[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 21/22)
[Sambungan dari Bahagian 20/22]
Fasa ini memuatkan tahap dakwah siriyyah (dakwah secara rahsia), dakwah secara terang-terangan, dan tahap dakwah keluar Makkah al-Mukarramah. Fasa ini memiliki beberapa karakter spesifik.
Pertama, Rasul SAW tetap merahsiakan kelompok dakwahnya. Ini dilakukan bersamaan dengan penjagaan atas individu-individu, lalu dakwah secara terang-terangan.
Kedua, secara rahsia menyiapkan individu-individu yang mampu mengemban tugas-tugas dakwah. Mereka adalah kalangan orang-orang yang memiliki keteguhan lurus, ketegaran, dan keberanian. Pembinaan kepada mereka dengan tsaqafah Islam murakazzah (intensif).
Pembinaan ini menjadikan mereka sanggup menghadapi berbagai kepayahan, serta mampu berdiri tegak di hadapan penentangan, dan teguh dalam kebenaran.
Ketiga, keteguhan dalam keimanan. Mereka berpegang teguh dengan dakwah, menanggung seluruh jenis seksaan dan penentangan, serta tidak membalas ancaman, tipuan, dan tidak menerima tawar menawar.
Keempat, berinteraksi dengan masyarakat. Mereka membantah kekufuran orang-orang kafir dan orang-orang musyrik, menjelaskan kesalahan keyakinan mereka, mencela adat kebiasaan mereka, membodohkan mimpi-mimpi mereka, dan teguh dalam perjuangan politik.
Kelima, pembinaan umum (tatsqif al-jama’i).
Keenam, Rasul SAW dan para sahabat beliau yang mulia tidak melakukan aktiviti fizikal/kekerasan apa pun. Mereka bersabar atas berbagai hal yang tidak menyenangkan dan menanggung seksaan dengan segala jenisnya. Tidak ada yang lebih menunjukkan hal itu, kecuali sabda beliau kepada keluarga Yasir, sedangkan mereka sedang ditimpa seksaan yang sangat pedih,
“Bersabarlah, wahai keluarga Yasir. Sesungguhnya aku tidak memiliki sesuatu pun dari Allah (untuk menolong kalian) dan bahawa janji untuk kalian adalah syurga.”
Rasul SAW juga tidak menghilangkan seksaan dari diri beliau sendiri. Beliau pun tidak memerintahkan seorang pun daripada kaum muslim untuk melakukan aktiviti fizikal, untuk menolak atau menghilangkan seksaan itu.
Beliau tidak membolehkan, baik bagi diri beliau sendiri mahupun bagi para sahabat, melakukan suatu aktiviti fizikal untuk menolak seksaan dari mereka, meringankan kekejaman, serta menjauhkan diri dari keburukan, kerendahan, dan penghinaan. Beliau tidak meminta seorang pun untuk balas memukul orang yang memukulnya atau balas mencaci orang yang mencacinya.
Beliau tidak mengizinkan penggunaan kekuatan. Beliau tidak membentuk suatu kelompok bersenjata (militer) apa pun untuk melakukan tindakan pembalasan terhadap perosakan atau sabotaj, serta penahanan atau penangkapan, atau yang lainnya. Sikap beliau ini sangat jelas dalam sirah beliau dan tidak memerlukan pengkajian atau pembahasan mendalam untuk memperkuatnya.
Beliau tidak memerintahkan pembunuhan seseorang pun atau tindakan fizikal lainnya. Beliau menanggung seksaan dan bersabar atasnya. Beliau memerintahkan para sahabat beliau untuk bersabar dan tetap teguh, serta agar menyerahkan semuanya itu kepada Allah Taala. Beliau menolak orang yang meminta kepada beliau untuk melakukan tindakan-tindakan fizikal seraya bersabda, “Kita belum diperintahkan (melakukan) yang demikian.”
Ayat-ayat Al-Quran pun mengisahkan kepada beliau perjalanan para nabi dan rasul terdahulu. Mereka tidak membalas pendustaan, penyeksaan, penghinaan, penolakan, dan pembunuhan. Hal itu untuk meneguhkan hati Nabi-Nya.
Al-Quran menyeru beliau untuk bersabar, tetap teguh, dan memberi berita gembira, bahawa ada pahala yang besar bagi orang-orang yang sabar dalam kebenaran, senantiasa berpegang teguh dengan dakwah, serta mengimani Allah dan Rasul-Nya. Mereka adalah orang-orang yang telah mengikat janji dengan Allah atas yang demikian.
Semua itu tidak menyisakan ruang bagi seorang pun untuk mengatakan bahawa wajib atau penting menggunakan kekuatan atau kekerasan dalam aktiviti untuk mengubah masyarakat dan mewujudkan Islam di tengah-tengah realiti kehidupan. Demikian pula dalam aktiviti untuk melanjutkan kehidupan Islam dengan mendirikan Daulah Islamiah yang mengambil Islam, baik akidah mahupun sistem pemerintahannya, menerapkan Islam secara keseluruhan di tengah masyarakat, dan mengemban risalah Islam sebagai hidayah kepada seluruh dunia.
Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.