[Nafsiyah] PENGADILAN AKHIRAT
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
SETIAP manusia pasti tidak akan dapat melepaskan diri daripada azab di hari Akhirat kelak. Allah SWT berfirman (yang bermaksud): Pada hari ini, tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang telah diusahakannya; tidak ada hukuman yang tidak adil pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya. [TMQ Ghafir (40): 16 -17].
Di dalam dunia ini, mungkin saja manusia boleh terlepas daripada dihukum. Namun, di akhirat sana adalah mustahil bagi mereka melarikan diri daripada hukuman dan azab Allah SWT. Bila mana Allah SWT sebagai hakim mengadili di mahkamah Akhirat, sudah pasti tidak akan wujud rasuah, sokongan atau pakatan tertentu. Semuanya pasti tunduk dan bertekuk lutut di hadapan kekuasaan dan kekuatanNya. Di Akhirat kelak,segala perkataan dan perbuatan akan ditimbang seadil-adilnya; walau sebesar biji sawi sekali pun tidak akan terlepas. [TMQ al-Zalzalah (99): 7-8].
Di akhirat nanti, kita tidak akan dapat menerima sebarang pertolongan apapun. Di sana, kesemua harta, anak, kedudukan pangkat dan apa sahaja yang dibanggakan di dunia ini sudah tidak berguna sama sekali. Hanya hati yang selamat sejahtera (qalb[un] salîm) yang dapat menolong [TMQ asy-Syua’ra’ (26): 88–89].
Setiap manusia masing-masing akan datang menghadap di hadapan Pengadilan Allah Yang Maha Adil untuk dipertanggungjawabkan terhadap perkataan dan perbuatannya [TMQ Maryam (19): 95]. Tiada sesiapa pun akan terlepas daripada hukuman. Mereka tidak dapat berbohong dan mengelak. Ini kerana, mulut mereka akan terkunci, sedangkan anggota tubuh mereka (tangan, kaki, telinga, mata dan kulit) akan menjadi saksi [TMQ Yasin (36): 65].
Orang yang melakukan dosa akan menerima azab yang amat pedih [TMQ al-Kahfi (18): 26]. Dikala itu orang-orang kafir juga begitu takut dengan azab di akhirat. Allah SWT menggambarkan keadaan mereka melalui firmanNya (yang bermaksud): “Pada hari itu orang-orang yang kafir dan menderhaka kepada Rasulullah, suka jika mereka disama ratakan dengan tanah (ditelan bumi), dan (ketika itu) mereka tidak dapat menyembunyikan sepatah kata pun dari pengetahuan Allah.”[TMQ an-Nisa’ (4): 42].
Sungguh beruntunglah orang-orang yang berat timbangannya dan rugilah bagi orang-orang yang ringan timbangannya [TMQ al-A’raf (7): 8-9]. Allah SWT Maha Adil dan tidak pernah menzalimi hambaNya walau sedikit pun. Hanya orang-orang yang beriman akan mendapat rahmat Allah SWT yang akan dapat menyelamatkan nasib mereka pada hari penentuan tersebut. Semoga kita tergolongan di kalangan orang-orang yang beriman.
Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ’alaihi tawakkaltu wa ilaihi unîb.