Membentuk Sudut Pandang Hidup dengan Pemikiran Cemerlang
Oleh: Aliya Ab Aziz
Dalam siri Kajian Pembelajaran Kitab An-Nahdhah (Falsafah Kebangkitan) bab “Pemikiran Cemerlang”, Aktivis Muslim, Ustaz Ahmad Rizal menyoroti pentingnya pemikiran yang cemerlang dalam membentuk sudut pandang manusia terhadap kehidupannya.
“Dengan pemikiran yang cemerlang manusia itu akan mampu memberikan batasan terhadap sudut pandangnya dalam kehidupan. Tanpa adanya pemikiran yang cemerlang manusia itu tidak akan mampu menentukan sudut pandang hidupnya dan manusia akan mengetahui makna keberadaan dirinya dalam kehidupan,” jelasnya.
“Nah, ini adalah ciri khas dari pemikiran yang cemerlang,” tegas beliau di YouTube Muslim Pembelajar, Selasa, (04/02/2025).
Selanjutnya, beliau menegaskan bahawa pemikiran cemerlang bukan sekadar berfikir, tetapi juga memahami keterkaitan antara sebab dan akibat dalam kehidupan.
“Dengan tidak adanya pemikiran cemerlang, maka manusia itu akan menyimpulkan keberadaan dirinya di dunia ini terjadi secara kebetulan sahaja atau terjadi begitu sahaja, tidak ada hikmah, tidak ada tujuan,” ungkapnya.
Oleh kerana itu, sambungnya lagi, manusia perlu bertanya tentang keberadaannya, “Jadi sebenarnya jika seseorang itu mahukan pemikiran yang sampai pada darjat berfikir cemerlang, seharusnya dia bertanya pada dirinya terlebih dahulu,”.
“Adakah benar keberadaan kita semua ini satu kebetulan, atau adakah ketika kita hidup di dunia ini ada maksud-maksud tertentu, atau tujuan-tujuan tertentu yang perlu kita persoalkan dan kita berusaha untuk mendapatkan jawapannya. Ya, ini yang perlu kita tanya dalam diri kita,” ujar beliau kepada para pembelajar.
Beliau kemudian meneruskan, “Perbezaan antara manusia dan makhluk lainnya adalah manusia dianugerahi akal yang membezakannya dari haiwan. Ujian manusia terletak pada akalnya. Dia akan dihisab berdasarkan akalnya, adakah dia taat atau ingkar,” katanya mengungkap perbezaan antara manusia dan haiwan.
Tambah Ustaz Ahmad Rizal lagi, “Jika manusia hanya hidup untuk memenuhi keperluannya tanpa mempertimbangkan nilai dan hukum, maka tidak ada bezanya manusia dengan haiwan. Kelebihan manusia agar dapat mempertimbangkan tindakan berdasarkan akal, bukan seperti haiwan yang bertindak berdasarkan naluri semata.”
Meskipun akal adalah anugerah, beliau mengingatkan bahawa akal juga dapat menyesatkan manusia jika tidak digunakan dengan benar. “Akal ini boleh menjadi pisau bermata dua, boleh menjadikan ajaran yang benar menjadi semakin kukuh atau sebaliknya, menyimpang dari naluri yang ada,” ucapnya memperingatkan.
“Penyimpangan akal dari naluri, makanya ada manusia lelaki yang suka dengan lelaki, perempuan suka dengan perempuan. Hal ini menyimpang dari naluri. Menyimpang disebabkan kerana manusia itu mempunyai akal yang berpotensi untuk menyimpang,” tegas beliau ketika memberikan contoh dan kesan penyimpangan akal.
Namun menurutnya juga, penyimpangan bukanlah potensi akal semata, kerana, selain memberikan jalan yang fasik yakni jalan yang buruk, Allah juga telah memberikan jalan takwa atau kebaikan kepada manusia. “Jadi, selain akal itu digunakan untuk memahami perkara-perkara yang baik, akal juga mampu menuntun manusia untuk melakukan perkara buruk,” terangnya secara mendalam.
Belaiu menjelaskan lagi, “Pemikiran Barat sering kali terjebak dalam metode ilmiah yang membataskan pemahaman mereka tentang Tuhan. Mereka memerlukan bukti yang bersifat boleh diindera untuk mengakui keberadaan Tuhan. Sedangkan secara rasional, keberadaan alam semesta yang teratur tidak mungkin terjadi tanpa adanya pencipta,” ujarnya.
Di penghujung kajian, beliau mengajak hadirin untuk merenungkan tiga persoalan mendasar dalam kehidupan, “Dari mana kita datang? Untuk apa kita ada di dunia? Ke mana kita akan pergi setelah kehidupan ini?”
“Jawapan atas persoalan-persoalan ini akan menentukan arah dan sikap seseorang dalam menjalani hidupnya. Jika jawapannya benar, maka kehidupan akan dijalani dengan kebangkitan yang benar. Jika salah, maka kebangkitan itu akan menuju kesesatan,” simpulnya.
Sumber: https://www.youtube.com/live/tAg8PgQJFwA?si=RSHoVL1j1rJzirbP