[Siri Sinar Ramadhan] Memperbanyakkan Doa di Bulan Ramadhan
Imam An-Nawawi menyatakan:
ﻳﺴﺘﺤﺐّ ﻟﻠﺼﺎﺋﻢ ﺃﻥ ﻳﺪﻋﻮ ﻓﻲ ﺣَﺎﻝِ ﺻَﻮْﻣِﻪِ ﺑِﻤُﻬِﻤَّﺎﺕِ ﺍﻟْﺂﺧِﺮَﺓِ ﻭَﺍﻟﺪُّﻧْﻴَﺎ ﻟَﻪُ ﻭَﻟِﻤَﻦْ ﻳُﺤِﺐُّ ﻭَﻟِﻠْﻤُﺴْﻠِﻤِﻴﻦَ
“Dianjurkan bagi orang yang berpuasa untuk berdoa sepanjang waktu puasanya dengan doa-doa yang sangat penting bagi urusan akhirat dan dunianya, bagi dirinya, bagi orang yang dicintai, dan untuk kaum Muslimin.” (Syarh Al-Muhazzab An-Nawawi)
Ramadhan ialah bulan yang Allah memperkenankan doa-doa orang Mukmin yang berpuasa. Maka, sewajarnya kita memperbanyakkan doa serta memohon kepada Allah segala hajat yang diingini, baik yang berkaitan dunia mahupun akhirat. Allah SWT berfirman:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” [TMQ Al-Baqarah (2): 186]
Ayat ini menjelaskan kedekatan Allah dengan hamba-hamba-Nya serta janji-Nya untuk mengabulkan doa mereka yang berdoa kepada-Nya. Jika diperhatikan, ayat ini terletak di antara ayat-ayat mengenai puasa, menunjukkan betapa besarnya keutamaan dan keberkatan doa ketika seseorang sedang berpuasa. (Zubdatut Tafsir min Fathil Qadir, Syaikh Dr. Muhammad Sulaiman Al-Asyqar)
Tiga Waktu yang Dianjurkan untuk Memperbanyakkan Doa
- Waktu Sahur
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِى فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِى فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِى فَأَغْفِرَ لَهُ
“Rabb kita tabaraka wa ta’ala turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas Dia berfirman, ‘Siapa saja yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepada-Ku, maka akan Aku ampuni.'” [HR. Bukhari no. 1145 dan Muslim no. 758]
- Semasa Berpuasa
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَالإِمَامُ الْعَادِلُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
“Tiga golongan yang doanya tidak tertolak: orang yang berpuasa hingga berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizalimi.” [HR. Ahmad 2:305. Syaikh Syu’aib Al-Arnauth mengatakan bahawa hadis ini adalah sahih melalui pelbagai jalur dan penguatnya.]
- Ketika Berbuka Puasa
Nabi SAW bersabda:
ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
“Ada tiga golongan yang doanya tidak ditolak: pemimpin yang adil, orang yang berpuasa ketika berbuka, dan doa orang yang terzalimi.” [HR. Tirmidzi no. 2526 dan Ibnu Hibban 16:396]
Ketika berbuka adalah waktu mustajab untuk berdoa kerana pada waktu itu, orang yang berpuasa telah menyelesaikan ibadahnya dalam keadaan tunduk dan merendahkan diri kepada Allah SWT. (Lihat Tuhfatul Ahwadzi, 7:194)
Semoga Allah SWT memperkenankan segala doa-doa kita di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Janganlah kita sia-siakan peluang untuk terus mengangkat tangan, memohon hajat, serta meraih rahmat Allah, kerana doa ialah senjata orang Mukmin.