Tiang-Tiang Sistem Pemerintahan Islam
Oleh: Ustaz M. Taufik NT
Sebahagian orang berpandangan bahawa Islam tidak menetapkan sistem pemerintahan. Mereka memandang sistem pemerintahan fleksibel mengikuti perkembangan zaman. Fokusnya ada pada zatnya, iaitu keadilan dan kemaslahatan umat. Bukan pada format bentuk negaranya. Anehnya, orang yang berpandangan demikian tak jarang justeru menolak sistem Khilafah. Seolah sistem apa saja boleh, asal jangan Khilafah.
Umumnya mereka berdalih dengan adanya ikhtilaf dalam hal uslûb (cara) pemilihan Khulafaur Rasyidin, syarat khalifah, mahupun dalam perkara-perkara hukum syariah lainnya. Adanya ikhtilaf sebahagian hal terkait sistem pemerintahan dalam Islam tidak bermakna bahawa tidak ada sistem pemerintahan Islam, atau tidak ada bentuknya. Sebagaimana juga solat, contohnya. Adanya banyak ikhtilaf dalam perinciannya, bukan bermakna solat tidak ada, atau tidak ada bentuk solat sehingga asal ingat dan berdoa sudah dinamakan solat.
Segala sesuatu umumnya ada tiang yang membezakan sesuatu itu dengan selainnya. Sebagaimana dipetik oleh Ibnu Abdil Barr (w. 463 H):
«لِكُلِّ شَيْءٍ عِمَادٌ »
”Setiap sesuatu mempunyai tiang.’
Terkait sistem pemerintahan, ada hal-hal yang disepakati para ulama, yang diakui atau tidak, akan “membentuk” sistem pemerintahan Islam itu. Ada empat tiang yang membezakan sistem pemerintahan Islam dengan sistem yang lain, iaitu:
- Kedaulatan di Tangan Syariah (As-Siyâdah li asy-Syar’i).
Kedaulatan terkait dengan kekuasaan yang menangani (mumaris) dan menjalankan (musayyir) suatu kehendak atau aspirasi tertentu. Oleh sebab itu, jika ada seseorang yang menangani dan mengendalikan aspirasinya sendiri, sesungguhnya kedaulatannya ada di tangannya sendiri.
Dalam Islam, kedaulatan itu di tangan syariah. Bukan di tangan individu atau umat/rakyat. Oleh itu aspirasi individu mahupun umat diseragamkan berdasarkan perintah dan larangan Allah. Dalilnya adalah firman-Nya:
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤۡمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيۡنَهُمۡ ٦٥
“Demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) hakim dalam perkara apa saja yang mereka perselisihkan.” [TMQ an-Nisaa’ (4): 65]
Juga ayat tentang perselisihan antara rakyat mahupun dengan ulil amri:
فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ ٥٩
“Kemudian jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikan ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (sunnahnya).” [TMQ an-Nisaa’ (4): 59]
Maksud “kembalikan ia kepada Allah dan Rasul” adalah:
«رَدُّوا ذَلِكَ الْحُكْمَ إِلَى كِتَابِ اللهِ أَوْ إِلَى رَسُولِهِ بِالسُّؤَالِ فِي حَيَاتِهِ، أَوْ بِالنَّظَرِ فِي سُنَّتِهِ بَعْدَ وَفَاتِهِ ﷺ»
”Kembalikan hukum itu pada Kitab Allah atau pada Rasul-Nya dengan bertanya kepada baginda semasa hidup baginda, atau dengan meneliti sunnah baginda setelah baginda wafat.”
