Amanah Mulia Seorang Isteri
Oleh: Ummu Nashir N.S.
Apabila seorang Muslimah mencapai umur yang sudah bersedia untuk bernikah, sudah menjadi lumrah mereka pasti mengharapkan ada lelaki soleh yang bersedia untuk meminangnya lalu menikahinya. Lebih-lebih lagi jika dia didesak oleh orang kelilingnya dengan soalan bila dia akan bernikah. Namun di sisi lain, timbul rasa takut untuk bernikah. Muncul rasa bimbang akan keadaan saat telah bernikah, menjadi seorang isteri, kemudian dengan izin Allah menjadi seorang ibu pula.
Wahai para Muslimah solehah, sesungguhnya apabila anda berumah tangga, lalu menjadi isteri serta ibu adalah suatu hal fitrah yang perlu ditempuhi. Namun, di sisi lain terdapat amanah dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebaik mungkin. Telah kita fahami bahawa amanah tidak boleh dilaksanakan secara sambil lewa atau sesuka hati. Akan tetapi, kita perlu sentiasa ingat bahawa amanah adalah tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis,
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya. Amir yang memerintah rakyat adalah seorang pemimpin dan dia akan ditanya tentang rakyatnya. Seorang lelaki adalah penjaga terhadap keluarganya dan dia akan ditanya tentang mereka. Seorang wanita adalah penjaga di rumah suaminya dan dia akan ditanya tentang suaminya. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia akan ditanya tentangnya. Ketahuilah bahawa setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya.” (HR Bukhari Muslim).
Sesungguhnya Allah telah menjanjikan pahala yang besar bagi mereka yang sentiasa menjaga amanah yang telah diamanahkan. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi Syurga Firdaus dan kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah SWT berfirman,
وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَٰنَٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ.َٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَٰتِهِمْ يُحَافِظُونَ. أُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْوَٰرِثُونَ. ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَٰلِدُونَ
“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi, yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya” [TMQ Al-Mu’minuun (23): 8—11]
Wahai isteri-isteri yang solehah, menjadi seorang isteri ternyata bukan satu tugas dan tanggungjawab yang mudah. Melaksanakannya tidak semudah membalikkan tapak tangan. Ia memerlukan pemahaman yang benar tentang hak dan kewajipan seseorang, termasuk persiapan mental dan pemahaman Islam yang benar apabila ujian dan rintangan timbul satu demi satu. Kadangkala, rasa penat dan bosan datang menguji diri. Sudah tentu semua ini perlu dihadapi dengan keikhlasan dan kesungguhan. Justeru, apa sahaja yang kita lakukan akan mendatangkan kebaikan dan keberkatan kepada kita dan keluarga kita, serta membuahkan pahala.
Oleh sebab itu, seberat apa pun tugas dan tanggungjawabnya, bila kita lakukan dengan penuh keikhlasan, kegembiraan dan harapan, serta menyambutnya dengan senyuman, nescaya tugas yang berat akan terasa ringan. Lebih dari itu, dengan keikhlasan hati, semua jerih payah dan setiap titisan keringat akan bernilai pahala di sisi Allah Taala. Inilah keberuntungan di atas keberuntungan. Jika kita melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya, nescaya suami akan rasa gembira dan semakin cinta kepada kita. Anak-anak juga akan semakin menyayangi kita. Tentu semua ini akan menghadirkan kebahagiaan bagi kita dan keluarga di dunia. Di akhirat kelak, kita akan mendapat keberuntungan yang jauh lebih besar. Allah akan membalas segala usaha kita dengan balasan terbaik, iaitu syurga.
Rasulullah SAW bersabda, “Dan mahukah aku tunjukkan kepada kalian perempuan ahli syurga? Iaitu, setiap isteri yang penuh cinta kepada suami, serta penyayang kepada anaknya, yang ketika suaminya marah kepadanya, dia berkata, ‘Inilah tanganku berada di tanganmu. Aku tidak dapat tidur memejamkan mata hingga engkau redha kepadaku.’” (HR An-Nasa’i).
Seorang isteri dan ibu perlu kuat dan tabah walaupun dalam keadaan letih dan sakit. Ini kerana dia menjadi penyemangat suami dan anak-anak ketika mereka letih atau sedih. Dia juga perlu sentiasa kuat agar anak-anaknya kuat menjalani kehidupan di dunia ini.
