BERSABAR DALAM PROSES
Oleh: Ustazah Yanti Tanjung
Ibu yang bercita-cita untuk membentuk anaknya menjadi peribadi yang soleh dan solehah, memiliki keperibadian Islam yang baik kadang-kadang terlupa untuk melalui prosesnya. Lebih-lebih lagi apabila si anak selalu melakukan kesalahan, ramai para ibu melakukan pemaksaan dengan merosak jiwa anak. Akhirnya, apa yang para ibu perolehi bukanlah perubahan-perubahan menuju keperibadian Islam yang lebih tinggi, malah sebaliknya.
Tidak kurang juga prestasi keperibadian anak menurun hanya gara-gara sikap terburu-buru untuk mendapatkan nilai terbaik dalam hafalan dan ketaatan misalnya.
Para ibu sudah memahami bahawa anak akan membesar dan berkembang, seiring dengan pemikirannya juga turut berkembang sesuai pertambahan usianya. Sikap dan perlakuan terhadap anak dalam mendidik adalah berbeza-beza mengikut tahap usianya, kerana mereka perlu dididik sesuai tahap potensi yang mereka ada. Oleh sebab itu, proses pendidikan anak itu perlu dilalui dan difahami agar setiap proses yang dilalui itu mendapat keberhasilan yang dapat diraih oleh anak. Proses itulah yang menjadi tanggungjawab kita dalam meri’ayah (mengurus/mengatur) anak yang perlu kita sesuaikan agar anak dapat mengikuti semua pembelajaran yang kita berikan.
Saat kita memahami bahawa di usia tamyiz, seorang anak sudah boleh didisiplinkan, maka kedisiplinan itu perlu dirancang dan disesuaikan. Jika kita mengabaikannya, maka akan sukar bagi kita untuk menguatkan keperibadian Islam dalam diri anak. Misalnya, agar anak bersikap sopan santun dan tahu adab-adab belajar, seorang anak itu perlu diajarkan di awal usia dan dibiasakan serta dilatih di usia tamyiz (7 tahun). Jika ibu mengabaikan perkara ini, anak tidak akan mengetahui adab dalam bergaul, tidak tahu menghormati orang yang lebih tua, tidak menyayangi yang lebih muda dan tidak tahu bagaimana adab dalam bersahabat dan sebagainya.
Namun, dalam proses ini, boleh jadi keadaan dimana hasilnya tidak akan kita dapatkan dalam tempoh yang diharapkan. Jadi, di sinilah perlunya kesabaran dalam mendidik dan bersikap sopan juga terhadap anak. Jika ibu tidak sabar dan tidak bersikap sopan, maka anak akan bertindak dan bersikap dengan lebih tidak sopan lagi serta sukar menahan diri. Proses pembentukan keperibadian anak ini memerlukan proses serta tempoh waktu yang tidak dapat kita jangkakan. Boleh jadi hasilnya akan didapati dalam tempoh yang cepat atau sebaliknya. Jadi, seorang ibu perlu sabar dan bersikap wajar serta berusaha memahami keperluan anak dengan sesungguhnya.
Satu perkara lain yang perlu dilakukan oleh seorang ibu adalah sentiasa melakukan evaluasi terhadap proses yang berjalan, adakah ianya berjalan sesuai syariah atau sebaliknya, adakah metode yang digunakan sesuai atau tidak, adakah bahan yang diberikan sesuai dengan tahap usia dan potensi anak, adakah strategi belajarnya sudah tepat atau belum dan adakah kompetensi (kecekapan) yang diberikan sudah sesuai atau belum. Jadi proses itu bergantung kepada ibu, ertinya yang sentiasa diperbaiki adalah ibu, atau proses yang dilakukan oleh si ibu. Mudah-mudahan diharapkan ketika ibu berjaya dalam menjalani proses, maka si anak pun mendapatkan kejayaannya dalam memiliki keperibadian Islam.
Rasulullah SAW. bersabda:
وعن ابن عباس رضي الله عنهما قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم لأشج عبد القيس : [ إن فيك خصلتين يحبهما الله : الحلم والأناة ] رواه مسلم
Dari Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda kepada Abdul Qais yang terluka: “Sesungguhnya di dalam dirimu ada dua sifat yang disukai oleh Allah iaitu: santun dan sabar”. (HR Muslim).
Wallahu a’lam bishshowab