Nasab dan Persusuan
Oleh : Ustaz Yahya Abdurrahman
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ الله عَنْهَا عَنِ النَّبيِّ صلى الله عليه وسلم قالَ: الرَّضَاعَةُ تُحَرِّمُ ما تحرِّمُ الولادةُ
Aisyah ra. menuturkan bahawa Nabi SAW bersabda, “Persusuan mengharamkan apa yang diharamkan oleh kelahiran.”(HR Malik, Al-Bukhari, Muslim, dan An-Nasai).
Hadis ini dicantumkan oleh Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Jâmi’ al-‘Ulûm wa al-Hikam sebagai hadis ke-44 untuk melengkapi Arba’un an-Nawawiyah menjadi lima puluh hadis. Hadis ini juga diriwayatkan dengan redaksi lain. Nabi SAW bersabda,
يَحْرُمُ مِنْ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنْ النَّسَبِ
“Haram kerana persusuan apa saja yang haram kerana nasab.”(HR Al-Bukhari, An-Nasa’i, At-Tirmidzi, Ibn Majah, dan Ahmad).
Ibn Hajar al-‘Ashqalani dalam Fath al-Bârî menjelaskan makna hadis ini, “Persusuan mengharamkan apa yang diharamkan oleh kelahiran. Persusuan juga membolehkan apa yang dibolehkan oleh kelahiran (nasab). Itu menurut ijmak dalam hal yang berkaitan dengan pengharaman nikah dan sehubungan dengannya. Keharaman itu menyebar di antara orang yang menyusu dan anak-anak wanita yang menyusui. Mereka berkedudukan sebagai kerabat dalam hal kebolehan memandang, berkhalwat, menemani safar, dan sebagainya., tetapi tidak memberikan konsekuensi hukum-hukum keibuan lainnya, berupa saling mewarisi, kewajipan nafkah, pembebasan, kepemilikan, kesaksian, menanggung diyat, dan pengguguran qisas.”
Hadis ini menetapkan mahram menurut hubungan persusuan. Semua mahram yang menurut nasab juga berlaku pada hubungan persusuan. Semuanya boleh diketahui dari wanita-wanita yang diharamkan kerana nasab. Ini juga mempengaruhi dan dipengaruhi sebab mushâharah (pernikahan). Wanita-wanita yang haram dinikahi itu dengan sebab nasab dan pernikahan antara lain:
Pertama, wanita yang haram dinikahi selamanya. Ini juga ada dua jenis.
Pertama: semata-mata kerana nasab. Mereka terdiri dari: (1) Pokok, iaitu ibu dan nenek dari pihak bapa dan ibu dan seterusnya ke atas. (2) Cabang, iaitu anak perempuan, cucu perempuan dan seterusnya ke bawah. (3) Cabang pokok yang dekat, iaitu saudara perempuan kandung, sebapa atau seibu, dan anak perempuan mereka, dan seterusnya ke bawah (4) Cabang pokok yang jauh, iaitu ibu saudara dari pihak bapa dan ibu dan seterusnya. Tidak ada yang halal (boleh dinikahi) daripada sisa kerabat lainnya kecuali cabang pokok yang jauh; mereka adalah anak-anak perempuan bapa saudara dan ibu saudara (sepupu) baik dari pihak bapa mahupun ibu.
Kedua: yang diharamkan dengan nasab beserta sebab lain iaitu pernikahan. Haram seorang lelaki menikahi isteri bapanya, isteri datuknya, dan seterusnya; isteri anak lelaki, isteri cucu lelaki, dan seterusnya; ibunya isteri, nenek isteri, dan seterusnya; anak perempuan isteri yang sudah dicampuri dan anak-anak seterusnya ke bawah. Begitu juga anak perempuan anak lelaki dari isteri yang sudah dicampuri, seperti yang dikemukakan oleh Asy-Syafi’i dan Ahmad dan tidak diketahui adanya perbezaan. Mereka semua adalah wanita yang haram dinikahi untuk selamanya. Dengan merekalah semua hukum mahram berlaku terhadap seorang lelaki, seperti kebolehan berkhalwat, menemani safar, dan boleh melihat mereka dalam pakaian rumah.
