PENTINGNYA MERENUNGKAN KISAH-KISAH AS-SALAFUS SOLEH
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Membaca apatah lagi berkenaan kisah-kisah generasi As-Salafus Soleh amat penting dilakukan oleh setiap Muslim. Kepentingannya agar kita boleh mencontohi dan meneladani mereka untuk meneguhkan keimanan dan ketaatan kita kepada Allah SWT, persis seperti yang mereka tunjukkan sepanjang hidup mereka.
Dalam al-Quran banyak diceritakan kisah-kisah para nabi, rasul dan orang-orang yang beriman yang terdahulu. Kisah-kisah ini Allah SWT jadikan untuk meneguhkan hati Rasulullah SAW, dan pastinya untuk semua orang-orang Mukmin [Lihat: TMQ Hud (11):11].
Sebagai contoh, kita boleh mengambil kisah tentang sikap istiqamah Nabi Ibrahim AS saat dibakar oleh para penentangnya [Lihat: TMQ al-Anbiya (21):68-70]. Ibnu Abbas RA berkata, akhir perkataan Nabi Ibrahim AS, ketika dilemparkan ke dalam maraknya api adalah, “Hasbunallah Wanikmal Wakil” (Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami). Dan akhirnya, Nabi Ibrahim AS pun selamat [HR Al-Bukhari].
Oleh kerana itu, As-Salafus Soleh amat gemar sekali mempelajari kisah-kisah orang soleh terdahulu untuk diambil cerita mereka sebagai teladan. Basyr bin al-Harits al-Hafi mengatakan, “Betapa banyak orang- orang soleh yang telah wafat membuatkan hati menjadi hidup saat mengingati mereka.” [Ibn al-Jauzi, Shifat ash-Shafwah, II /333].
Imam Abu Hanifah juga amat gemar mempelajari kisah-kisah para ulama. Beliau berkata, “Kisah-kisah para ulama dan duduk bersama mereka lebih aku sukai daripada menguasai beberapa bab fikih. Itu kerana dalam kisah mereka diajarkan pelbagai adab dan akhlak luhur mereka.” [Al-Madkhal, I/164].
Nu’aim bin Hammad mengatakan, “Ibnu al-Mubarak biasa duduk-duduk sendirian di rumahnya. Kemudian ada yang bertanya kepada beliau, “Adakah engkau tidak kesunyian?” Ibnu al-Mubarak menjawab, “Bagaimana mungkin aku kesunyian, sedangkan aku selalu bersama Nabi SAW” [Ibn al- Jauzi, Shifat ash-Shafwah, I/438].
Maksudnya, Ibnu al-Mubarak tidak pernah merasa kesunyian kerana kebiasaannya yang sentiasa sibuk mempelajari sirah hidup Nabi SAW.
Wa maa tawfiiqii illaa billaah.