[Hukum Seputar Puasa di Bulan Syaaban]
Sunnah
Hal ini berdasarkan hadis Ummul-Mukminin Aisyah yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim:
“Nabi Muhammad SAW tidak biasa berpuasa pada satu bulan yang lebih banyak dari bulan Syaaban. Nabi SAW biasa berpuasa pada bulan Syaaban seluruhnya.” (HR. Bukhari no. 1970)
▪️ Di dalam riwayat Muslim dengan lafaz:
“Nabi Muhammad SAW biasa berpuasa pada bulan Syaaban seluruhnya. Dan beliau berpuasa kecuali pada sedikit hari saja (beliau berbuka).” (HR. Muslim no. 1156)
▪️ Makna “kullahu” disini ialah sebahagian besarnya, yakni beliau berpuasa di sebahagian besar bulan Syaaban, dan di sebahagiannya beliau tidak berpuasa, sebagaimana disebutkan dalam riwayat Imam Muslim.
Ibnu Hajar Al-Haitami berkata:
“Maksud dari “kulluhu” adalah sebahagian besarnya, sebagaimana riwayat yang dinukil oleh At-Tirmidzi dari Ibnu Mubarak, bahawasanya beliau berkata “Boleh dalam kalam arab, jika seseorang berpuasa sebahagian besar bulan, dia berkata dia berpuasa seluruhnya.” [Al-Fatawa Al-Fiqhiyyah Al-Kubra, vol.II/hal.82]
▪️ Hal ini dikuatkan dengan riwayat lain:
“Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa satu bulan penuh melainkan di bulan Ramadhan.” (Hadis Riwayat Muslim)
▪️ Sebahagian ulama berpendapat bahawa adakalanya Nabi SAW berpuasa seluruh Syaaban di suatu tahun, lalu berpuasa di sebahagian Syaaban di tahun yang lainnya.
Ibnu Hajar Al-Haitamiy menegaskan:
“Sebahagian ulama menggabungkan dengan metode lain yang juga bagus, yakni ada ketika Nabi SAW berpuasa penuh di bulan Syaaban dan ada ketikanya Nabi SAW berpuasa sebahagian besar Syaaban, agar tidak dianggap wajib berpuasa di seluruh Syaaban.” [Al-Fatawa Al-Fiqhiyyah Al-Kubra, vol.II/hal.82]
Namun Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam di Fathul Bari (vol.IV/hal.214) merajihkan pendapat pertama, yakni Nabi tidak pernah berpuasa Syaaban secara penuh, melainkan di sebahagian besarnya saja.
Sumber: @Fawaedsyafiiyyah