[Siri Sinar Ramadhan] Menyambut Ramadhan yang Penuh Keberkatan
Nabi Muhammad SAW bersabda:
أَتَاكُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌ مُبَارَكٌ فَرَضَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ وَتُغَلُّ فِيهِ مَرَدَةُ الشَّيَاطِينِ لِلَّهِ فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ
Maksudnya: “Sungguh telah datang bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Allah mewajibkan kamu berpuasa di dalamnya. Di dalamnya pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu. Pada bulan itu terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan (lailatul qadar). Siapa saja yang terhalangi (untuk mendapatkan) kebaikan malam itu maka sungguh dia telah dihalangi (dari keutamaan yang agung).” [HR Ahmad dan An-Nasa’i]
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan, kemuliaan dan keistimewaan. Bulan yang diturunkan kitab suci al-Quran. Salah satu keistimewaan bulan ini ialah dibukanya pintu-pintu syurga, ditutupnya pintu-pintu neraka dan dibelenggunya syaitan-syaitan.
Para ulama mengatakan bahawa hadis di atas mempunyai dua kemungkinan makna iaitu secara kiasan dan hakikat. Secara kiasan, dibukanya pintu syurga menggambarkan bahawa pahala daripada Allah di bulan Ramadhan sangat melimpah-ruah, sehingga menjadi motivasi kepada para hamba-Nya untuk meraih pahala sebanyak-banyaknya. Pintu-pintu neraka pula ditutup sebagai gambaran keampunan dan kemaafan dari Allah yang begitu luas, sehingga mendorong para hamba-Nya untuk sentiasa bertaubat dan memohon keampunan-Nya.
Manakala, syaitan-syaitan yang dibelenggu membawa maksud bahawa Allah menyukarkan mereka untuk mengganggu dan menggoda hamba-hamba-Nya. Selain itu, syaitan-syaitan ini dirantai sebagai tanda kemuliaan dengan masuknya bulan Ramadhan. Ini adalah satu bentuk penghormatan terhadap masuknya bulan Ramadhan, di mana umat Islam sedang giat memperbanyakkan ibadah seperti membaca Al-Quran, mendirikan solat sunat tarawih, berpuasa penuh selama sebulan, bersedekah, mengeluarkan zakat fitrah, dan amalan kebajikan lain. Tidak hairanlah Ramadhan sering dipanggil sebagai “bulan pesta ibadah.”
Jika hadis ini dimaknai secara hakikat pula, maksudnya pintu syurga benar-benar dibuka, pintu neraka benar-benar ditutup, dan syaitan benar-benar dibelenggu sebagai tanda penghormatan akan kehadiran bulan yang mulia ini. Ia juga bertujuan untuk memelihara dan melatih umat Islam agar dapat menjauhi kemungkaran, bukan sahaja pada bulan tersebut tetapi juga di bulan-bulan seterusnya.
Sementara itu, malam yang disebutkan lebih baik daripada seribu bulan ialah lailatul qadar, antara keistimewaan terbesar Ramadhan. Tarikh malam tersebut dirahsiakan oleh Allah agar umat Islam berlumba-lumba untuk mendapatkan kelebihan malam itu. Ini kerana, malam tersebut adalah malam yang sarat dengan keberkatan, penuh kesejahteraan, dan yang lebih penting, pada malam itu Allah memberikan ampunan-Nya kepada yang memohon dengan penuh pengharapan.
Begitulah kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya. Dia sentiasa memberikan peluang untuk hamba-Nya bertaubat dan memohon keampunan, terutama sekali dalam bulan Ramadhan dan melalui malam istimewa seperti lailatul qadar. Semoga kita semua dapat menjalani Ramadhan dengan melipatgandakan amalan ibadah dan meneruskan momentum ibadah ini hingga ke akhir hayat kita. Insya-Allah.