Rasulullah SAW bersabda, “Seorang suami yang pulang dalam keadaan gelisah dan tidak tenang, kemudian isterinya menghiburkannya, maka dia akan mendapat separuh pahala jihad.” (Riwayat Muslim).
Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada puterinya, Fatimah ra. untuk sentiasa tersenyum dan mengekalkan wajah yang berseri-seri di hadapan suami. Kerana, senyuman seorang isteri terhadap suaminya mendapat ganjaran yang besar dari Allah Taala. Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Fatimah, tidak ada seorang isteri yang tersenyum di hadapan suaminya, melainkan Allah akan memandangnya dengan pandangan kasih sayang (rahmat).”
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda, “Pahala dari Allah tidak akan habis bagi isteri yang menggembirakan suaminya siang dan malam.” (Riwayat Muslim).
Seorang isteri tidak boleh terlepas dari peranan dan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu. Ibu memainkan peranan penting dalam pendidikan anak-anak. Dia adalah sekolah pertama dan utama untuk anak-anaknya. Seorang ibu mestilah dapat mendidik anaknya dengan baik mengikut syariat Islam dan Al-Quran agar dapat melahirkan anak yang soleh dan solehah. Proses mendidik anak tidak boleh dilakukan dalam masa yang singkat, sebaliknya sehingga ke akhir hayatnya. Proses ini memerlukan kesabaran dan ketakwaan yang tinggi.
Amanah menjadi seorang isteri sekaligus ibu memang berat, tetapi pahala dan balasan dari Allah SWT sangat besar. Tepat sekali jika Islam memberi kedudukan mulia dan tinggi kepada kaum wanita yang menjadi isteri dan ibu. Ini telah dijelaskan dalam suatu hadis. Dari Abu Hurairah ra., dia berkata, “Seseorang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku perlu berbakti pertama kali?’ Nabi SAW menjawab, ‘Ibumu!’ Orang tersebut kembali bertanya, ‘Kemudian, siapa lagi?’ Nabi SAW menjawab, ‘Ibumu!’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian, siapa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian, siapa lagi? ‘Nabi SAW menjawab, ‘Kemudian, ayahmu.’ (HR Bukhari).
Dalam hadis tersebut, ibu disebut tiga kali dan bapa hanya sekali. Ini bermakna anak-anak mesti menghormati ibu mereka tiga kali ganda lebih daripada bapa mereka. Bukan bermakna bapa tidak dihormati. Namun, seorang ibu membuat pengorbanan yang lebih besar. Ibu mempunyai kedudukan istimewa dalam keluarga. Jawatan ini tidak boleh diganti, walaupun oleh seorang isteri apabila anaknya sudah berkahwin. Kerana itu, walaupun sudah berkahwin, anak lelaki dididik untuk tetap mengutamakan ibunya.
Amanah mulia bagi seorang isteri masih ada lagi. Ini bermaksud, ladang pahala terbuka luas untuknya. Seorang isteri yang melakukan pekerjaan rumahtangga dengan penuh keikhlasan adalah Muslimah yang istimewa. Dia mendapatkan pahala setara dengan usaha para mujahid yang berjihad di jalan Allah Taala.
Ini sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis. Anas bin Malik ra. berkata bahawa beberapa wanita telah datang kepada Nabi. Mereka berkata, “Wahai Rasulullah, para lelaki mempunyai keistimewaan untuk berjihad di jalan Allah, sedangkan kami tidak mempunyai pekerjaan yang pahalanya setara dengan mujahid di jalan Allah.” Setelah mendengar kisah-kisah wanita, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Pahala kerja rumah salah seorang daripada kamu adalah sama dengan jihadnya para mujahid di jalan Allah.”
Asma’ pernah mendatangi Rasulullah SAW bersama para sahabatnya. Kemudian, dia berkata kepada Rasulullah, “Engkau bagaikan ibu dan sekaligus ayahku, wahai Rasulullah. Keberadaanku di sini adalah untuk mewakili para wanita. Bahawasanya Allah telah mengutusmu untuk kaum lelaki dan wanita. Kami mengimanimu dan juga Tuhanmu. Bahawa kita tidak mempunyai kebebasan bergerak yang sama seperti lelaki. Amal perbuatan kami sebatas perbuatan yang bersifat rumahtangga saja, melayani kalian, sekaligus mengandung dan melahirkan anak-anak kalian pula.
