SEDEKAH ORANG MISKIN BOLEH MENGALAHKAN SEDEKAH ORANG KAYA
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Satu petang di persimpangan jalan yang tidak terlalu besar. Seorang pemandu Pajero Sport keluaran terbaru membuka sedikit tingkap keretanya. Sambil membelok kenderaannya yang agak mewah itu, dia mengeluarkan tangan kanannya dari belakang cermin depan kenderaannya. Di telapak tangannya ada RM 50. Berdiri tidak jauh dari situ, ada seorang lelaki separuh umur yang sedang membantu menjaga lalu lintas kenderaan. Sambil memberi isyarat dengan tangan kepada pemandu lain yang lalu lalang, dia dengan pantas menyambar wang di tangan pemandu Pajero Sport itu sambil menundukkan sedikit badannya sebagai tanda hormat dan terima kasih. Serta-merta wang itu bertukar tangan. Lelaki itu digelar sebagai Pak Ogah. Setiap hari dia bekerja sebagai “pengawal lalu lintas” di persimpangan jalan itu.
Dengan jalan yang tidak terlalu sibuk, biasanya paling banyak dia membawa pulang RM 15-20 sehari. Sudah tentu tidak cukup untuk menyara isteri dan empat anaknya. Itu pun selepas dia “bekerja” dari pagi sampai petang. Sebabnya, rata-rata pemandu kereta hanya memberinya RM 1 atau RM 2. Kadang-kadang paling tinggi pun hanya RM 10. Malah kebanyakan orang tidak memberi satu sen pun. Kecuali jika benar-benar bertuah. Seperti sebentar tadi. Dia mendapat RM 50. Tetapi itu sangat jarang berlaku.
Namun, berapa pun yang dia dapat, dia sentiasa bersedekah sekurang-kurangnya RM 2 – RM 5 setiap hari kepada seorang wanita tua, yang mengemis di seberang jalan setiap hari. Tidak jauh dari
persimpangan jalan itu.
Apakah yang istimewa dari kisah di atas? Tidak ada. Kecuali sedekah pemilik Pajero Sport bernilai RM 50 yang dilihat banyak untuk diberikan kepada Pak Ogah. Ini sangat jauh dari sedekah Pak Ogah yang hanya memberi RM 2 – RM 5 kepada pengemis wanita tua itu. Itu mungkin yang kebanyakan kita fikirkan.
Namun, anggapan ini sebenarnya salah. Sedekah Pak Ogah sebenarnya jauh lebih besar dari sedekah pemilik kereta mewah itu. Bagaimana mungkin?
Untuk memahaminya, mari kita lihat sabda Rasulullah SAW berikut:
سَبَقَ دِرْهَم مِائَةَ أَلْفِ دِرْهَم : رَجُلٌ لَهُ دِرْهَمَانِ أَخَذَ أَحَدَهُمَا فَتَصَدَّقَ بِهِ، وَ رَجُلٌ لَهُ مَالٌ كَثِيرٌ فَأَخَذَ مِنْ عِرْضِهِ مِائَةُ أَلْفِ دِرْهَم فَتَصَدَّقَ بِهَا
“Satu dirham telah melebihi 100 ribu dirham: Seseorang mempunyai dua dirham. Kemudian dia mengambil salah satu daripadanya dan menyedekahkannya. Orang lain mempunyai harta yang melimpah ruah (raya kaya). Kemudian dia mengambil 100 ribu dirham dari hartanya dan disedekahkan.” (HR an-Nasa’i).
Ini bermakna, satu dirham yang disedekahkan oleh seseorang miskin adalah lebih besar nilainya daripada 100 dirham yang disedekahkan oleh orang yang kaya. Satu dirham kini bersamaan dengan RM 1.22. Ini bermakna, 100 ribu dirham sama dengan RM 122, 344. Ertinya, menurut Rasulullah SAW, keutamaan bersedekah sebesar RM 50 dari orang miskin (katakan mereka hanya memiliki RM 100 ketika bersedekah) dapat mengalahkan fadhilat sedekah RM 5, 000 dari orang kaya-raya (katakan mereka yang mempunyai harta ratusan jutaan ringgit ketika bersedekah (Lihat: Ibnu Rajab, Fath al-Baari, I/125).
Natijahnya, usah berbangga apabila kita bersedekah dengan jumlah yang banyak sedangkan harta kita yang berbaki masih lagi banyak. Sebaliknya, jangan meremehkan orang yang bersedekah dengan jumlah yang sedikit. Sebab, boleh jadi itu merupakan separuh daripada hartanya yang dia ada.
Wa maa tawfiiqii ilaa bilLaah.
#hadis #sedekahorangmiskin #sedekahorangkaya