Selain mereka juga ada wanita yang haram dinikahi secara sementara (mu’aqat[an]) iaitu seorang perempuan tidak boleh dihimpun (dimadu) dengan saudara perempuannya dan dengan ibu saudaranya dari pihak bapa dan ibu.
Semua itu diberlakukan pada sebab persusuan. Dalam hal ini masih ditambah dengan ketentuan laban rajul[in] atau laban fahl. Hal itu diambil dari riwayat Al-Bukhari dan Muslim bahawa Aflah, saudara Abu al-Qu’ays meminta izin untuk masuk menemui Aisyah, tetapi Aisyah menolak sampai dia meminta izin Rasulullah SAW. Menurut Aisyah, Aflah adalah orang asing bukan mahramnya, sebab yang menyusuinya adalah isterinya Abu al-Qu’ays, bukan isterinya Aflah. Lalu Rasul SAW mengizinkan dan memberitahukan bahawa Aflah adalah bapa saudara Aisyah dari sisi persusuan dan Aflah menjadi mahramnya.
Dari riwayat itu diambil ketentuan bahawa hubungan persusuan itu tidak semata-mata dari sisi ibu yang menyusui, tetapi juga dari bapa persusuan dan yang memiliki hubungan nasab, mushaharah, dan persusuan dengannya. Ertinya, jika seseorang menyusu kepada seorang wanita, maka wanita itu menjadi ibu persusuannya dan suami wanita itu menjadi bapa persusuannya. Lalu dengan keduanya (ibu dan bapa persusuan) itu dikaitkan semua jenis mahram menurut sebab nasab di atas. Ini juga diisyaratkan dan ditegaskan oleh riwayat Aisyah ra. bahawa Rasul SAW bersabda,
يَحْرُمُ مِنْ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنْ النَّسَبِ مِنْ خَالٍ أَوْ عَمٍّ أَوْ ابْنِ أَخٍ
“Haram kerana persusuan apa saja yang haram kerana nasab, baik bapa saudara dari pihak ibu, bapa saudara dari pihak bapa, atau anak saudara lelaki.” (HR Ahmad).
Oleh kerana itu, dari sisi hubungan persusuan ini, mereka yang haram menikahi atau dinikahi antara lain: ibu persusuan; bapa persusuan; ibunya ibu persusuan dan ibunya bapa persusuan dan seterusnya dari sisi bapa dan ibu baik menurut nasab mahupun persusuan; anak-anak ibu persusuan dan anak-anak bapa persusuan dari semua isterinya, lelaki mahupun perempuan serta anak-anak mereka serta cucu-cucu mereka dan seterusnya; ibu saudara, yakni saudara perempuan ibu persusuan atau bapa persusuan baik kerana nasab mahupun persusuan; bapa saudara, yakni saudara lelaki ibu persusuan atau bapa persusuan baik menurut nasab mahupun persusuan; saudara persusuan baik lelaki dan perempuan yang sama-sama menyusu kepada wanita yang sama; anak-anak saudara persusuan, cucu-cucu mereka, dan seterusnya; anak persusuan dan anak-anak mereka, dan seterusnya.
Yang juga haram dinikahi atau menikahi selamanya adalah menantu persusuan, iaitu isteri/suami dari anak persusuan; isteri/suami dari cucu persusuan dan seterusnya; isteri bapa persusuan dan isteri datuk persusuan dan seterusnya; ibu persusuan isteri dan nenek persusuan isteri dan seterusnya. Mereka semuanya adalah orang yang haram dinikahi atau menikahi selamanya. Mereka adalah mahram dan kedudukan hukumnya seperti mahram kerana nasab.
Selain itu, dari sisi persusuan juga ada wanita yang haram dinikahi secara sementara (mu’aqat[an]). Mereka di antaranya: haram menghimpun isteri dengan saudarinya atau ibu saudaranya dari sisi persusuan. Wallahualam bissawab.
Sumber: MNews