Pengajaran dari Kejatuhan Khilafah: Wanita Sebagai Pembina Kekuatan Ummah
Oleh : Ummu Abdurrahman
Kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924 telah membawa kepada perubahan yang besar dalam peranan wanita. Negeri umat Islam terpaksa hidup di bawah sistem pemerintahan yang sekular, kapitalis, dan patriarkal yang mengubah kedudukan wanita dalam masyarakat secara drastik. Di antara impak yang besar adalah:
- Penindasan dan Pengekangan Hak-hak Wanita
Dengan kejatuhan Khilafah, wanita Muslimah terdedah kepada pelbagai bentuk penindasan dan penafian hak. Di bawah sistem sekular dan kapitalis, wanita tidak lagi diberi hak yang setara dalam bidang politik, ekonomi, dan pendidikan. Maka, lahirlah perjuangan feminisme melalui pelbagai pertubuhan di peringkat negeri, negara sehingga antarabangsa. Sistem dari Barat ini, melihat wanita sebagai objek seksual atau alat untuk memenuhi kepentingan ekonomi dan politik semata-mata.
- Peminggiran Peranan Wanita Sebagai Pembentuk Generasi
Wanita yang berjaya hanya diukur dengan manfaat material yang diraih. Program-program memperkasakan wanita banyak menjurus kepada bantuan kewangan untuk perniagaan agar wanita boleh mandiri. Seterusnya menjadi tulang belakang ekonomi keluarga dan negara. Masa dan tenaga untuk anak-anak hanyalah sisa-sisa selepas kelelahan mengejar harta. Akibatnya, generasi dibiarkan tumbuh di bawah “asuhan” aplikasi-aplikasi gajet yang dibekalkan ibu mereka.Untuk menghindar rasa bersalah, semakin ramai wanita memilih untuk tidak berkahwin atau tidak mahu memiliki anak.
Pelajaran untuk Bangkit Semula: Wanita sebagai Pembina Kekuatan Ummah
Wanita adalah kunci utama dalam pembinaan semula Khilafah Islamiyyah dan kekuatan ummah. Wanita mempunyai peranan besar dalam pendidikan keluarga, aktiviti sosial, dan pembinaan masyarakat yang kuat.
- Pendidikan Wanita sebagai Kunci Kekuatan Ummah
Pendidikan wanita adalah kunci utama untuk bangkit semula. Dalam sistem Khilafah, wanita akan diberi pendidikan Islam yang benar dan pendidikan duniawi yang berkualiti. Wanita wajib mendapat pendidikan yang menyeluruh, baik dalam bidang agama mahupun ilmu dunia, agar mereka dapat menjalankan peranan mereka dengan baik dalam masyarakat Islam.
Rasulullah SAW bersabda: “Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim.” [HR Ibnu Majah]
Oleh itu, berbekalkan ilmu wanita dapat memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan keluarga dan masyarakat. Mereka akan dilatih untuk mendidik anak-anak mereka dengan nilai-nilai Islam yang benar, serta menjadi pendidik dan pemimpin dalam masyarakat..
- Wanita Sebagai Pembina Keluarga yang Kuat
Di dalam Islam, wanita berperanan sebagai ibu yang mendidik anak-anak mereka dengan nilai-nilai Islam yang benar. Allah telah memilih wanita untuk memegang peranan sebagai pemimpin di rumah tangga, memimpin suami dan anak-anak mereka. Hal ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW:
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban atas apa yang dipimpinnya. Imam adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban. Lelaki adalah pemimpin keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan terhadap anak-anaknya. Dia akan ditanya tentang kepimpinannya.” [HR Bukhari]
Hukum asal seorang wanita adalah sebagai ibu dan pengurus rumah tangga suaminya. Ini adalah suatu kehormatan yang wajib dijaga. Ini menunjukkan betapa mulianya kedudukan yang diberikan oleh Islam kepada wanita.
Kesimpulan
Kekuatan sesuatu ummah dapat dilihat dengan kualiti generasi yang dibina oleh para ibu yang sedar akan amanah besar Allah SWT ini. Inilah yang telah dibuktikan oleh para sahabiah terdahulu. Malah secara nyata di era kini, kita juga dapat menyaksikan kegigihan para ibu di bumi Palestin mempersiapkan nak-anak mereka yang sentiasa bersedia untuk mempertahankan tanah mulia kita di sana. Ambillah pengajaran agar kita bangkit semula membina kekuatan ummah yang baharu untuk melakar kemenangan yang semakin hampir.