[HADIS] MENGUTAMAKAN ORANG LAIN
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Sahl bin Ibrahim berkata seperti berikut:
Aku berteman rapat dengan Ibrahim bin Adham. Suatu ketika dahulu aku jatuh sakit. Dialah yang menanggung semua rawatannya. Dia juga memenuhi semua keperluanku. Aku bertanya, “Ibrahim, di manakah keldaimu?” Ibrahim bin Adham menjawab dengan mudah, “Aku telah menjualnya untuk perbelanjaan perubatanmu dan untuk memenuhi keperluanmu.” Aku bertanya lagi, “Kalau begitu kita akan naik apa?” Ibrahim bin Adham berkata, “Saudaraku, naiklah ke atas belakangku.” Kemudian dia membawaku ke tiga tempat (Al-Qusairi, Risaalah al-Qusyairiyyah, 1/7).
Memang ramai orang yang dermawan, suka menolong dan ringan tangan membantu orang yang kesulitan. Namun, masih jarang orang yang melakukan semua ini dengan mengorbankan dirinya, seperti Ibrahim bin Adham di atas.
Itulah yang biasa dilakukan oleh kaum Ansar di Madinah terhadap kaum Muhajirin. Al-Quran menceritakan: Mereka (kaum Ansar) lebih mengutamakan (Muhajirin) daripada diri mereka sendiri walaupun mereka sendiri sangat memerlukan (TMQ al-Hasyr [59]: 9).
Mengenai ayat di atas, Imam Muslim, at-Tirmidzi dan an-Nasa’i meriwayatkan: Pernah seseorang datang kepada Rasulullah SAW. Beliau kemudian membawa orang itu kepada isteri-isterinya. Namun, tiada seorang pun daripada mereka yang gembira, kerana tiada juadah untuk menjamu tetamu tersebut. Kemudian Rasulullah SAW menawarkan tetamu tersebut kepada para sahabat, sambil berkata, “Adakah sesiapa di antara kamu yang boleh menjamu tetamu ini, pada malam ini?” Seseorang kemudian berdiri. Dia ialah Thalhah RA. Dia berkata, “Aku, ya Rasulullah SAW.” Thalhah kemudian membawa tetamu itu kepada isterinya dan berkata, “Muliakanlah tetamu Rasulullah SAW ini.” Isterinya berkata, “Demi Allah, kita tidak mempunyai apa-apa, kecuali sedikit makanan untuk anak-anak kita.” Talhah RA berkata, “Tidurkanlah mereka. Padamkanlah lampunya. Malam ini kita menjamu tetamu Rasulullah SAW ini.” Keesokan harinya, Rasulullah SAW memberitahu, “Allah SWT benar-benar kagum dengan sikap Fulan dan Fulanah malam tadi.” Kemudian turunlah ayat tersebut (Al-Alusi, Ruuh al-Ma’aani, 20/426).
Begitulah sikap Salafus-Soleh dalam mengutamakan orang lain. Semoga kita dapat mencontohi mereka. Aamiin.
Wa maa tawfiiqii ilLaa bilLaah.