Refleksi Nafsiyah: Yang Dilupakan
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
Alhamdulillah, kita telah sampai ke bulan Syaaban. Bulan ini sering digelar sebagai “bulan yang dilupakan” kerana ia terletak di antara Rejab dan Ramadhan, yang semakin hampir. Kita sering sibuk menyelesaikan tugas-tugas sebelum Ramadhan bermula sehingga kita terlepas pandang akan kelebihan yang terdapat dalam bulan Syaaban. Kita memikirkan untuk menyediakan makanan majlis berbuka puasa, menghias rumah, dan menyelesaikan senarai semak sebelum Ramadhan. Sudah tentu, semua ini tidaklah salah. Namun, dalam kesibukan kita “bersiap-siap” dan melakukan apa yang kita fikir perlu, apakah yang telah kita lupakan?
Rasulullah (saw) bersabda:
“Itulah bulan yang sering dilupakan oleh manusia, iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Ia adalah bulan di mana amalan diangkat kepada Tuhan sekalian alam, dan aku suka jika amalku diangkat ketika aku sedang berpuasa.”
Ya, bulan ini adalah bulan yang sering kita abaikan. Ini adalah bulan yang Rasulullah (saw) banyak berpuasa, kecuali sedikit. Ia adalah bulan yang penuh keutamaan, tetapi sering dilupakan. Bulan di mana Rasulullah (saw) mempersiapkan dirinya, dan bulan di mana Allah mengangkat amalan kita.
Diriwayatkan daripada Ummu Salamah bahawa Rasulullah (saw) tidak pernah berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali Syaaban dan Ramadhan.
Syaaban sering diabaikan oleh ramai umat Islam kerana peristiwa luar biasa yang berlaku dalam bulan Rejab (Israk dan Mikraj) dan Ramadhan (turunnya Al-Quran), sehingga kita lupa bahawa Syaaban juga adalah bulan yang perlu diraikan! Peristiwa bulan terbelah berlaku dalam bulan Syaaban dan disebut dalam Al-Quran:
“(Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan.” (TMQ Al-Qamar [54]: 1)
Selain itu, ayat yang mewajibkan puasa Ramadhan juga diturunkan dalam bulan ini:
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” (TMQ Al-Baqarah [2] :185)
Marilah kita gunakan masa ini untuk merenung amalan dan perbuatan kita. Ini adalah masa untuk melatih minda, tubuh, dan membersihkan hati kita daripada segala penyakit hati. Perhatikan dengan teliti apa yang kita masukkan ke dalam minda dan jiwa kita. Supaya kita memasuki Ramadhan dengan hati dan niat yang suci.
Syaaban adalah bulan nawafil (amalan sunat). Rasulullah (saw) bersabda:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah berfirman: Barangsiapa yang memusuhi seorang waliKu, maka Aku akan isytiharkan perang terhadapnya. Seorang hambaKu tidak bertaqqarub (iaitu menghampirkan dirinya) kepadaKu dengan suatu amalan yang lebih Aku sukai lebih daripada amalan yang Aku fardhukan ke atasnya. Seseorang hamba sentiasa bertaqqarub dirinya kepadaKu, dengan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku sudah mencintainya, maka jadilah Aku pendengarannya yang dia mendengar sesuatu dengannya, jadilah Aku penglihatannya yang dia melihat sesuatu dengannya, jadilah Aku tangannya yang dengannya dia melakukan kerja, jadilah Aku kakinya yang dengannya dia berjalan. Sekiranya dia meminta daripadaKu Aku akan kurniakannya dan sekiranya dia meminta perlindungan dariKu nescaya Aku akan melindunginya.” (HR Al-Bukhari)
Maka, marilah kita berusaha untuk meraih cinta Allah dalam bulan ini. Ketika ramai orang sibuk dengan urusan dunia, marilah kita menjadi golongan yang tidak lalai, tidak leka, dan tidak lupa. Marilah kita menjadi umat yang Rasulullah (saw) banggakan. Umat yang istimewa di sisi Allah (swt) dengan berpuasa, solat, pergi ke masjid, memasak untuk jiran, menziarahi ibu bapa, mengajar anak-anak tentang Pencipta mereka, bersedekah, memulakan solat Tahajud, membaca Al-Quran, membantu orang lain, dan sebagainya.
Biarlah bulan ini menjadi bulan tindakan, bulan yang kita menetapkan piawaian baru untuk diri sendiri, satu piawaian yang lebih tinggi. Supaya kita benar-benar bersedia menghadapi Ramadhan, bukan hanya secara luaran tetapi juga dari dalam. Supaya kita dapat memasuki Ramadhan dengan dosa-dosa diampuni, hati yang bersih, dan cinta Allah (swt). Bukankah itu cara terbaik untuk memulakan bulan yang diberkati?!