[Nota Ibu Muslimah Ideal] Amanah Besar Seorang Ibu – Madrasah Pertama
Pernahkah kita duduk sejenak dan merenung, sejauh mana peranan kita sebagai seorang ibu dalam membentuk anak-anak?
Dalam dunia yang semakin mencabar ini, membesarkan anak bukan sekadar memastikan mereka cukup makan, cukup pakai, dan mendapat pendidikan akademik yang terbaik. Tetapi yang lebih penting, apakah kita telah memberikan didikan Islam yang sebenar kepada mereka?
Allah SWT mengingatkan kita dalam al-Quran:
“ Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (TMQ At-Tahrim [66]:6)
Ayat ini cukup jelas. Tanggungjawab menjaga iman anak-anak adalah tugas kita sebagai ibu (dan bapa semestinya). Kita adalah sekolah pertama mereka, madrasah pertama yang akan mencorakkan masa depan mereka.
Bayangkan seorang anak yang membesar tanpa diajar tentang Allah, tanpa tahu adab dengan ibu bapa, tanpa rasa tanggungjawab dalam kehidupan. Apa yang akan terjadi kepada mereka kelak? Inilah sebabnya ibu memainkan peranan besar dalam membentuk jiwa dan akhlak anak-anak.
Bagaimana menjadi ibu yang mendidik dengan berkesan?
- Jadilah contoh terbaik – Anak-anak lebih cepat meniru perbuatan kita berbanding kata-kata kita. Kalau kita mahu mereka jadi soleh, kita sendiri perlu jadi ibu yang solehah.
- Jadikan rumah sebagai madrasah – Rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi tempat anak-anak belajar mengenal Islam, solat, akhlak, dan nilai kehidupan.
- Sentiasa berdoa untuk anak-anak – Doa ibu adalah doa yang mustajab. Bahkan, doa ibu penting untuk masa depan anak-anak kita.
Ayuh ibu-ibu, mari kita refleksi diri:
- Pernah tak kita terfikir, berapa banyak masa yang kita luangkan untuk bercakap tentang Islam dengan anak-anak?
- Kalau kita boleh luangkan masa sejam untuk tengok drama, boleh tak kita luangkan 10 minit untuk bercerita kisah Nabi kepada anak-anak sebelum tidur?
- Kalau kita boleh scroll media sosial berjam-jam, boleh tak kita ajak anak duduk sebentar dan baca satu surah pendek bersama?
Ibu-ibu sekalian, mari kita mulakan perubahan hari ini. Kecil atau besar, yang penting kita mulakan.
#MuslimahIdeal #SeniMembinaGenerasiPemimpin #IbuMuslimahInspiratif
#IslamicParenting