[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 20/22)
[Sambungan dari Bahagian 19/22]
Orang-orang musyrik mencari jejak Rasul. Sebahagian mereka sampai di hadapan gua. Tidak tersisa jarak antara mereka dan Rasul, kecuali mereka tinggal melihat ke bawah kedua kakinya. Akan tetapi, Allah Maha Kuasa.
Allah menghalang yang demikian itu dan perkaranya menjadi samar atas mereka. Mereka melihat ke arah pintu gua yang terdapat tenunan sarang labah-labah. Al-Quran menyebutkan kisah ini dalam firman-Nya,
“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (TMQ At-Taubah [9]:40)
Benar, kalimat Allah senantiasa tinggi dan pertolongan tidak mungkin datang, kecuali dari sisi-Nya. Adapun orang-orang Quraisy telah kehilangan kebenarannya. Kemudian mereka menangkap Ali. Mereka memukulnya, menyeretnya ke Kaabah, dan memenjarakannya beberapa waktu. Mereka berharap akan dapat mengorek berita tentang kedua-duanya (Rasul dan Abu Bakar).
Ketika mereka tidak berjaya mendapatkannya, mereka mendatangi rumah Abu Bakar dan merempuh pintunya. Puteri Abu Bakar, Asma’ binti Abu Bakar, keluar menemui mereka. Kemudian mereka bertanya kepada Asma’ tentang bapanya. Asma’ menjawab, “Demi Allah, aku tidak tahu di mana ayahku.” Tiba-tiba Abu Lahab menampar pipi Asma’ dengan keras hingga anting-antingnya tercabut.
Orang-orang Quraisy bertekad bulat untuk menyusul Muhammad dan sahabatnya dengan mengerahkan segala cara yang mungkin dilakukan. Mereka menempatkan penjaga bersenjata lengkap di setiap laluan Mekah ke Madinah. Mereka menetapkan akan memberikan hadiah besar yang jumlahnya seratus ekor unta bagi setiap orang, siapa pun yang dapat mengembalikan keduanya (Muhammad dan sahabatnya) kepada Quraisy, hidup atau mati.
Pada saat itu setiap penunggang kuda, pejalan kaki, dan para pencari jejak sibuk mencari beliau. Namun, semuanya tidak berhasil.
Setelah tiga hari Rasul dan sahabat beliau (Abu Bakar) tinggal di Gua Tsur, kedua-duanya keluar menempuh perjalanan ke Madinah. Peristiwa itu terjadi pada malam pertama Rabiulawal tahun pertama Hijrah atau 16 September 622 M. Beliau berdua mengupah Abdullah bin Urayqith al-Laytsi sebagai penunjuk jalan.
Dia datang dengan membawa serta dua ekor unta. Pada saat yang sama, Asma’ binti Abu Bakar juga datang membawa bekal perjalanan bagi kedua-duanya. Kemudian beliau dan Abu Bakar berangkat disertai oleh Amir bin Fuhayrah, maula Abu Bakar. Semuanya berjalan ke arah Madinah.
Mereka berjalan kadang melalui jalan yang bukan kebiasaan hingga tiba di Quba pada Isnin, 8 Rabiulawal tahun ke-14 kenabian atau tahun pertama Hijrah, bertepatan dengan 23 September 622 M.
Orang Yathrib (Madinah) semuanya keluar untuk menyambut kedatangan Rasul. Hari itu adalah hari besar yang belum pernah terlihat sebelumnya di Yathrib. Rasul tinggal di Quba selama empat hari. Beliau membangun masjid dan solat di sana sampai Khamis.
Pada hari Jumaat, beliau dan Abu Bakar dengan perintah Allah berangkat berjalan ke arah Yathrib. Beliau melaksanakan solat Jumaat di Bani Salim bin ‘Auf, tempat mereka berkumpul di masjid yang berlokasi di dasar lembah dan mereka berjumlah seratus orang.
Setelah solat Jumaat, beliau masuk ke negeri Yathrib. Sejak hari itu Yathrib dinamakan Madinah ar-Rasul sebagai ungkapan mengenai peristiwa itu secara ringkas.
Hari masuknya Rasul ke Madinah merupakan hari bersejarah yang paling mulia. Suara terdengar dari segenap penjuru memuji kepada Allah dan mengucapkan selamat datang kepada Rasulullah SAW. Penduduk Madinah berlumba-lumba menjadi tuan rumah tempat menginapnya Rasul. Setiap dari mereka berharap bahawa Rasul akan tinggal di rumahnya.
Beliau berjalan di atas tunggangan beliau. Ketika beliau melalui di salah satu kampung kaum Ansar, mereka (penduduk) mengambil tali kekang unta beliau. Rasul berkata kepada mereka, “Kosongkan jalannya. Sesungguhnya ia telah diperintah.”
Unta itu tidak berhenti hingga sampai di tempat Masjid Nabawi. Kemudian Abu Ayub al-Ansari bersegera memegang tunggangan beliau dan mempersilakan Rasul masuk ke rumahnya. Hal itu membuat Rasul bersabda, “Sesungguhnya seseorang itu bersama tunggangannya.” Lalu datang As’ad bin Zurarah. Dia mengambil tali kekang tunggangan beliau dan unta Rasul itu ada bersamanya.
Setelah beberapa hari, datanglah isteri Rasulullah, Saudah, dua Puteri beliau (Fatimah dan Ummu Kultsum), Usamah bin Zaid, Ummu Aiman. Bersama mereka ada Abdullah bin Abu Bakar dengan keluarga Abu Bakar, termasuk Aisyah. Adapun Zainab (Puteri Rasul) masih tetap di Mekah di rumah Abu al-‘Ash kerana tidak memungkinkan baginya berhijrah, kecuali setelah Perang Badar.
Dengan peristiwa ini, berakhirlah fasa penting di antara fasa-fasa dakwah Islam. Berakhirlah pula sebahagian dari perjalanan hidup Rasul yang disebut Fasa Mekah.
Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.