[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 19/22)
[Sambungan dari Bahagian 18/22]
Abu Salamah telah meninggalkan isteri dan anaknya. Shuhaib ar-Rumi melepaskan seluruh hartanya kepada kaum musyrik agar mereka membiarkan dia berhijrah. Hijrah itu menghinakan orang-orang Quraisy dan kaum musyrik seluruhnya. Oleh kerana itu, mereka mengerahkan daya usaha untuk menghalang kaum muslim berhijrah dan untuk menidakkan kemungkinan berhijrah.
Namun demikian, Allah Maha Kuasa untuk memenangkan urusan-Nya. Setelah berlalu lebih dari dua bulan setelah baiat, tidak tersisa kaum muslim di Madinah, kecuali Rasulullah SAW serta Abu Bakar dan Ali. Keduanya tetap tinggal kerana perintah Rasul ﷺ.
Demikianlah, kegagalan telah menghinggapi tangan kaum musyrik. Sekalipun demikian, mereka mempelajari perkara yang terjadi. Setelah menyedari sejauh mana bahaya hijrah dan sejauh mana pengaruhnya pada masa mendatang terhadap orang-orang Arab umumnya dan Quraisy khususnya, mereka berkumpul, membahas, dan berdiskusi. Kemudian mereka mengambil ketetapan untuk membunuh Rasulullah ﷺ.
Tujuannya tidak lain untuk menghentikan berkibarnya panji-panji Islam dan dakwahnya. Juga demi memupus cahaya yang akan mengubah perjalanan sejarah.
Namun demikian, Allah SWT menurunkan Jibrail kepada Rasulullah SAW, memberitahu beliau akan makar Quraisy, dan tekad mereka untuk membunuh beliau. Jibrail juga menyampaikan bahawa Allah SWT telah memberikan izin kepada Rasul SAW untuk keluar dari Mekah, lalu berhijrah ke Madinah.
Jibrail berkata, “Malam ini janganlah engkau tidur di tempat tidur yang biasa engkau guna untuk tidur.” (Sirah Ibnu Hisyam, 1/482).
Kemudian Rasulullah SAW keluar menuju rumah Abu Bakar untuk memberitahunya bahawa Allah telah memberikan izin kepada beliau untuk berhijrah. Abu Bakar ash-Shidiq berkata kepada beliau, “Demi (Pencipta) bapamu, wahai Rasulullah.”
Rasul SAW bersabda kepadanya, “Benar.” (Shahih Bukhari).
Rasul dan sahabat beliau, yakni Abu Bakar, telah sepakat mengenai rencana berhijrah. Kemudian beliau kembali ke rumah beliau untuk menunggu berlalunya malam. Pada waktu itu, orang-orang Quraisy memutuskan untuk melaksanakan rencana membunuh Rasul ﷺ.
Mereka bersepakat atas kejahatan terbesar mereka dengan mengepung rumah Rasul. Untuk melaksanakan rencana yang telah disusun, mereka memilih 11 orang dari para pembesar dan para pemimpin mereka. Mereka itu adalah Abu Jahal bin Hisyam, Hakam bin Abi al-‘Ash, Uqbah bin Abi Mu’ith, Nadhar bin al-Harits, Umayyah bin Khalaf, Zam’ah bin al-Aswad, Thu’aymah bin ‘Adi, Abu Lahab, Ubay bin Khalaf, Nubiyah bin al-Hajjaj, dan saudaranya Munabbih bin al-Hajjaj.
Ketika tengah malam mereka berkumpul di pintu rumah Rasul SAW, mereka percaya rencana mereka akan berjaya. Mereka sedia untuk merobohkan dan menikam beliau ketika tidur dengan tikaman seorang lelaki. Mereka membuat makar (tipu daya), tetapi Allah membalas (menggagalkan) makar/tipu daya mereka. Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya.
Pada saat yang getir mendekati tengah malam, Rasulullah SAW meminta Ali bin Abi Talib untuk tidur di tempat tidur beliau dan memakai selimut beliau yang berwarna hijau. Kemudian Rasulullah SAW keluar dari rumahnya. Hal itu terjadi pada malam 27 Safar tahun ke-14 kenabian, bertepatan dengan 12/13 September 622 M.
Beliau menyingkap barisan orang-orang (yang mengepung di depan pintu rumahnya). Beliau membawa segenggam tanah dan menaburkannya di kepala mereka masing-masing. Allah SWT membutakan penglihatan mereka sehingga mereka tidak dapat melihat beliau. Beliau terus berjalan ke rumah Abu Bakar.
Kemudian keduanya keluar berjalan kaki menuju ke arah Yaman hingga sampai di Gua Tsur. Adapun mereka yang mengepung rumah beliau terus menunggu berlalunya tengah malam hingga datang seorang lelaki. Kemudian lelaki itu bertanya kepada mereka tentang apa yang mereka tunggu. Mereka menjawab bahawa mereka menunggu Muhammad.
Lelaki itu berkata kepada mereka, “Kalian telah sia-sia dan merugi. Muhammad telah melewati kalian dan menaburkan tanah di kepala kalian. Dia lalu pergi melaksanakan keperluannya.”
Mereka kemudian melihat ke bawah pintu. Mereka melihat seseorang yang sedang tidur. Mereka sangka itu adalah Muhammad. Oleh kerana itu, mereka tetap menunggu hingga Subuh. Kemudian Ali bangun dari tempat tidur. Mereka sedar bahawa mereka telah gagal sepenuhnya. Mereka bertanya Ali mengenai Rasul. Ali menjawab, “Aku tidak tahu.”
Demikianlah, Rasul SAW dan sahabat beliau, iaitu Abu Bakar ra., keluar dari Mekah secara sembunyi-sembunyi. Keduanya menempuh jalan yang berbeza dengan jalan yang biasa dikenali, yang menghubungkan Mekah dan Madinah. Keduanya menempuh jalan di sebelah selatan Mekah hingga sampai di Gua Tsur.
Kemudian kedua-duanya masuk ke dalam gua itu. Ketika kedua-duanya berada di dalam gua, Allah SWT mengutus seekor labah-labah untuk membuat sarang antara mulut gua dan sebatang pohon yang ada di depan mulut gua hingga menutupi Rasul dan sahabat beliau. Allah SWT pun mengutus dua ekor merpati liar, jantan dan betina. Kedua ekor merpati itu sampai di depan gua. Keduanya lalu membuat sarang di antara sarang labah-labah dan pohon di depan mulut gua tersebut.
Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.