KELUARGA ALLAH SWT
Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar
Rasulullah SAW bersabda:
“Sungguh Allah mempunyai keluarga dari kalangan manusia.” lalu baginda ditanya, “Siapakah mereka, wahai Rasulullah.” Baginda menjawab, “Mereka adalah Ahlul-Quran. Merekalah keluarga Allah dan yang Dia istimewakan.” [HR Ahmad dan Ibnu Majah].
Pernahkah kita terfikir bagaimana rasanya menjadi ahli keluarga yang terhormat? Dihormati dan disegani masyarakat? Bayangkan jika ibu bapa kita berasal daripada keturunan bangsawan, dari keluarga diraja atau golongan terhormat.Mungkin juga ibu bapa kita seorang tokoh besar, pemimpin negara (presiden, raja, Perdana Menteri dan sebagainya). Atau ibu bapa kita seorang yang kaya raya, jutawan atau hartawan terkemuka. Boleh jadi juga ibu bapa kita seorang tokoh masyarakat, figura awam, atau ulama terkemuka. Apa yang kita rasakan? Sudah tentu bangga!
Setiap orang pasti merasa bangga dan dihormati jika nasabnya bersambung kepada Rasulullah SAW. Menjadi Ahlul Bait, sebahagian daripada keluarga Nabi Muhammad SAW. Manusia yang paling mulia sepanjang zaman. Di dunia dan akhirat. Baginda mengungguli semua nabi dan rasul, malah melebihi para malaikat yang paling dekat kedudukannya di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW diberi kuasa oleh Allah SWT untuk memberikan syafaat kepada sesiapa saja dari kalangan umatnya yang dikehendaki.
Bagaimana pula jika kita dimasukkan ke dalam sebahagian daripada Keluarga Allah (AhlulLaah). Dialah pencipta segala makhluk. Penguasa dan Pemilik alam semesta ini. Zat Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Pemilik syurga dan kunci- kunci syurga berada dalam genggamanNya. Pastinya kita akan berasa sangat bangga dan bersyukur.
Lalu, apakah syarat untuk menjadi sebahagian daripada Keluarga Allah SWT? Syaratnya hanya satu: menjadi Ahlul-Quran.
Siapakah Ahlul-Quran itu? Mereka ialah sesiapa sahaja yang sentiasa membaca, memahami dan mengamalkan seluruh isi al-Quran. Mereka juga berusaha untuk memperjuangan hukum-hukum al-Quran dalam setiap aspek kehidupan. Mereka inilah yang di akhirat kelak akan menjadi sebahagian daripada Keluarga Allah SWT (AhlulLaah).
Wa maa tawfiiqii illaa billaah.