BRICS, Islam dan Alternatif Tatanan Dunia
Berita:
Indonesia bakal menjadi salah satu daripada sembilan negara rakan BRICS bermula 1 Januari 2025. Selain Indonesia, lapan negara lain yang turut disahkan memegang status rakan BRICS pada tarikh yang sama ialah Belarus, Bolivia, Kazakhstan, Thailand, Cuba, Uganda, Malaysia, dan Uzbekistan (CNN Indonesia). Kontroversi timbul kerana beberapa pihak, terutamanya negara-negara Barat, melihat Indonesia sebagai negara yang berpegang pada prinsip tidak berpihak, yang tidak menyokong mana-mana pihak secara khusus.
Komentar:
BRICS mula menonjol di pentas global selepas perang Gaza, di mana negara-negara ahlinya menunjukkan sokongan kuat kepada Palestin serta pendirian anti-Israel. Selain itu, pada Sidang Kemuncak BRICS Oktober lalu di Kazan, Vladimir Putin menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk membina dunia multipolar, menggantikan dunia unipolar yang sebelum ini dipimpin oleh Amerika Syarikat sebagai kuasa hegemoni tunggal. Pada tahun 2023, Kremlin juga menegaskan bahawa AS “tidak akan menjadi pusat kepada tatanan dunia baharu.” Sentimen ini selari dengan kekecewaan yang semakin meningkat di kalangan negara-negara selatan global terhadap sistem yang dipimpin oleh AS dan negara-negara utara global, yang dilihat sebagai eksploitasi, bersikap dwi-standard, serta diskriminatif dalam pelaksanaan keadilan.
Kontroversi penyertaan Indonesia dalam BRICS tidak boleh dipisahkan daripada kebimbangan negara-negara Barat – kerana mereka mempunyai konflik kepentingan dan ideologi dengan Rusia serta China. BRICS dianggap sebagai gerakan revisionis atau kumpulan negara yang tidak berpuas hati dengan sistem yang dibina oleh Barat, kerana mereka membawa visi ‘dunia pasca-Barat’ yang bertujuan untuk menamatkan hegemoni Barat dalam tadbir urus global, khususnya dalam aspek ekonomi kewangan antarabangsa. Rusia berulang kali cuba menerajui usaha ini dengan menyeru agar meninggalkan penggunaan dolar AS dalam transaksi antarabangsa. BRICS juga telah menubuhkan Bank Pembangunan Baharu (NDB) sebagai alternatif kepada institusi kewangan seperti Bank Dunia dan IMF untuk membiayai pembangunan di negara-negara membangun.
Tidak dapat dinafikan, tatanan dunia hari ini sedang berhadapan dengan krisis legitimasi yang kuat, dengan BRICS dan blok alternatif lain menawarkan kerangka kerja bagi melemahkan dominasi AS dan negara-negara G7. Secara teori, negara-negara BRICS mewakili 45% daripada populasi dunia, manakala negara-negara G7 (Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Perancis, Britain, Itali, dan Jepun) hanya mewakili 10%. Negara-negara BRICS juga mewakili 35% daripada KDNK global, berbanding G7 yang hanya 30%. Walaupun pada masa ini BRICS kebanyakannya dimanfaatkan oleh kuasa Timur (Rusia dan China), popularitinya semakin meningkat sejak Perang Rusia-Ukraine, serta ketegangan yang semakin memuncak dalam krisis Gaza di Timur Tengah.
Indonesia sebagai sebuah negara Muslim, yang mendakwa mempunyai dasar luar yang “bebas dan aktif”, seharusnya tidak berpaling kepada blok Barat mahupun Timur, tetapi hanya kepada blok alternatif yang mewakili ISLAM. Apabila negara-negara bukan Islam secara terbuka mengakui kelemahan dalam tatanan dunia dan secara jelas menyatakan keperluan mendesak untuk kelahiran tatanan dunia baharu, mengapa kita sebagai umat Islam tidak berfikir ke arah itu? Mereka berani membina blok kuasa alternatif dan menawarkan idea alternatif, mengapa negara-negara Muslim tidak menawarkan visi Islam? Hakikatnya, Islam mempunyai pengalaman sejarah yang kaya selama berabad-abad dan pernah memberikan pengaruh besar kepada tatanan dunia. Indonesia seharusnya menggunakan dasar luar bebas dan aktifnya untuk kembali kepada Islam – bukan Barat, bukan Timur, tetapi hanya Islam. Sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Ma’idah ayat 50:
﴿اَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُوْنَۗ وَمَنْ اَحْسَنُ مِنَ اللّٰهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُّوْقِنُوْنَࣖ﴾
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.” (TMQ Al-Maaidah [5]:50)
Wahai Para Pemimpin Muslim!
Pentas dunia kini semakin mengalami kekosongan kuasa, adakah umat Islam bersedia untuk mengisinya? Dengan menyedari bahawa tatanan dunia kufur yang merosakkan ini adalah hasil daripada sistem kapitalis yang dipelihara dan disokong oleh Amerika Syarikat, kita dapat melihat bahawa AS kini sibuk dengan masalah dalaman dan tidak bersedia untuk terlibat dalam sebarang konflik luaran. Rusia juga terus melemah dalam peperangan di Ukraine, begitu juga dengan China yang berhadapan dengan pelbagai masalah domestik.
Inilah masanya! Masa yang unik dan matang bagi umat Islam untuk menawarkan ISLAM dan membawa perubahan yang sangat diperlukan oleh dunia yang sedang nazak ini serta menegakkan Islam di muka bumi. Insya-Allah, kita akan menyaksikan dengan mata kita sendiri pemenuhan janji-janji kenabian Rasulullah ﷺ:
Tamim ad-Dari (RA) meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
«لَيَبْلُغَنَّ هَذَا الْأَمْرُ مَا بَلَغَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ وَلَا يَتْرُكُ اللَّهُ بَيْتَ مَدَرٍ وَلَا وَبَرٍ إِلَّا أَدْخَلَهُ اللَّهُ هَذَا الدِّينَ بِعِزِّ عَزِيزٍ أَوْ بِذُلِّ ذَلِيلٍ عِزًّا يُعِزُّ اللَّهُ بِهِ الْإِسْلَامَ وَذُلًّا يُذِلُّ اللَّهُ بِهِ الْكُفْرَ»
Tamīm Ad-Dāriy -raḍiyallāhu ‘anhu- meriwayatkan: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sungguh, agama ini akan sampai ke semua tempat yang sampai padanya siang dan malam. Allah tidak akan melalui satu rumah pun baik di kota atau pedesaan, kecuali Allah akan memasukkan agama ini ke dalamnya, baik dengan kemuliaan orang yang mulia ataupun dengan kehinaan orang yang hina, iaitu dengan kemuliaan yang dengannya Allah memuliakan Islam dan kehinaan yang dengannya Allah menghinakan kekafiran.” Tamīm Ad-Dari berkata, “Aku telah mengetahui hal itu dalam keluargaku. Yang masuk Islam di antara mereka telah memperoleh kebaikan dan kemuliaan. Sedang yang kafir di antara mereka telah memperoleh kehinaan, kekerdilan dan (kewajipan membayar) jizyah.” [Diriwayatkan oleh Ahmad, Musnad Ahmad – 16957]
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir oleh
Dr. Fika Komara
Ahli Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir