[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 16/22)
[Sambungan dari Bahagian 15/22]
Benar, perjalanan yang penuh berkah ini benar-benar telah selesai dalam satu malam dan diperlihatkan kepada Rasul kerajaan langit dan bumi. Para nabi (dibangkitkan) berkumpul, lalu beliau solat berjemaah dan mengimami mereka. Ini merupakan pengiktirafan tentang keluasan risalah beliau, kesinambungan imamah beliau, serta kesucian ajaran-ajaran beliau.
Melalui perjalanan ini sungguh telah disambungkan antara langit dan bumi, serta telah dipertemukan antara Makkah al-Mukarramah dan Baitulmaqdis. Pada malam Israk ini diwajibkan solat lima waktu yang merupakan rukun terpenting selepas dua kalimat syahadat.
Kami tidak bermaksud untuk menyampaikan keseluruhan perjalanan ini. Kami juga tidak mengemukakan ayat-ayat agung yang disaksikan oleh Rasul SAW sepanjang perjalanan tersebut. Kami tidak bertujuan untuk menerangkan makna-makna yang mendalam dan maksud-maksud tinggi yang terkandung dalam perjalanan Israk dan Mikraj.
Kami hanya memaparkan pertanda-pertanda yang berjalan, isyarat-isyarat yang hidup, ungkapan-ungkapan, serta berbagai peringatan keras yang ditempuh oleh Rasul yang mulia.
Keesokan harinya setelah selesai perjalanan yang penuh berkah dan mukjizat yang agung itu, Rasul SAW keluar menuju orang-orang Quraisy. Beliau memberitahu mereka tentang perjalanan tersebut. Sikap mereka tidak lain adalah mendustakan, melecehkan, dan menghina beliau.
Mereka menganggap berita itu aneh sehingga tidak membenarkannya. Mereka menganggap beliau gila dan merasa hairan dengan apa yang mereka dengar. Kemudian mereka mengingkari dan menolak beliau.
Sesungguhnya perjalanan itu merupakan kehendak, kemampuan, keagungan, dan kekuasaan Allah Taala. Akan tetapi, orang-orang Quraisy tidak membenarkannya, sekalipun Rasul menceritakan Baitulmaqdis dengan terperinci (menggambarkan) kepada mereka. Malah Rasul juga memberitahukan apa saja yang beliau lihat sepanjang perjalanan kembali ke Mekah ketika bermula Israk dan Mikraj, iaitu kafilah-kafilah yang dilalui oleh Rasul dan tatkala kembalinya kafilah-kafilah itu ke Mekah.
Namun demikian, mereka adalah orang-orang kafir yang menentang, membangkang, dan sombong. Mereka jauh daripada kebenaran, serta tidak mengimani risalah langit dan kekuasaan Al Khaliq Yang Maha Agung dan Maha Tinggi.
Benar, dalam hal ini yang diperlukan adalah iman. Abu Bakar telah berkata tatkala Rasul SAW memberitahunya mengenai perjalanan Israk dan Mikraj itu, “Demi Allah, jika Rasul mengatakannya, hal itu adalah benar. Lalu apa yang membuat kalian hairan akan hal itu? Demi Allah, sesungguhnya dia telah memberitahuku bahawa telah datang kepadanya berita dari langit dalam sesaat, baik pada malam ataupun siang hari, dan aku membenarkannya. Sungguh hal itu lebih jauh daripada apa yang kalian hairankan.”
Rasul SAW, yang mulia terus menyampaikan risalah dan menunaikan amanah dengan selalu terikat dengan Tuhannya. Beliau merasa gembira dengan dukungan-Nya. Beliau percaya akan pertolongan terhadap dakwahnya, serta berkeyakinan bahawa kemuliaan akan terwujud hanya bagi Allah, Rasul-Nya, dan kaum mukmin.
Peristiwa Israk dan Mikraj ini menyiratkan adanya transformasi yang jelas dalam perjalanan dakwah dan menginformasikan bahawa tempoh baru daripada dakwah akan menjadi kenyataan. Oleh kerana itu, surah Al-Isra’ memuatkan peringatan yang jelas kepada kaum musyrik, serta ancaman keras terhadap orang-orang kafir yang menghalangi jalan Allah dan berdiri menghadang di jalan dakwah-Nya.
“Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. Dan berapa banyak umat-umat yang kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya.“ (TMQ Al-Israa’ [17]:16-17).
Surah ini juga memuatkan sebahagian pilar-pilar pembentukan masyarakat Islam.
Rasul SAW benar-benar telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah, dan menghubungkan dakwah. Beliau mula menawarkan diri kepada kabilah-kabilah Arab pada musim-musim haji. Beliau menyeru mereka kepada Islam.
Beliau juga meminta perlindungan dan dukungan kekuatan daripada mereka. Akan tetapi yang beliau temui adalah penentangan dan kekejaman. Beliau perlu bersabar atas banyak hal. Walaupun demikian, beliau terus menjalankan dakwah dan berjalan di atas jalannya tanpa mempedulikan apa yang beliau temui.
Beliau sangat yakin akan pertolongan Allah dan yakin Allah tidak akan menyalahi janji-Nya. Tidak ada keraguan sedikit pun pada diri beliau bahawa Allah akan menolong dakwah-Nya, meninggikan agama-Nya, dan memenangkan Islam atas seluruh agama yang lain, sekalipun orang-orang kafir tidak menyukainya. Demikianlah yang akhirnya bakal terjadi.
Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.