَ بِعِلْمٍ إِذَا كَانَ السُّكُوتُ صَوَاًبًا
…Memiliki bashîrah (pandangan yang tajam) atas keadaan zamannya dan kerosakan penduduknya. Dialah orang yang memperingatkan mereka dengan ajaran Din-nya, menerima kedudukannya, disibukkan dengan memperbaiki apa yang manusia rosak, menjadi orang yang memelihara lisannya, menyusun perkataannya. Tatkala berbicara, dia berbicara dengan ilmu jika ia dapati kebenaran dalam perkataan tersebut. Tatkala diam, dia diam kerana ilmu jika diam adalah kebenaran bagi dirinya.
Betapa indahnya penggambaran dalam maqâlah di atas. Ahlul Quran bukanlah mereka yang diam menutup mata dan menutupi realiti kerosakan masyarakat. Contohnya kerosakan pada zaman ini akibat ideologi kufur Kapitalisme dan Komunisme serta fahaman sesat menyesatkan seperti Demokrasi. Ahlul Quran tidak diam atas kemungkaran, melainkan aktif melakukan pembaikan. Merekalah yang layak disifati oleh Baginda Rasulullah SAW sebagai sebaik-baik insan. ‘Uthman bin ’Affan ra. berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
خَيْركُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآن وَعَلَّمَه
Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari dan mengajarkan Al-Quran (HR al-Bukhari).
Sejalan dengan predikat khair an-nâs, Durrah binti Abi Lahab ra. berkata: Seseorang pernah berdiri ketika Rasulullah SAW di atas mimbar. Dia lalu bertanya, “Siapakah sebaik-baiknya manusia” Beliau menjawab:
خَيْر النَّاسِ أَقْرَؤُهُمْ وَأَتْقَاهُمْ وَآمَرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَأَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأَوْصَلُهُمْ لِلرَّحِمِ
Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling patuh, paling bertakwa, paling banyak melakukan amar makruf nahi mungkar dan paling sering menyambung tali silaturahmi (HR Ahmad dan ath-Thabarani).
Karakteristik Ahlul Quran: Mengunggulkan Hukum Al-Quran
Allah SWT menggambarkan secara kiasan bahawa Al-Quran adalah hud[an] (petunjuk). Ini untuk menegaskan kedudukan agung menjadi tuntunan hidup manusia. Allah SWT berfirman:
ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ ٢
”Al-Kitab (Al-Quran) ini, tidak ada keraguan di dalamnya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa” [TMQ al-Baqarah (2): 2]
Dalam ayat ini, Al-Quran disebut dengan kata tunjuk dzâlika. Perkataan ini menunjukkan pengagungan atas Al-Quran (li al-ta’zhîm wa at-tanbîh ’ala ’uluww sya’nihi). Ini diperjelas dengan kiasan (al-majâz al-’aqli) yang menggambarkan kedudukan Al-Quran sebagai petunjuk. Sedangkan Allahlah Yang Maha Memberi Petunjuk (Al-Hâdî). Dia menunjukkan fungsi utama Al-Quran sebagai tuntunan hidup manusia.
Pertama: Secara manthûq ayat ini menyebutkan bahawa orang-orang yang mengambil petunjuk Al-Quran dan mengambil manfaat kebaikannya adalah orang-orang yang bertakwa. Kedua: Secara mafhûm dapat disimpulkan bahawa orang yang mengambil petunjuk Al-Quran akan menjadi orang yang bertakwa (dalam tinjauan).
Al-Quran mengandungi petunjuk dalam setiap ayatnya. Kebenarannya ditegaskan oleh Allah dengan penafian atas keraguan. Ini ditandai oleh dua petunjuk:
Pertama, huruf lâ dalam ayat ini adalah lâ nafiy (bermakna menafikan). Kedua, kata rayb bermakna keraguan (al-syakk). Dengan demikian frasa lâ rayba bermakna: tidak ada keraguan (lâ syakka), yang bermaksud meyakinkan.