Sebab itu ketua negara dalam Islam diangkat dalam rangka melaksanakan Kitabullah dan Sunah Rasul tersebut, iaitu agar melaksanakan hukum syariah. Bukan untuk melaksanakan apa yang diinginkan manusia (umat). Andai kata seluruh rakyat mahukan sesuatu yang bertentangan dengan hukum syariah, negara tidak boleh menuruti mereka. Rasulullah SAW, ketika menghadapi kaum Muslim yang tidak sepakat dengan isi Perjanjian Hudaibiyah, tidak mengubah pendirian baginda untuk tetap menjalankan wahyu Allah SWT. Baginda bersabda:
«إِنِّي رَسُولُ اللهِ وَلَسْتُ أَعْصِيهِ وَهُوَ نَاصِرِي»
”Sesungguhnya aku ini utusan Allah. Aku tak akan bermaksiat kepada Dia dan Dialah Penolongku.” (HR al-Bukhari)
Bahkan jika hukum syariah menyatakan negara perlu ‘dikalahkan’ kepentingannya, maka negara perlu ‘kalah’. Ketika salah satu bandar di Samarkand ditakluki Panglima Qutaibah bin Muslim dan pasukannya, para tokoh negeri tersebut mengajukan protes kerana serangannya tiba-tiba, tidak diawali dengan seruan dakwah pada Islam terlebih dahulu. Khalifah mengutus qâdhi untuk mengesahkan fakta sebenarnya. Ketika dijumpai faktanya sesuai dengan laporan penduduk yang ditakluki, qâdhi membuat keputusan agar pasukan Islam meninggalkan wilayah Samarkand dan kembali ke berek mereka sebelum penaklukan, kemudian baru kembali lagi untuk memberikan pilihan adakah penduduk setempat mahu masuk Islam, mengikat perjanjian, atau berperang.
- Kekuasaan di Tangan Umat (al-Sulthân li al-Ummah).
Kekuasaan (as-sulthân) adalah kuasa untuk menerapkan hukum-hukum dan perundang-undangan. “Kekuasaan di tangan umat” mengandungi maksud bahawa umatlah yang berhak memilih penguasa/pemimpin, sesuai dengan kehendak mereka.
Syariah telah menjadikan pengangkatan Khalifah oleh umat itu tegas sekali di dalam beberapa hadis tentang baiat. Di antaranya adalah hadis daripada ‘Ubadah bin Shamit yang berkata:
«بَايَعْنَا رَسُولَ اللهِ ﷺ عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي عُسْرِنَا، وَيُسْرِنَا، وَمَنْشَطِنَا، وَمَكْرَهِنَا »
”Kami telah membaiat Rasulullah SAW untuk setia mendengarkan dan mentaati perintahnya, baik dalam keadaan lapang ataupun susah, baik dalam keadaan yang kami sukai ataupun tidak kami sukai.” (HR Ahmad).
Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin ‘Ash bahawa dia pernah mendengarkan Rasulullah SAW bersabda:
«مَنْ بَايَعَ إِمَامًا، فَأَعْطَاهُ صَفْقَةَ يَدِهِ وَثَمَرَةَ قَلْبِهِ، فَلْيُطِعْهُ مَا اسْتَطَاعَ، فَإِنْ جَاءَ آخَرُ يُنَازِعُهُ، فَاضْرِبُوا عُنُقَ الْآخَرِ»
”Siapa saja yang telah membaiat seorang imam, lalu dia memberikan huluran tangan dan buah hatinya, hendaklah mentaatinya jika dia mampu. Jika ada orang lain yang hendak merebutnya maka penggallah leher orang itu.” (HR Muslim)
Ada juga hadis-hadis lain yang semakna. Ini menunjukkan bahawa baiat itu diberikan oleh kaum Muslim kepada Rasulullah SAW sebagai ketua negara. Kemudian sepeninggal baginda, baiat diberikan kepada Khalifah. Kerana itu umatlah yang sebenarnya mengangkat Nabi SAW dan khalifah setelah baginda sebagai penguasa mereka.
Khusus untuk Nabi SAW, sekalipun baginda adalah utusan Allah, baginda tetap mengambil baiat daripada tangan umat. Maksudnya, baiat untuk mendapatkan kekuasaan dan pemerintahan. Bukan baiat atas kenabian baginda. Sebab, pengakuan umat kepada baginda sebagai nabi adalah dengan syahadat, bukan baiat. Kerana itu Al-Murakibi dalam disertasinya menyatakan, “Yang mesti kita perhatikan, baiat (Aqabah Kedua) ini sama dengan akad pendirian Negara Islam antara Rasulullah SAW dengan para pemimpin Aus dan Khazraj dan perwakilan mereka.”
- Mengangkat Satu Orang Khalifah adalah Wajib atas Seluruh Kaum Muslim.
Tiang ini mempunyai dua dimensi pengertian: Pertama, mengangkat khalifah itu wajib hukumnya. Penjelasannya sudah dihuraikan pada edisi sebelum ini. Kedua, khalifah yang diangkat wajib satu orang saja.
Adapun tentang khalifah perlu satu orang, itu berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abi Said al-Khudri, dari Nabi SAW yang bersabda:
«إِذَا بُويِعَ لِخَلِيفَتَيْنِ، فَاقْتُلُوا الْآخرَ مِنْهُمَا»
Jika dibaiat dua orang khalifah, bunuhlah yang terakhir dari keduanya. (HR Muslim).
