[HADIS PILIHAN] Al-Ghabnu Fâhisyu dan Tindakan Menahan Barang
Oleh : Ustaz Yahya Abdurrahman
إِنَّ رَسُولَ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا تَلَقَّوْا الْجَلَبَ، فَمَنْ تَلَقَّاهُ فَاشْتَرَى مِنْهُ، فَإِذَا أَتَى سَيِّدُهُ السُّوقَ، فَهُوَ بِالْخِيَارِ
Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kalian menahan barang yang akan didatangkan. Sesiapa yang menahan dan membeli barang yang akan didatangkan, kemudian pemilik barang itu tiba di pasar, maka dia mempunyai pilihan.” (HR Muslim no. 1519 dan an-Nasai no. 4501).
Hadis ini juga diriwayatkan dengan redaksi yang berbeza, juga dari Abu Hurairah RA:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُتَلَقَّى الْجَلَبُ، فَإِنْ تَلَقَّاهُ إِنْسَانٌ فَابْتَاعَهُ فَصَاحِبُ السِّلْعَةِ فِيهَا بِالخِيَارِ إِذَا وَرَدَ السُّوق
“Sesungguhnya Nabi SAW telah melarang barangan import daripada ditahan. Jika orang menahan barang tersebut dan kemudian dia membeli barang itu, maka pemilik barang mempunyai pilihan apabila dia memasuki pasar.” (HR at-Tirmidzi no. 1221, Ahmad no. 9236, al-Bazzar no. 10018 dan ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Awsâth no. 6362).
Imam at-Tirmidzi berkata: “Hadis ini hasan ghariib daripada hadis Ayyub. Kaum dari ahlul ‘ilmi tidak suka (kariha) menahan para pedagang. Itu adalah satu bentuk penipuan (al-khadî’ah). Ini merupakan pendapat Asy-Syafie dan yang lain dari ashab kami.”
Sabda Rasulullah SAW “al-jalabu”, menurut Imam asy-Syaukani dalam Kitab Nayl al-Awthâr, adalah mashdar dengan makna ismu al-maf’ûl, iaitu al-majlûb (yang didatangkan). Dikatakan: “Jalaba asy-syay`a” (Dia membawa barang dari satu negeri ke negeri lain untuk diperdagangkan).
Imam an-Nawawi menjelaskan dalam Kitab Syarhu Sahîh Muslim, “Sabda Rasulullah SAW ‘sayyiduhu’ iaitu pemilik barang.” Dalam hadis-hadis ini terdapat larangan menahan barang import dan itu adalah pendapat Asy-Syafie, Malik dan jumhur.”
Beliau menambah, “Adapun terkait sabda Rasulullah SAW “Faidzâ atâ sayyiduhu as-sûqa fahuwa bi al-khiyâr (Jika pemilik barang tiba di pasar maka dia ada pilihan)”, ashab kami mengatakan, tidak ada pilihan untuk penjual sebelum dia tiba di pasar dan mengetahui harga di negerinya.”
Hadis di atas menetapkan larangan itu pada sifat iaitu talaqqiyu al-jalab atau dalam riwayat lain, talaqqiyu ar-rukbân. Larangan talaqqiy al-jalabi adalah sama dengan talaqqiyu ar-rukbân, kerana barang tersebut diimport oleh ar-rukbân (sebutan ar-rukbân merujuk kepada keadaan umum orang yang membawa barang itu ar-râkib [jamak ar -rukbân), iaitu menunggang tunggangan) . Orang yang menahan kemudian memberitahu harga pasaran barang itu (kepada pemilik barangnya, ed.) dan boleh jadi secara bohong, atau dia memberitahu pemilik barang bahawa keadaan pasaran sedang lembap atau kos memasuki pasaran besar adalah tinggi, atau sesuatu yang lain, akhirnya dia boleh membeli barang daripada pemilik seperti di bawah harga pasaran, iaitu harga berpatutan atau harga pasaran di situ.