Ini berbeza dengan anda semua. Kamu melebihi kami dalam solat berjemaah, menziarahi orang sakit, mengiringi orang mati ke kubur, mengerjakan haji, dan yang paling penting, kemampuan kamu untuk berjihad di jalan Allah. Amalan kami ketika kamu mengerjakan haji atau berjihad hanyalah sebatas menjaga hartamu, membasuh pakaianmu, dan mendidik anak-anakmu. Oleh itu, kami ingin bertanya, adakah pahala atas jasa baik kami sama dengan jasa baik kamu?”
Mendengar pertanyaan ini, Nabi Muhammad SAW kemudian menghadap para sahabatnya dan bersabda, “Pernahkah kamu mendengar seorang wanita bertanya tentang agama yang lebih baik daripada yang dia tanyakan tadi?” Para sahabat menjawab bahawa mereka tidak pernah mendengarnya.
Kemudian, Rasulullah SAW bersabda, “Kembalilah wahai Asma’. Katakan kepada wanita-wanita di belakangmu bahawa kepedulian dan kelakuan baik mereka terhadap suami, usaha mereka untuk mendapatkan redha suami, dan ketundukan mereka untuk sentiasa mentaati suami, semua itu akan mengimbangi pahala amalan yang telah kamu sebutkan itu.” Kemudian, Asma’ kembali sambil membaca tahlil dan takbir kerana gembira mendengar sabda Rasulullah SAW.
Sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Apabila seorang isteri melayani suaminya dengan sepenuh hati, Allah akan memberikannya pahala. Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW menganggap bahawa wanita yang melakukan itu semua sebagai wanita terbaik. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik wanita ialah yang paling menggembirakan suaminya, mentaati suaminya apabila disuruh, tidak menderhakainya pada dirinya atau hartanya, melayani suaminya dengan sebaik-baiknya, dan menjauhkan suaminya dari kebencian.” (HR Ahmad).
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW juga bersabda, “Pemeliharaan yang baik terhadap anak-anak menjadi benteng neraka, pandangan yang baik dan harmoni pada suami menjadi tasbih (zikir).” (HR Muslim).
Dalam banyak hadis disebutkan bahawa seorang isteri yang memberi makan atau minum untuk suaminya, dan menjaga harta suaminya, akan mendapat kedudukan yang mulia. Rasulullah SAW bersabda, “Bagi seorang suami meminum air yang diberikan oleh isterinya sekali itu lebih baik daripada berpuasa selama setahun.” (Riwayat Muslim). Dalam hadis lain disebutkan, “Makanan yang diberikan oleh seorang isteri kepada suaminya lebih baik daripada dia mengerjakan haji dan umrah.” (HR Muslim). “Sebaik-baik isteri adalah yang kamu pandang dan kamu rasa menyenangkan hati kamu. Apabila kamu memerintah, dia mentaatimu. Apabila kamu tiada, dia menjaga dirinya untuk kamu dan juga menjaga harta kamu.” (HR Al-Hakim).
Berkaitan dengan hubungan suami isteri, terdapat beberapa hadis Nabi yang turut menyatakan bahawa Allah SWT memberi amanah yang mulia dan pahala yang melimpah ruah kepada seorang isteri. Antaranya sabda Rasulullah SAW, “Mandi janub seorang isteri kerana jimak dengan suaminya lebih baik baginya daripada menyembelih seribu ekor kambing sebagai sedekah kepada orang miskin.” (HR Muslim). Dalam hadis lain dinyatakan, “Dan jika isteri itu hamil, dia dicatat sebagai syahid dan berjihad kepada suaminya.” (Riwayat Muslim). Rasulullah SAW juga bersabda, “Jika seorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha, dia akan masuk syurga.” (HR Tirmidzi).
Khatimah
Inilah antara amanat mulia bagi seorang isteri yang memerlukan kita menunaikannya sepenuhnya. Apabila kita ikhlas melaksanakannya, limpahan pahala akan turun kepada kita. Malah, Allah akan menyediakan syurga untuk kita di akhirat nanti. InsyaAllah.
Semoga Allah memberikan kekuatan dan kemudahan kepada kita untuk menjaga dan melaksanakan amanat-Nya, serta memasukkan kita ke dalam golongan orang-orang yang beruntung. Amin, Yaa Mujiib As-saailiin. Wallahualam bissawab.