Ibu Perlu Membuat Persediaan untuk Menjadi Sekolah Pertama.
Oleh: Syamsiyah Jamil
Aktivis Muslimah Malaysia, Dr Norini menyatakan bahawa ibu perlu membuat persediaan untuk menjadi sekolah pertama (madrasatul ula) bagi anak-anak.
“Kalau kita tiada ilmu, kita tidak tahu apa yang kita kena buat, apa yang kita nak ajar pada anak-anak kita nanti. Sebenarnya masih tidak terlambat kita sebagai ibu untuk sentiasa bersedia, sentiasa menambahkan tsaqafah untuk menjadi seorang ibu yang baik,” jelasnya dalam Program The Power of Mother yang bertajuk Ibulah Sekolah Pertama, Ahad (16/2/2025)
Beliau mengatakan, ibu perlu ada kekuatan fizikal sebagai persediaan. “Kalau ibu itu sakit, macam mana mahu menguruskan rumahtangga, menguruskan anak-anak”, jelasnya.
“Kalau ibu itu tidak ada kekuatan mental, stress, terganggu jiwanya, macam mana anak-anak yang nak diuruskannya. Jadi, ibu perlu ada kekuatan mental dan spiritual,” tambahnya.
Beliau menjelaskan lagi, ibu juga perlu mempunyai kemampuan intelektual iaitu ibu perlu menjadi bijak dan cerdas untuk mendidik anak menjadi cerdik dan cerdas juga. “Kita nak anak-anak cerdik, cerdas, tentulah ibu itu dulu kena bijak, cerdas,” katanya.
“Bila seorang ibu itu ada semangat nak yang terbaik untuk keluarganya, dia pasti akan berusaha yang terbaiknya,” tambahnya.
Beliau kemudian berkongsi dua tips bagaimana untuk menjadi ibu yang hebat. “Pertama, mesti ada ilmu. Ilmu itu boleh dicari di mana-mana. Tidak semestinya pergi kepada yang formal,” katanya.
Beliau memberikan contoh para Sahabiyah pada zaman dahulu yang tidak malu untuk menuntut ilmu kerana ilmulah yang akan memandu kita dalam beramal.
“Ilmu itu mestilah ilmu yang bermanfaat. Ilmu itu untuk diamalkan, untuk dimanfaatkan. Sebaik-baik orang yang tidak mengetahui itu adalah dia akan belajar,” tambahnya.
Beliau menjelaskan tips kedua untuk menjadi ibu yang hebat adalah dengan selalu menjaga hubungan dengan Allah. “Kalau kita jaga hubungan kita dengan Allah, InsyaAllah, Allah akan jaga hubungan kita dengan sesama manusia,” jelasnya.
“Bagaimana cara untuk kita menjaga hubungan dengan Allah ada dengan kita sentiasa melazimi amalan-amalan ibadah sunat di samping melaksanakan kewajipan dengan baik,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kewajipan utama sebagai ibu dalam mengurus rumahtangga mestilah diselesaikan dan dalam masa yang sama ibu perlu belajar dan berdakwah.
“Jadi, selalulah menjaga hubungan dengan Allah untuk mendapatkan kekuatan spiritual supaya ibu itu tidak mudah stress, mempunyai kesabaran yang luar biasa, kesyukuran yang tinggi,” jelasnya.
Ibu yang berdinamika adalah ibu yang sentiasa bersemangat untuk belajar menjadi yang terbaik.
“Kemuliaan yang Allah berikan kepada ibu iaitu sebagai ummu wa rabbatul bayt dan madrasatul ula itu sebenarnya itu adalah anugerah yang Allah bagi kepada seorang ibu dan itulah pemberian yang paling berharga seorang ibu kepada anak-anaknya,” tutupnya.