Insurans dan Takaful Telah Berubah Menjadi Perniagaan yang Menindas Rakyat
Oleh: Aliya Ab Aziz
Rentetan cadangan kenaikan premium sebanyak 40 hingga 70 peratus yang diumumkan oleh tiga organisasi besar syarikat insurans di Malaysia sebelum ini, Aktivis Muslimah Malaysia, Ummu Maryam Abdul Basir, menyatakan bahawa industri insurans dan takaful bukan sekadar menawarkan perlindungan kesihatan, tetapi telah berubah menjadi satu bentuk perniagaan yang rakus yang menekan rakyat.
“Usulan kenaikan premium sebanyak 40 hingga 70 peratus yang diumumkan oleh tiga organisasi besar syarikat insurans di Malaysia menunjukkan bahawa industri insurans dan takaful bukan hanya menawarkan perlindungan kesihatan, tetapi telah berubah menjadi bentuk perniagaan yang menekan rakyat, dan itu adalah bukti kerakusan industri ini,” tegasnya.
Dalam forum online Cakna Umat (Ahad, 26/01/2025) bertajuk Kerakusan Insurans dan Takaful Kesihatan, syarikat insurans menggunakan alasan kenaikan kos rawatan sebagai sebab untuk meningkatkan premium mereka.
“Mereka kata premium naik sebab kos rawatan meningkat. Tapi kalau kita lihat betul-betul, syarikat insurans ini tetap mengaut keuntungan besar. Ini bukan soal melindungi rakyat, ini soal keuntungan mereka.” Komen beliau.
Beliau turut menyampaikan catatan, sumber berita tempatan yang menunjukkan bahawa kos tuntutan perubatan meningkat sebanyak 56% dalam tempoh 2021 – 2023, namun peningkatan premium jauh lebih tinggi daripada kadar inflasi sebenar.
Tambahnya lagi, sistem insurans menjadikan kesihatan sebagai perniagaan dan bukannya hak asas yang perlu dipenuhi oleh negara.
“Kesihatan ini bukan barang dagangan. Tapi hari ini, syarikat insurans letak harga pada nyawa manusia. Siapa mampu bayar, dia dapat rawatan. Yang tak mampu? Tunggu sajalah.” katanya.
Persoalan turut dibangkitkan sama ada insurans benar-benar membantu rakyat atau sebaliknya menambah beban mereka. “Rakyat yang bergantung kepada insurans mendapati bahawa perlindungan mereka sering kali tidak mencukupi untuk menampung kos perubatan sebenar,” ulasnya.
“Orang bayar insurans tiap-tiap bulan, tapi bila nak guna, banyak benda tak cover. Ada had tahunan, ada caj tambahan. Akhirnya tetap kena keluar duit sendiri,” jelasnya.
Penyelesaian Islam
Ummu Maryam menegaskan, “Dalam Islam, pemimpin bertanggungjawab memastikan rakyat dapat rawatan tanpa perlu fikirkan duit. Ini bukan konsep baru, tapi dah terbukti dalam sejarah Islam.”
Beliau meyakini bahawa penyelesaian Islam jauh lebih adil dalam menjamin kesihatan rakyat kerana dalam sistem Islam, kesihatan adalah hak rakyat yang wajib disediakan oleh negara.
“Fakta tentang sistem kesihatan dalam Daulah Islam dahulu yang menyediakan hospital secara percuma, didanai oleh Baitulmal. Dalam sejarah Islam, hospital seperti Bimaristan di Baghdad dan Hospital Qalawun di Kaherah memberikan perkhidmatan kesihatan percuma untuk semua lapisan masyarakat,” ujarnya sebagai contoh.
Katanya lagi, “Pada zaman kegemilangan Islam, tak ada orang risau nak bayar rawatan. Semua orang, tanpa kira kaya atau miskin, dapat rawatan secara percuma.”
Selanjutnya beliau menjelaskan bahawa Islam juga menolak sistem kapitalis yang menjadikan kesihatan sebagai industri komersial. “Sistem insurans ini lahir dari kapitalisme. Mereka ambil duit orang ramai dengan janji perlindungan, tapi bila orang betul-betul perlukan, ada banyak syarat dan halangan. Dalam Islam, tak perlu semua ini. Negara terus sediakan perkhidmatan kesihatan untuk rakyat,” jelasnya membandingkan.
Selain itu, aktivis ini turut menegaskan bahawa dalam Sistem Khilafah, pemimpin dipertanggungjawabkan untuk memastikan keperluan asas rakyat, termasuk kesihatan, dipenuhi tanpa beban kewangan.
“Dalam Islam, pemimpin adalah penjaga rakyat. Mereka akan dipersoalkan jika ada rakyat yang tidak mendapat rawatan kerana tidak mampu membayar. Ini tanggungjawab mereka, bukan rakyat yang kena cari jalan sendiri.”
Beliau menyatakan kenaikan premium insurans dan takaful hanyalah simptom kepada masalah yang lebih besar. “Sistem kapitalis yang menjadikan kesihatan sebagai industri perniagaan. Selagi sistem ini diteruskan, rakyat akan terus terbeban,” ujarnya mengingatkan.
“Hari ini, kita lihat kesihatan bukan lagi hak, tetapi keistimewaan untuk mereka yang mampu bayar. Islam sudah ada penyelesaian, tapi kita sendiri perlu memilih untuk melaksanakannya.”
Kerana itu, menurut beliau, penyelesaian yang sebenar adalah kembali kepada sistem Islam, di mana negara bertanggungjawab menyediakan rawatan kesihatan percuma tanpa bergantung kepada syarikat insurans dan takaful yang hanya mengejar keuntungan.
“Kalau kita lihat, sistem kesihatan moden masih jauh daripada model yang pernah diamalkan dalam sejarah Islam. Rakyat mengharapkan perubahan yang lebih menyeluruh agar kesihatan benar-benar menjadi hak asas, bukan sekadar perniagaan.” simpul beliau mengakhiri penjelasan.
Sumber:
Forum Online Cakna Umat (26/1/2025)