[NAFSIYAH] KEUTAMAAN MEMBERI PINJAMAN KEPADA ALLAH SWT
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
SEDEKAH, wakaf atau infak di jalan Allah SWT hakikatnya adalah umpama “pinjaman” yang kita serahkan kepada Allah SWT. Jika pinjaman kepada manusia akan dibayar sebesar pinjaman yang diberikan maka pinjaman kepada Allah SWT akan “dibayar” dengan pembayaran yang berlipat kali ganda; boleh dibalas di dunia dengan diberi keluasan rezeki dan terutamanya di akhirat dengan dilipatgandakan pahalanya. Allah SWT sendiri yang menyatakan demikian:
مَنْ ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً
“Siapa saja yang memberi Allah pinjaman yang baik (menginfakkan hartanya di jalan-Nya), Dia akan melipatgandakan pembayarannya dengan berkali-kali ganda.” (TMQ al-Baqarah [2]: 245).
Disebabkan keyakinan akan “pembayaran” yang berlipat ganda dari Allah SWT, Abdurrahman bin Auf adalah di antara para sahabat Rasul SAW yang paling rajin mengeluarkan sedekah, infak atau wakaf untuk kepentingan Islam dan kaum muslim. Misalnya, beliau pernah menginfakkan separuh hartanya pada masa Rasulullah SAW, ditambah sedekah wang sebanyak 40 ribu dinar (sekitar RM70 juta), ditambah lagi dengan mewakafkan 500 ekor unta dan 500 ekor kuda untuk kepentingan jihad fi sabilillah (Al-Ishâbah, II/416).
Kegemaran bersedekah dan berinfak juga ditunjukkan antara lain oleh Aisyah RA dan Asma RA. Abdullah bin Zubair RA menuturkan, “Aku tidak melihat dua orang wanita yang lebih murah hati daripada Aisyah dan Asma sekalipun cara keduanya berbeza. Aisyah biasa mengumpulkan wang sedikit demi sedikit, setelah terkumpul banyak, harta itu dia infakkan semuanya. Adapun Asma tidak pernah sedikit pun menyimpan harta hingga keesokan harinya (kerana semuanya dia infakkan pada hari itu juga).” (HR al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad).
Rasul SAW sendiri tidak suka jika di rumahnya ada harta yang banyak. Oleh sebab itu beliau, misalnya, pernah memasuki rumah Ummu Salamah RA, salah satu isteri beliau, dengan rona wajah yang muram. Ummu Salamah khuatir jika Rasul sedang sakit, Ummu Salamah pun bertanya, “Mengapa wajahmu tampak muram?” Beliau menjawab, “Ini gara-gara tujuh dinar (sekitar RM12,250) yang kita terima tempoh hari, tetapi hingga petang hari wang itu masih berada di bawah katil (belum diinfakkan).” (HR Ahmad dan Abu Ya’la).
Bagaimana dengan kita? Apakah kita lebih suka menyedekahkan dan menginfakkan harta seperti Rasulullah SAW ataukah mengumpul harta?
Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ’alayhi tawakkaltu wa ilayhi unîb.