Lawan dari petunjuk (al-hudâ’) adalah kesesatan (al-dhalâl). Hal ini menunjukkan bahawa menyalahi Al-Quran merupakan sebab kesesatan.
Mereka yang memposisikan Al-Quran sebagai petunjuk inilah yang layak menyandang predikat Ahlul Quran (Keluarga Al-Quran). Dalam realisasinya, pengamalan Al-Quran dan penerapan hukumnya dalam kehidupan memerlukan kekuasaan (Khilafah). Inilah yang menjadi intisari dari atsar Uthman bin Affan ra.:
مَا يَزَعُ الله بِالسُّلْطَانِ أَكْثَرُ مِمَّا يَزَعُ بِالْقُرآنِ
Persoalan apa yang Allah selesaikan dengan keberadaan penguasa lebih banyak daripada apa yang diselesaikan oleh Al-Quran (tanpa kekuasaan yang menjalankannya).
Kerana itu tiada manusia yang paling jahil, kecuali mereka yang menukar petunjuk ini dengan kesesatan. Di antaranya dengan mengedepankan hukum jahiliah daripada hukum Allah, sebagaimana peringatan-Nya:
أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ ٥٠
”Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki? (Hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Maaidah (5): 50]
Mahmud bin Abdurrahim Shafi dalam Al-Jadwal fî I’râb al-Qur’ân (VI/375) menegaskan bahawa huruf hamzah pada awal ayat ini, afahukma, dan man dalam kalimat wa man ahsanu, merupakan bentuk istifhâm, iaitu kata tanya. Namun, maksudnya adalah pengingkaran (al-istifhâm al-inkâri). Dalam ilmu balaghah, ia merupakan bentuk kata tanya yang keluar dari konteks fungsi hakikinya, iaitu mengandungi maksud pengingkaran.
Pertama: Kalimat afahukma al-jâhiliyyah yabghûna merupakan pengingkaran sekaligus bentuk kehairanan serta celaan atas perbuatan mereka kerana berpaling dari hukum Allah dan Rasul-Nya dan mencari hukum lain. Hal ini merupakan hal yang ganjil dan menghairankan. Maksudnya, perbuatan mencari hukum jahiliah merupakan perkara yang paling tercela dan menghairankan. Perbuatan semacam ini, menurut Fakhruddin ar-Razi dalam Mafâtîh al-Ghayb (XII/375), mutlak kejahilannya dan jelas berasal dari hawa nafsu (mahdh al-jahl wa sharîh al-hawâ’).
Kedua: Kalimat wa man ahsanu minaLlâhi hukm[an] merupakan pengingkaran atas adanya hukum yang lebih baik daripada hukum Allah atau setara dengannya, sebagaimana penggunaan konteks kalimatnya. Kata hukm dalam ayat ini pun berbentuk nakîrah (tanpa alif lam) yang cakupannya umum (mubham). Tidak spesifik. Dengan demikian dapat ditegaskan bahawa tidak ada hukum apapun yang lebih baik daripada hukum Allah. Kata ahsanu (lebih baik) merupakan bentuk tafdhîl. Ini menunjukkan bahawa tidak ada yang lebih baik atau menandingi hukum Allah SWT.
Kata hukma dibaca afahukma (bukan afahukmu), kerana kedudukannya sebagai objek (al-maf’ûl bihi) yang dikedepankan. Ia diletakan di depan subjek dan kata kerja (yabghûna) sebagai pengkhususan (takhshîsh) yang berfungsi menekankan, menguatkan pengingkaran dan celaan atas perbuatan berhukum dengan hukum jahiliah. Ini sebagaimana kaedah taqdîm al-maf’ûl li al-takhshîsh, yang diamini majoriti ulama ditegaskan Al-Hafizh al-Suyuthi dalam Syarh Jam’i al-Jawâmi’ (II/10).
WaLlâhu a’lam bi ash-shawâb.