[Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam] Klasifikasi Harakah Islamiah
Istilah Harakah Islamiah (gerakan Islam) sering muncul belakangan ini. Apa sebenarnya syarat-syarat yang perlu ada pada suatu harakah agar dapat dianggap sebagai Harakah Islamiah?
Kata harakah menurut etimologi bahasa Arab, diambil dari akar kata at taharruk yang maksudnya bergerak. Istilah tersebut kemudian menjadi popular dengan makna sekelompok atau suatu gerakan yang mempunyai suatu target tertentu dan mereka berusaha bergerak serta berusaha untuk mencapainya. Makna istilah ini masih termasuk dalam kategori makna lughawi untuk kata tersebut.
Aktiviti suatu gerakan dapat dilakukan oleh satu individu, walaupun belum mempunyai suatu kelompok dakwah yang berjuang bersamanya. Aktiviti gerakan dapat juga dilakukan oleh suatu jemaah, iaitu sekumpulan orang yang mempunyai pemimpin dan memiliki metode/strategi dakwah tertentu. Gerakan dakwah dapat pula dilakukan oleh suatu organisasi atau suatu parti politik, baik parti tersebut memiliki ideologi tertentu atau tidak. Selanjutnya organisasi atau parti politik tersebut dapat dikategorikan sebagai parti politik yang sebenarnya atau parti yang sekadar nama tanpa memiliki ideologi tertentu. Hal ini seperti yang ada pada puluhan bahkan ratusan parti yang tersebar di seluruh dunia Islam.
Seluruh perkumpulan semacam ini dapat diklasifikasikan sebagai suatu harakah asalkan mereka bergerak untuk mencapai tujuan tertentu. Di antara harakah-harakah tersebut ada yang bersifat Islami dan menjadikan Islam sebagai asas seperti yang disebutkan di atas. Namun ada juga yang tidak Islami, bahkan memusuhi Islam.
Melihat keadaan berbagai gerakan yang ada, dapatlah ditentukan tiga aspek yang menunjukkan identiti sebuah harakah:
Pertama, mempunyai target tujuan yang diusahakan dan hendak dicapai oleh sebuah harakah.
Kedua, mempunyai bentuk pemikiran yang telah ditentukan oleh harakah dalam aktiviti perjuangannya.
Ketiga, mempunyai arah dan kecenderungan tertentu kepada orang-orang yang tergabung di dalam harakah tersebut.
Untuk menentukan identiti suatu harakah agar dapat dikategorikan sebagai harakah Islam, maka ketiga aspek di atas mesti terpenuhi. Dengan kata lain, tidak cukup hanya mempunyai target tujuan yang disahkan dan diakui oleh Islam, tetapi juga perlu ditujukan untuk berkhidmat untuk Islam dan mengembangkan Islam.
Sebagai contoh, Islam mengakui keberadaan harakah yang bergerak dalam bidang olahraga. Sebabnya, target semacam ini hukumnya mubah. Akan tetapi, harakah yang bergerak dalam bidang olahraga seperti ini tidak dapat disebut sebagai harakah Islamiah kerana keberadaannya tidak sampai berkhidmat untuk Islam dan mengembangkan Islam.
Begitu pula halnya dengan aneka ragam harakah yang aktivitinya menitikberatkan pada usaha pemeliharaan/penerbitan Al-Quran dan terjemahannya. Ada juga harakah yang menitikberatkan pada penerbitan buku-buku Islam, pembangunan projek dan perusahaan Islam, seperti bank Islam, koperasi Islam, masjid-masjid dan sekolah Islam, pendidikan yang sejenisnya, menyalurkan dana kepada fakir miskin, anak-anak yatim, orang-orang cacat, melakukan amar makruf nahi munkar, menyampaikan nasihat kepada penguasa, dan sebagainya.
Satu atau berbagai macam aktiviti yang telah disebutkan di atas dijadikan target tujuan untuk sebuah harakah Islam. Namun demikian, perlu diingat bahawa target-target tersebut belum cukup mampu melayani dan mengembangkan Islam hingga seluruh aktiviti harakah terkait erat dengan hukum-hukum Islam. Dengan kata lain, metode atau kaedah yang digunakan hendaklah sesuai dan terikat dengan idea mahupun hukum Islam.
Selain ketiga-tiga persyaratan di atas, agar suatu gerakan dakwah dapat disebut sebagai harakah Islamiah, keanggotaannya pula hendaklah dari kalangan kaum muslim saja. Jika suatu harakah terbentuk dari kalangan non-muslim, seperti para orientalis yang mengkaji dan mempelajari khazanah Islam, lalu mengeluarkan dan menyebarkan hasil kajiannya secara terlebih dahulu meneliti dan menganalisisnya, harakah semacam itu tidak dapat dinamakan harakah Islam.
Kita juga boleh mengkategorikan harakah-harakah sebagai harakah Islamiah, sekalipun pada gerakan-gerakan tersebut terdapat kekurangan. Bahkan kadang-kadang pada harakah tersebut terdapat langkah atau pemikiran yang tidak Islami.
Ada harakah yang mengambil Islam secara sebahagian dengan menolak membicarakan masalah politik atau menempuh jalan politik dalam berdakwah. Ada pula harakah yang lebih banyak memfokuskan masalah akidah, ibadah, dan akhlak.
Selain itu ada juga harakah yang mengkafırkan sesama kaum muslim yang tidak berbaiat kepada imam mereka atau menolak solat di masjid yang imamnya bukan dari golongan mereka. Sementara ada pula harakah yang menolak mengakui Rasulullah SAW sebagai figura politik. Bahkan menurut mereka, dalam Islam tidak dikenal adanya aktiviti politik.
Berbagai harakah Islam yang bersifat politik ada yang bergerak di kawasan Timur Tengah serta dunia Islam lainnya, ada juga yang tersebar di Pakistan, India, Afghanistan, Turki, dan tempat-tempat lain di negeri-negeri Islam.
Adapun kelompok yang merupakan perkumpulan sekular, mereka tidak dikelompokkan dalam harakah Islamiah. Mereka menyerukan dan menyebarluaskan sekularisme secara terang-terangan dan tujuannya bukan untuk melayani Islam. Tambahan lagi, metodenya tidak terikat dengan hukum-hukum Islam.
Sumber: Abdurrahman Muhammad Khalid, Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam.