[SOAL JAWAB] Usaha Bukan Sebab Rezeki
Soalan:
Adakah usaha akan menambah jumlah rezeki yang telah tertulis? Sebagai contoh, seseorang yang duduk di rumah, adakah rezekinya akan sama jika dia keluar bekerja? Adakah pengiklanan dan mempromosikan kerja menambah jumlah rezeki yang telah tertulis?
Jawapan:
Nampaknya terdapat kekeliruan dalam topik rezeki dan usaha. Perkara ini sebenarnya telah dijelaskan khususnya dalam Al-Kurâsah. Saya akan ringkaskan sebahagian daripadanya:
Adapun berkaitan dengan rezeki, banyak sekali ayat-ayat yang qath’i dalalah, yang tidak memberi ruang kepada orang yang mengimani al-Quran, melainkan dia mengimani bahawa rezeki itu di tangan Allah, Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Isu rezeki berbeza dengan isu al-Qadar (takdir). Sebab, al-Qadar (takdir) ialah Allah SWT mengetahui sesuatu perkara itu akan berlaku, sebelum berlakunya perkara itu. Maka Allah telah menulis dan menetapkannya. Adapun rezeki, bukan hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui bahawa si fulan itu akan diberi rezeki sehingga Dia telah menulis dan menetapkannya, tetapi juga, iaitu di samping bahawa Allah telah menetapkan rezeki, bahawa yang memberi rezeki ialah Allah dan bukan hamba. Inilah yang ditunjukkan oleh ayat-ayat yang ada. Allah SWT berfirman:
لَا نَسۡئَلُكَ رِزۡقٗاۖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُكَۗ وَٱلۡعَٰقِبَةُ لِلتَّقۡوَىٰ ١٣٢
Kami tidak meminta rezeki kepada kamu. Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Akibat (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (TMQ Taha [20]: 132).
وَكُلُواْ مِمَّا رَزَقَكُمُ ٱللَّهُ حَلَٰلٗا طَيِّبٗاۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِيٓ أَنِتُم أَنِتُم ٨٨
“Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.” (TMQ al-Maidah [5]: 88)
Ayat-ayat ini qath’i dalalah bahawa Allah adalah Tuhan yang memberi rezeki dan Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia juga melapangkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki dan menyempitkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki. Maka di dalamnya, setiap orang menisbahkan rezeki kepada Allah SWT. Di dalamnya dinyatakan tiada yang memberi rezeki melainkan Dia. Ini menunjukkan bahawa Dialah yang memberi rezeki. Itulah pergantungan yang sebenar.
Jadi penisbatan rezeki kepada Allah adalah penisbatan yang hakiki. Lebih dari itu, tidak dinyatakan penisbatan rezeki kepada manusia ialah manusialah yang memberikan rezeki kepada dirinya sendiri. Tidak ada penisbatan seperti itu sama ada dalam ayat atau dalam satu hadis pun. Dalam semua nas yang ada, penisbatan rezeki itu kepada Allah SWT. Adapun apa yang dinyatakan berupa pnisbatan rezeki kepada manusia yang memberi kepada manusia lain, maka yang dimaksudkan adalah “serahkan harta kepada mereka”. Jadi yang dimaksudkan bukanlah perbuatan memberi rezeki. Sebagai contoh, firman Allah SWT:
وَلَا تُؤۡتُواْ ٱلسُّفَهَآءَ أَمۡوَٰلَكُمُ ٱلَّتِي جَعَلَ ٱللَّهُ لَكُمۡ قِيَٰمٗا وَٱرۡزُقُوهُمۡ فِيهَا وَٱكۡسُوهُمۡ ٥
“Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (hasil dari harta itu).” (TMQ an-Nisa’ [4]: 5)
Allah SWT juga berfirman:
وَإِذَا حَضَرَ ٱلۡقِسۡمَةَ أُوْلُواْ ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسََٰكِٱُفُقُونُ مِّنۡهُ ٨
“Jika pada masa pembahagian (harta pusaka) itu ada kerabat, anak yatim dan orang miskin, maka berikanlah kepada mereka (sekadarnya) dari harta itu.” (TMQ an-Nisa’ [4]: 8)
Apa yang dimaksudkan dengan ayat pertama ialah “berikan makanan untuk mereka”. Yang dimaksudkan dengan ayat kedua ialah “maka serahkanlah kepada mereka rezeki yang telah kamu perolehi”. Maka itu adalah perintah untuk memberi mereka sebahagian daripada rezeki dan itu bukanlah satu penisbatan rezeki kepada mereka. Tidak disebutkan tentang penisbatan rezeki dengan makna yang melakukan ar-rizqu (yang memberi) kecuali kepada Allah SWT. Allah SWT dengan tegas berfirman:
نَّحۡنُ نَرۡزُقُكُمۡ ١٥١
“Kamilah yang memberikan rezeki kepada kalian.” (TMQ al-An’am [6]: 151)
Dalam ayat lain Allah SWT berfirman:
وَرِزۡقُ رَبِّكَ ١٣١
“…Rezeki dari Tuhanmu.” (TMQ Taha [20]: 131)
Allah SWT juga berfirman:
كُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ مِن رِّزۡقِ ٱللَّهِ ٦٠
“Makan dan minumlah dari rezeki Allah.” (TMQ al-Baqarah [2]: 60)
Berdasarkan semua ayat di atas, jelas bahawa penisbatan dan pergantungan perbuatan memberi rezeki (fi’lu ar-rizqi) itu adalah kepada Allah. Ini memberikan makna yang tidak menerima penakwilan, iaitu Allah sahaja Yang Maha Pemberi rezeki (Ar-Razzâq) dan rezeki itu di tangan Allah SWT.
Berdasarkan perkara ini, kita wajib mengimani bahawa Allah yang memberikan rezeki kepada makhluk. Dalilnya ialah qath’i ats-tsubût dan qath’i ad-dâlalah. Jadi mengimani hal ini adalah wajib dan mengingkarinya adalah kufur. Ini bermakna, sesiapa yang tidak mengimani bahawa Allah itu adalah Tuhan Yang Maha Pemberi rezeki maka dia benar-benar telah kafir. Hanya kepada Allah tempat berlindung.
Ini soal rezeki dari sisi keimanan dan dari sisi dalil. Namun, selain memerintahkan keimanan bahawa Dia adalah Tuhan Yang Maha Pemberi rezeki, Allah juga memerintahkan manusia untuk berusaha mendapatkan rezeki ini. Allah SWT berfirman:
هُوَ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ ذَلُولٗا فَٱمۡشُواْ فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُواْ مِن رِّزۡقِهِۦۖ ١٥
“Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kalian. Kerana itu berjalanlah kalian di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.” (TMQ al-Mulk [67]: 15)
Allah SWT juga berfirman:
فَإِذَا قُضِيَتِ ٱلصَّلَوٰةُ فَٱنتَشِرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَٱبۡتَغُواْ مِن فَضۡلِ ٱللَّهِ ١٠
“Jika telah menyelesaikan solat maka bertebaranlah kalian di muka bumi dan carilah kurniaan Allah.” (TMQ al-Jumu’ah [62]: 10)
Dalam dua ayat ini, Allah SWT memerintahkan manusia untuk berusaha mencari rezeki. Jika perintah untuk berusaha mencari rezeki ini dikaitkan dengan ayat-ayat yang menyatakan bahawa Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Pemberi rezeki, maka jelaslah maksud kewujudan Allah ialah Tuhan Yang Maha Pemberi rezeki. Dengan ini juga menjadi jelas makna iman bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Pemberi rezeki. Ayat pertama semuanya mengesahkan bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Pemberi rezeki. Maknanya, yang memberi rezeki adalah Allah dan bukannya manusia. Mengenai dua ayat terakhir, memerintahkan manusia untuk bekerja bagi mendapatkan rezeki Allah.
Faktanya, usaha manusia bukanlah sebab untuk rezeki. Itu kerana sebab itu menghasilkan musabab secara pasti dan musabab itu tidak terhasil melainkan daripada sebabnya. Pisau adalah sebab sesuatu dipotong dan pisaulah yang memotong. Api adalah sebab sesuatu terbakar dan api itulah yang membakar. Tidak berlaku pemotongan tanpa pisau, iaitu tanpa alat yang tajam. Tidak berlaku pembakaran tanpa api, iaitu tanpa bahan yang membakar. Ini adalah sebab. Seandainya usaha mencari rezeki seperti itu, nescaya merupakan sebab rezeki, dan nescaya realitinya bahawa usaha itulah yang mendatangkan rezeki, sebagaimana pisau yang memotong dan api yang membakar.
Namun, hakikatnya usaha mencari rezeki tidaklah begitu. Maksudnya, ia tidak seperti pisau yang berkaitan dengan memotong sesuatu, dan ia tidak seperti api yang berkaitan dengan membakar sesuatu. Sebab, kadang-kadang ada usaha untuk mencari rezeki, tetapi rezeki itu tidak diperolehi. Kadang-kadang rezeki diperoleh tanpa ada usaha untuk mencarinya. Maksudnya, kadang-kadang telah berlaku sebab, tetapi tidak berlaku musabab, dan kadang-kadang berlaku musabab tanpa sebabnya, dan boleh berlaku tanpa sebab apapun. Ini menunjukkan dengan qath’i dalalah bahawa usaha bukanlah sebab untuk rezeki.
Contoh-contoh ini dalam realiti kehidupan sangat banyak, yang memberikan kepastian. Seorang pedagang berusaha untuk mendapatkan keuntungan, tetapi hasil dari perdagangannya adalah kerugian atau tiada keuntungan. Kadang-kadang telah ada usaha, tetapi rezeki tidak diperolehi. Ini bermakna telah ada sebab, tetapi tidak dihasilkan musabab. Kerana musabab itu tidak dihasilkan maka ia bukanlah sebab, kerana sebab itu secara pasti menghasilkan musabab.
Contoh lain ialah orang yang mewarisi harta. Rezekinya datang tanpa usaha dirinya. Sekiranya usaha menjadi sebab rezeki, nescaya tidak mendapat harta tanpa ada usaha. Sebab, musabab tidak terhasil melainkan dari sebabnya yang penyebabnya. Memperolehi harta melalui pewarisan tanpa ada usaha merupakan bukti bahawa usaha bukan sebab rezeki. Dalam hal harta pusaka, rezeki itu jelas diperoleh tanpa adanya usaha.
Semua ini menentukan secara qath’i bahawa usaha untuk mencari rezeki bukan merupakan sebab untuk rezeki. Ini bermakna, usaha itu bukanlah yang mendatangkan rezeki. Jadi usaha bukan seperti pisau yang memotong, dan bukan seperti api yang membakar. Jadi usaha bukanlah yang mendatangkan rezeki kerana usaha bukanlah sebab untuk rezeki.
Kesimpulan
Demikianlah. Yang Maha Pemberi rezeki ialah Allah SWT. Adapun usaha adalah perintah dari hukum syariah. Jika anda berusaha, anda boleh mendapat rezeki yang telah Allah tetapkan untuk anda dan mendapat pahala atas usaha anda dalam mencari rezeki. Jika anda tidak berusaha maka boleh jadi anda tetap mendapat rezeki yang Allah tetapkan untuk anda, tetapi anda telah melanggar hukum syarak kerana anda tidak berusaha seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada anda.
WalLâh a’lam wa ahkam.
[Dipetik dari Soal-Jawab Syeikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah bertarikh 27 Safar 1445 H – 12 September 2023 M]
Sumber:
https://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/90887.html
https://www.facebook.com/HT.AtaabuAlrashtah/posts/860210035666367