Hadis ini secara tegas menyatakan bahawa kaum Muslim diharamkan memiliki khalifah lebih daripada satu orang. Para imam mazhab sepakat akan hal ini. Imam as-Sya’rani menyatakan:
«اِتَّفَقَ اْلأَئِمَّةُ عَلَى أَنَّ اْلإِمَامَةَ فَرْضٌ، وَأَنَّهُ لَابُدَّ لِلْمُسْلِمِيْنَ مِنْ إِمَامٍ يُقِيْمُ شَعَائِرَ الدِّيْنِ وَيَنْصِفُ الْمَظْلُوْمِيْنَ مِنَ الظَّالِمِيْنَ وَعَلَى أَنَّهُ لَايَجُوْزُ أَنْ يَكُوْنَ عَلَى الْمُسْلِمِيْنَ فِي وَقْتٍ وَاحِدٍ فِي جَمِيْعِ الدُّنْيَا إِمَامَانِ، لَا مُتَّفِقَانِ وَلَا مُفْتَرِقَانِ»
Para imam sepakat bahawa Imamah (Khilafah) adalah satu kewajipan; bahawa kaum Muslim perlu memiliki seorang imam yang menjunjung tinggi syiar agama dan memberikan keadilan kepada yang tertindas atas yang menindas; dan bahawa tidak boleh bagi kaum Muslim untuk memiliki dua imam pada saat yang bersamaan di seluruh dunia, baik mereka sepakat mahupun tidak sepakat.
- Hak Menerapkan Undang-undang.
Khalifah mempunyai hak khusus dalam menerapkan hukum syariah menjadi undang-undang yang berlaku umum dan bersifat mengikat. Hal ini bersandarkan pada Ijmak Sahabat yang melahirkan kaedah syar’iyyah yang termasyhur:
«أَمْرُ اْلإِمَامِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ»
”Perintah Imam/Khalifah menghilangkan perbezaan pendapat.”
Tentu perintah yang dimaksudkan adalah yang terkait dengan perkara ijtihadiyah. Ini sesuai dengan kaedah:
«حُكْمُ الْحَاكِمِ فِي مَسَائِلِ اْلاِجْتِهَادِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ»
”Ketetapan penguasa dalam masalah ijtihad mengangkat perselisihan.”
«لِلسُّلْطَانِ أَنْ يُحْدِثَ مِنَ اْلأَقْضِيَّةِ بِقَدْرِ مَا يَحدُثُ مِنْ مُشْكِلَاتٍ»
”Penguasa berhak menetapkan keputusan baru sejalan dengan persoalan-persoalan (permasalahan) baru yang terjadi.”
Penutup
Empat perkara di atas adalah perkara mendasar yang menentukan bentuk sistem pemerintahan. Jika hukum syariah diposisikan hanya sebagai pilihan semata, boleh diterapkan boleh juga tidak, sebagaimana dalam sistem demokrasi, bermakna tiang pertama telah runtuh, sehingga tidak layak disebut sistem pemerintahan Islam. Jika tiang kedua dilanggar, seperti dalam sistem kerajaan, ketika seseorang lahir daripada keturunan raja kemudian dia automatik menjadi raja, maka ia juga bukan sistem pemerintahan Islam. Ini bukan mencontohi Sunnah Rasul SAW, namun ’sunnah’ Heraklius. Abdurrahman bin Abi Bakar memprotes pengangkatan Yazid yang dianggap mencontohi Abu Bakar RA ketika mengajukan Umar RA sebagai khalifah, beliau menyatakan:
«سُنَّةُ هِرْقَلْ وَقِيْصَرْ، وَإِنَّ أَبَا بَكْرٍ وَاللهِ مَا جَعَلَهَا فِي أَحَدٍ مِنْ وَلَدِهِ وَلَا أَحَدَ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ »
”Ini “sunnah” Heraklius dan Kaisar. Demi Allah, Abu Bakar tidak pernah menunjuk salah seorang anaknya atau salah seorang keluarganya (untuk menjadi khalifah).”
Begitu juga pelanggaran tiang ketiga dan keempat, telah menjadikan sistem yang berkaitan menjadi bukan sistem pemerintahan Islam. WalLâhu alam.
#KhilafahSistemIslam #SistemPemerintahan #DemokrasiSistemGagal