[Siri Sinar Ramadhan] Memperbanyakkan Amalan di Bulan Ramadhan
Al-Imam al-Hasan al-Bashri rahimahullahu berkata:
إِنَّ اللَّهَ جَعَلَ شَهْرَ رَمَضَانَ مِضْمَارًا لِخَلْقِهِ يَسْتَبِقُونَ فِيهِ بِطَاعَتِهِ إِلَى مَرْضَاتِهِ، فَسَبَقَ قَوْمٌ فَفَازُوا، وَتَخَلَّفَ آخَرُونَ فَخَابُوا، فَالْعَجَبُ مِنَ اللَّاعِبِ الضَّاحِكِ فِي الْيَوْمِ الَّذِي يَفُوزُ فِيهِ الْمُحْسِنُونَ، وَيَخْسَرُ فِيهِ الْمُبْطِلُونَ.
Maksudnya, “Sesungguhnya Allah telah menjadikan bulan Ramadan sebagai medan perlumbaan bagi hamba-hamba-Nya, di mana mereka berlumba-lumba dalam ketaatan kepada-Nya untuk mencapai keredhaan-Nya. Maka, ada golongan yang mendahului dan berjaya, sementara yang lain tertinggal lalu rugi. Maka sungguh menghairankan orang yang masih bermain dan tertawa pada hari di mana orang-orang yang berbuat baik memperoleh kemenangan, sedangkan orang-orang yang lalai mengalami kerugian.” [Sumber: Lathaful Ma’arif, hlm.209-210].
Kisah Imam Al-Hasan Bashri ini yang diabadikan oleh para ulama dijadikan sebagai teladan buat kita semua untuk memanfaatkan bulan Ramadhan sebaik-baiknya. Dikisahkan bahawa suatu hari, Imam al-Hasan al-Bashri telah melaui satu tempat di mana beliau melihat sekelompok orang sedang ketawa terbahak-bahak di bulan Ramadhan. Lantas, beliau memarahi dan menasihati mereka bahawa adalah bulan yang mulia di sisi Allah SWT. Ia seharusnya dimanfaatkan untuk memperbanyakkan ketaatan kepada Allah dan meningkatkan amal soleh.
Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan bagi umat Islam. Ia merupakan waktu terbaik untuk berlumba-lumba dalam meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Setiap amalan kebaikan yang dilakukan dalam bulan ini akan dilipatgandakan ganjarannya oleh Allah. Ramadan diibaratkan seperti butiran permata yang amat berharga kerana setiap amalannya disertai dengan kelebihan yang besar.
Namun, amat rugi sekiranya seseorang melalui bulan ini tanpa memanfaatkan peluang keemasan yang diberi-Nya. Ramadan adalah peluang untuk setiap umat Islam mencapai darjat takwa dan mengumpul sebanyak mungkin pahala. Antara amalan yang boleh ditingkatkan pada bulan ini ialah; berpuasa dengan sempurna dan menjaga adab-adabnya, mendirikan solat wajib dan memperbanyakkan solat sunat, membaca dan tadabbur al-Quran, membayar zakat fitrah, bersedekah serta menyediakan makanan untuk berbuka puasa.
Semua amalan tersebut adalah ibadah yang tinggi nilainya di sisi Allah SWT. Inilah masanya umat Islam memanfaatkan bulan ini untuk mendekatkan diri kepada Allah dan merebut peluang pengampunan-Nya. Imam al-Hasan al-Bashri berkata bahawa amat pelik bagi mereka yang tidak memanfaatkan bulan ini, sebaliknya sibuk dengan hiburan dan ketawa, tanpa rasa bimbang akan kerugian besar yang mereka hadapi.
Golongan yang lalai akan lebih suka mengejar kebahagiaan dunia berbanding mengejar rahmat Allah SWT. Mereka ketawa, bergembira, dan leka dengan kesenangan dunia tanpa memikirkan peluang maghfirah yang hilang begitu sahaja. Mereka tidak menangis kerana takut dosa, sebaliknya hidup dalam kelalaian, tidak mempedulikan anugerah besar yang tersembunyi dalam bulan yang penuh kemuliaan ini.
Setiap umat Islam digalakkan untuk tidak terlepas peluang terbesar ini dengan memperbanyakkan ibadah dan amalan soleh. Keampunan Allah SWT serta syurga-Nya yang luas terbuka buat mereka yang benar-benar beriman dan bertakwa. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang beruntung dan terselamat daripada menjadi golongan yang rugi di akhirat kelak.
“Fastabiqul khairat” (Berlumba-lumbalah dalam melakukan kebaikan).