[NAFSIYAH] MENGUATKAN KEYAKINAN
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Selepas keimanan, salah satu sikap penting bagi seorang muslim ialah memiliki keyakinan yang benar dan kukuh. Keyakinan kepada rezeki, qadar, keadilan Allah SWT, janji dan pertolonganNya, pengabulan doaNya, kematian dan sebagainya adalah buah keimanan. Berkenaan dengan itu, Rasulullah SAW sering berdoa, “Ya Allah, berilah kami rasa takut kepadaMu yang boleh menghalang kami dari melakukan kemaksiatan kepadaMu; berilah kami ketaatan kepadaMu yang boleh membawa kami ke syurgaMu; dan berilah kami keyakinan yang boleh membuat kami memandang ringan terhadap pelbagai musibah dunia yang menimpa kami..” [HR at-Tirmidzi, an-Nasa’I, al-Hakim dan ath-Thabrani].
Berkenaan kepentingan akidah, Rasulullah SAW juga bersabda, “Sesungguhnya tiada manusia di dunia ini yang diberikan sesuatu yang lebih baik daripada keyakinan dan kesihatan.” [HR Ahmad].
Keyakinan yang benar dan kukuh akan melahirkan ketenangan dan ketenteraman. Ibnu Abi Khalid, dari Zubaid, mengatakan bahawa Abdullah berkata, “Sesungguhnya ketenangan dan ketenteraman wujud dalam keyakinan dan keredhaan, sedangkan kekeliruan dan kegelisahan wujud dalam sikap ragu dan marah.” [HR Ibnu Abi ad-Dunya’]
Keyakinan yang benar dan kukuh juga akan mendorong manusia untuk bersungguh-sungguh dalam beramal. Al-Hasan berkata bahawa seseorang pernah mengatakan kepada anaknya,
“Wahai anakku, amal tidak boleh dilakukan melainkan berdasarkan pada keyakinan. Sesiapa yang lemah keyakinannya tidak dapat beramal.” [HR Ibn Abi ad-Dunya’]
Kerana itu Rasulullah SAW pernah bersabda, “ Tiada sesuatu yang paling aku takuti menimpa umatku melainkan kelemahan keyakinan.”[HR Ath-Thabrani dalam Mu’jam al-Awsath dan al-Baihaqi dan Syu’ab al-Iman]
Di antara tanda lemahnya keyakinan yang dikatakan oleh Al-Hasan, sebagaimana dituturkan oleh Ziyad bin al-Mudhafir, “Wahai anak Adam, salah satu tanda lemahnya keyakinan ialah engkau lebih percaya kepada apa yang ada padamu daripada apa yang ada pada Allah.” [HR Ibn Abi ad-Dunya’]
Akhir sekali, Rasulullah SAW mengingatkan kita, “Kerana keyakinan, syurga dicari untuk dicapai; kerana keyakinan, neraka hendaklah dijauhi; kerana keyakinan, pelbagai kewajipan akan ditunaikan; kerana keyakinan juga, manusia dapat bersabar di atas jalan kebenaran. [HR Ibn Abi ad-Dunya’]