[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 14/22)
[Sambungan dari Bahagian 13/22]
Seterusnya beliau tiba di sebuah kebun milik Uthbah dan Syaibah, anak-anak Rabi’ah. Kemudian beliau duduk di kebun itu. Beliau berdoa kepada Allah dengan doa masyhur yang menjelaskan sejauh mana kesukaran, duka, dan kesedihan yang menimpa beliau.
Beliau berdoa, “Ya Allah, kepada Engkaulah, aku mengadukan lemahnya kekuatanku, sedikitnya usahaku, dan ketakberdayaanku atas manusia. Duhai Zat Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Engkau adalah Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau akan menyerahkanku? Kepada orang jauh yang bermuka masam kepadaku atau kepada musuh yang akan menguasai urusan (dakwah)ku? Seandainya Engkau tidak murka kepadaku, tidak akan aku pedulikan. Akan tetapi, maaf-Mu adalah lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang dengannya kegelapan menjadi lenyap, serta segala urusan dunia dan akhirat menjadi baik dari turunnya murka-Mu kepadaku dan dari dihalalkannya kemarahan-Mu atasku. Kepunyaan-Mulah harapan hingga engkau redha dan tidak ada kekuatan, selain kerana Engkau.”
Beliau lalu kembali ke Mekah. Di jalan setelah keluar dari kebun itu, beliau dirundung kesedihan dan duka kerana tidak ada seorang pun yang memenuhi seruan beliau. Dengan semua keadaan itu, beliau takut akan mendapat murka Allah Taala.
Kemudian Allah SWT mengutus Jibrail dan bersamanya ada Malaikat Penjaga Gunung yang meminta perintah Rasul untuk menimpakan Ahsyabayn (dua gunung Mekah, iaitu Abu Qubays dan Qu’aiqu’an) kepada penduduk Thaif. Namun, beliau menolaknya dengan suatu penolakan yang menunjukkan keluhuran akhlak, keagungan jiwa, dan tingginya perhatian beliau.
Beliau berucap, “Bahkan aku berharap agar Allah mengeluarkan dari anak keturunan mereka, orang yang menyembah Allah semata dan tidak menyekutukan-Nya dengan apa pun.” (Shahih Bukhari, Kitab Bad’u al-Khalq 1/458).
Hati beliau pun menjadi lega. Turunnya Malaikat Penjaga Gunung merupakan pertolongan yang diturunkan oleh Allah kepada beliau. Kemudian beliau melanjutkan perjalanan ke Mekah hingga sampai di Wadi Nakhlah.
Beliau berhenti di tempat itu beberapa hari. Pada saat itu, Allah SWT mengutus sekelompok jin yang disebutkan oleh Allah dalam dua tempat di dalam Al-Quran, iaitu, “(Ingatlah) ketika Kami menghadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al-Quran. Tatkala mereka menghadiri pembacaan-(nya), mereka berkata, ‘Diamlah kalian (untuk mendengarkannya).’ Ketika pembacaan telah selesai, mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan. Mereka berkata, ‘Hai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengarkan kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan sesudah Musa, yang membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya lagi memimpin pada kebenaran dan pada jalan yang lurus. Hai kaum kami, terimalah (seruan) orang yang menyeru kepada Allah dan berimanlah kepada-Nya, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kalian dan melepaskan kalian dari azab yang pedih.’” (TMQ Al-Ahqaf: 29—31).
“ Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan! `Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami. `Dan (ketahuilah wahai kaum kami!) Bahawa sesungguhnya: tertinggilah kebesaran dan keagungan Tuhan kita daripada beristeri atau beranak. `Dan (dengan ajaran Al-Quran nyatalah) bahawa sesungguhnya: (ketua) yang kurang akal pertimbangannya dari kalangan kita telah mengatakan terhadap Allah kata-kata yang melampaui kebenaran; `Dan bahawa sesungguhnya (nyatalah kesalahan) kita menyangka bahawa manusia dan jin tidak sekali-kali akan berani mengatakan sesuatu yang dusta terhadap Allah. `Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat. `Dan bahawa sesungguhnya (tidaklah benar) manusia menyangka sebagaimana yang kamu sangka, bahawa Allah tidak sekali-kali mengutuskan sebarang Rasul (atau tidak akan membangkitkan manusia pada hari kiamat). `Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala. `Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya. `Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah (dengan adanya kawalan langit yang demikian) hendak menimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka? `Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan. `Dan bahawa sesungguhnya kita (sekarang) mengetahui, bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat melepaskan diri dari balasan Allah (walau di mana sahaja kita berada) di bumi, dan kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri dari balasanNya (walau ke langit sekalipun). `Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Quran), kami beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi); kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik), dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan. `Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang beragama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar, ` Adapun orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka Jahannam‘.” (TMQ Al-Jin: 1—15).
Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.