Ciri talaqqiy al-jalab atau talaqqiyu ar-rukbân merupakan washf[un] mufhim[un], iaitu penyebutan sifat ini memberi konotasi atau pemahaman bahawa sifat ini adalah punca atau ‘illat larangannya, dan larangan itu adalah haram. Ini kerana amalan talaqqiy al-jalab atau talaqqiy ar-rukbân mengandungi al-khadî’ah (muslihat atau penipuan), iaitu al-ghabnu (penipuan berkaitan harga), dan al-khadî’ah atau al-ghabnu adalah haram. Penipuan berlaku kerana penjual/pemilik barang tidak mengetahui harga pasaran atau harga berpatutan, keadaan pasaran barang, atau situasi pasaran dan sebagainya. Semua ini membawa kepada harga pembelian yang tidak munasabah. Ini bermakna berlakunya al-ghabnu al-fâhisy (penipuan yang tidak adil).
Dari semua ini, boleh di-istinbath sebab atau ‘illat larangan iaitu wujudnya al-khadî’ah (menipu) dalam amalan talaqqiy al-jalab (talaqqiy ar-rukbân) dalam bentuk harga yang tidak munasabah bagi pembelian barang tersebut, yang berlaku kerana ketidaktahuan al-jâlib atau ar-rukbân tentang harga pasaran, situasi pasaran dan perkara lain yang berkaitan. Ini ditunjukkan dan dikuatkan oleh sabda Rasulullah SAW “Fa idzâ atâ sayyiduhu as-sûqa fahuwa bi al-khiyâr atau fa shâhibu as-sil’ah fîhâ bi al-khiyâr idzâ warada as-sûqa. Sabda Rasulullah SAW ini menetapkan adanya al-khiyâr jika pemilik barang (penjual) masuk ke pasar. Adanya pilihan ini tentunya bukan hanya kerana semata memasuki pasaran. Sebab, jika transaksi jual beli itu adil, dengan harga yang wajar berlaku di pasaran, sudah tentu tidak ada alasan syarie untuk mencipta al-khiyâr.
Oleh itu, dapat difahami bahawa ungkapan memasuki pasaran bermaksud dia mengetahui keadaan pasaran dan harga wajar semasa, yang tidak diketahuinya sebelum ini, sehingga dia dapat mengetahui dengan jelas sama ada dia telah ditipu atau tidak. Di sinilah, dalam masalah bay’ al-hâdhir li bâdin atau talaqqiy ar-rukbân, bahawa Umar bin al-Khattab RA berkata:
َخْبِرُوهُمْ بِالسِّعْرِ، وَدُلُّوهُمْ عَلَى السُّوقِ
“Beritahu mereka harga (barangan) dan tunjukkan pasaran kepada mereka.” (HR Abdurrazaq dalam Mushannaf ‘Abdi ar-Razâq).
Jika pemilik barang (penjual) ditipu, iaitu harganya lebih rendah daripada harga wajar, maka dia mempunyai al-khiyâr. Ibnu Daqiq al-‘Id dalam Ihkâm al-Ahkâm Syarhu ‘Umdah al-Ahkâm menyatakan ketetapan al-khiyâr. Oleh kerana tidak ada ghurûr bagi ar-rukbân, ertinya mereka mengetahui harga, maka tidak ada khiyâr bagi mereka. Jika mereka tidak demikian (iaitu mereka tidak mengetahui harga), jika orang yang menahan itu membeli daripada mereka dengan harga yang lebih murah daripada harga yang wajar maka bagi mereka ada al-khiyâr.
Sebaliknya, jika harganya berpatutan (seperti harga dalam negeri) atau lebih, maka tidak ada al-khiyâr. Imam an-Nawawi menjelaskan dalam Syarhu Sahîh Muslim, “Apabila pemilik barang tiba di pasar, jika pembelian itu pada harga yang lebih murah dari harga negeri, maka ditetapkan baginya pilihan sama ada orang yang menahan barang akan memberitahu harga secara palsu atau tidak memberitahu. Jika pembelian itu pada harga yang berlaku di negerinya atau lebih banyak, maka yang lebih sahih tidak ada pilihan baginya kerana tidak ada al-ghabnu.”
Pilihan untuknya adalah seperti dalam kes al-ghabnu al-fâhisy iaitu: menerima harga itu dan jual beli tetap berlaku; atau dia membatalkan akad, kemudian dia meminta kembali barangnya dan menyerahkan kembali harga yang telah dia terima. Adanya al-khiyâr menunjukkan bahawa jual beli bukanlah batil melainkan fasad. Jika sebab fasadnya dihilangkan, iaitu dengan adanya keredhaan disertai dengan pengetahuan tentang harga, maka jual belinya adalah sah sempurna.
WalLâh a’lam wa ahkam.
Sumber : Alwaie